PETALING JAYA – Warga asing kini mula menguasai beberapa sektor pekerjaan dan berperanan sebagai majikan selain mampu menggajikan orang tempatan dengan upah yang cukup lumayan.
Rata-rata daripada warga asing ini adalah mereka yang telah tinggal di negara ini sejak 10 tahun lalu dan bermula sebagai pekerja kontrak atau buruh kasar sebelum mampu menguruskan bisnes sendiri.
Hasil tinjauan Kosmo! baru-baru ini mendapati, warga asing khususnya dari Indonesia dan Bangladesh lebih berminat terlibat dalam sektor peruncitan dan perniagaan pakaian yang dianggap sebagai lubuk utama untuk mencari rezeki.
Malah, sebuah gedung pakaian borong terkemuka di Kuala Lumpur menyaksikan 50 peratus daripada peniaga di kawasan terdiri terdiri daripada warga asing.
Seorang peniaga pakaian dari Bangladesh, Mad Israfil Hossein, 47, berkata, dia sudah tinggal di Malaysia selama hampir 20 tahun dan telah berumah tangga dengan wanita tempatan sejak 2016.
Menurut Mad Israfil, sebelum berjaya membuka perniagaan sendiri pada tahun 2018, dia hanya mencari rezeki sebagai buruh kasar dalam sektor pembinaan selain bekerja sambilan di sebuah premis menjual pakaian.
Katanya, hasil duit simpanan selama 15 tahun membolehkannya menikmati kehidupan selesa dan mampu menyewa kedai untuk dijadikan premis menjual pakaian.
“Pada awalnya, saya dan isteri hanya buka kedai kecil di kawasan Ampang dan ketika itu, hanya kami berdua yang menguruskannya.
“Bagaimanapun, sejak tahun lalu, kami telah berpindah ke premis ini dan menyewa sebuah kedai yang lebih besar.
“Saya bersyukur kerana mampu menggajikan dua pekerja tempatan dengan bayaran RM1,600 sebulan,” katanya yang mempunyai dua anak hasil perkongsian hidup dengan wanita tempatan.
Menurut beliau lagi, kemampuannya membuka sebuah kedai dan bergelar seorang tauke bukanlah mudah, tetapi memerlukan banyak pengorbanan dan kesabaran.
“Saya langsung tidak memiliki apa-apa harta sebaik tiba di negara ini kira-kira 15 tahun lalu.
“Apa yang saya peroleh hari ini adalah hasil kerja keras. Lagipun, macam-macam pekerjaan pernah saya lakukan semata-mata untuk mengumpul duit,” tambahnya.
Warga Indonesia, Ramlan Safuan, 45, pula mengakui lebih selesa bekerja sendiri sebagai seorang kontraktor berbanding makan gaji memandangkan pendapatan yang diperoleh adalah lebih lumayan.
Kata Ramlan, dia hanya memerlukan tempoh lima tahun untuk menimba pelbagai pengalaman sebagai pekerja kontrak termasuk mengambil upah membuat rumah, mengubah suai kabinet dapur serta menjalankan perkhidmatan pemasangan serta penyambungan paip.
“Saya rasa dengan pengalaman dan sedikit modal yang ada, saya mampu berdikari dan menguruskan ‘bisnes’ dalam sektor pembinaan.
“Lagipun saya tiada syarikat seperti kontraktor lain yang lebih besar dan hanya bergerak sendiri.
“Rezeki saya banyak bergantung kepada pelanggan lama yang pernah berurusan sebelum ini termasuk daripada kawan-kawan.
“Ketika ini, saya ada tiga pekerja tempatan yang akan bantu saya untuk menyiapkan tempahan dari pelanggan.
“Saya bayar mereka (pekerja) berdasarkan jumlah tempahan dan makan minum mereka sepanjang bekerja juga ditanggung,” katanya.
Dalam pada itu, sektor pertanian khususnya di tanah tinggi Cameron Highlands turut menyaksikan ramai warga asing bertindak sebagai tauke apabila mampu menyewa tanah milik orang tempatan sebelum diusahakan dengan pelbagai tanaman sayur-sayuran.
Sumber dikenali sebagai Taufiq, 38, berkata, warga asing itu pada awalnya datang ke negara ini untuk bekerja sebagai pekebun sebelum mereka mengambil membuka tanah pertanian sendiri yang disewa daripada penduduk tempatan.
“Sebagai pengusaha kebun, pendapatan mereka juga cukup besar iaitu mencecah puluhan ribu ringgit hasil jualan sayur-sayuran, berbanding hanya RM1,500 sebulan ketika bekerja sebagai kuli,” dedahnya.
Berita berkaitan: Warga asing boleh jadi jutawan tinggal di Malaysia














