SENYUMAN masih terukir di wajah lelaki itu, walaupun kehilangan orang tersayang akibat bencana gempa bumi.
Itulah riak wajah yang dapat lihat pada seorang lelaki tempatan ketika Aiman Amir membantu pasukan penyelamat mencari mangsa gempa bumi di Hatay, Turkiye.
“Saya sempat berbual dengan seorang lelaki tempatan. Dia menyatakan bahawa misi menyelamat kami berada di kawasan kejiranannya.
“Saya sempat bertanya sama ada ahli keluarganya selamat daripada kejadian gempa bumi itu.
“Dia menjawab, anak dan isterinya gagal diselamatkan dan menjadi mangsa tragedi itu,” kata Aiman yang merupakan Kapten Hero Rescue, Pertubuhan Wira Kemanusiaan Untuk Insan Malaysia (MY Hope Hero).
Tambahnya, lelaki itu masih boleh mengucapkan syukur dan menganggap semua yang berlaku itu adalah ujian Tuhan kepadanya.
Aiman berkata, biarpun kehilangan insan tersayang, namun lelaki itu masih boleh menyumbang tenaga membantu pasukan penyelamat mencari mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan.
Mengimbas kejadian awal bulan lalu, dunia digemparkan dengan gempa bumi 7.8 magnitud Turkiye dan Syria.
Bencana menyebabkan ribuan penduduk maut dan cedera akibat tertimbus di bawah runtuhan bangunan.

Gempa bumi terburuk yang berlaku dalam tempoh lebih 100 tahun di Turkiye itu juga telah meranapkan ratusan bangunan di beberapa bandar yang menyebabkan kerosakan teruk.
Gempa bumi itu juga telah menyebabkan beberapa kawasan di negara tersebut seperti Gaziantep, Kahramanmaras, Hatay terjejas teruk.
Dalam pada itu, Aiman berkata, setelah mengetahui berlaku musibah tersebut, dia bersama dua orang pasukan My Hope Hero mengambil keputusan pergi ke Turkiye selama 10 hari bagi menyalurkan bantuan.
Ketika di sana, mereka telah menyertai pasukan penyelamat daripada badan bukan kerajaan (NGO), IHH Humanitarian Relief Foundation (IHH) bagi mencari mangsa di kawasan Hatay.
Menceritakan tentang pengalaman di sana, Aiman berkata, suasana di Hatay pada ketika itu amat menyedihkan dan suasananya seperti berada di medan perang.
“Kelihatan orang ramai tidur di jalanan dan ambulans sibuk mengangkat mangsa sambil pihak tentera turut melakukan kawalan.
“Ketika di sana, kami berpeluang mengikuti IHH melakukan misi menyelamat di kawasan tersebut,” katanya.
Sementara itu, Aiman menjelaskan, dia dan ahli pasukan yang lain terpaksa mengalihkan batu serta kayu yang berat di kawasan runtuhan untuk mencari mangsa atau mayat.
Dia memaklumkan, misi menyelamat itu bermula pada awal pagi dan berakhir lewat malam.
“Pada hari pertama, kami berjaya menemui tiga mayat. Hari kedua, 30 mayat dan hari terakhir seorang sahaja sebelum misi kami berakhir.
“Sewaktu misi ini juga, pasukan penyelamat berjaya menemui seorang mangsa yang masih hidup dan kami boleh mendengar jeritan orang ramai.
“Namun, usaha untuk menyelamat mangsa itu menemui kegagalan sebelum akhirnya disahkan meninggal akibat kekurangan oksigen,” terangnya.
Tambahnya, paling menyayat hati apabila ada mangsa yang ditemui sedang berpelukan antara satu sama lain.

Ujarnya, perkara lain yang meruntun emosi dan perasaannya ketika itu adalah melihat orang ramai menanti ahli keluarga mereka yang masih belum ditemui.
“Ahli keluarga meletakkan harapan yang tinggi, tetapi apa yang menyedihkan apabila mereka hanya dapat melihat sekujur tubuh sudah tidak bernyawa dikeluarkan dari runtuhan,” katanya.
Dalam pada itu, Pengasas MY Hope Hero, Nadia Rahmat berkata, misi bantuan kepada mangsa gempa bumi itu amat mencabar kepada mereka.
Menurutnya, mereka harus menempuh perjalanan selama 18 jam dalam keadaan cuaca sejuk untuk sampai ke Gaziantep kerana lapangan terbang di bandar itu telah ditutup.
“Kami terpaksa menggunakan jalan darat dari Istanbul ke Gaziantep. Suhu paling rendah ketika itu adalah negatif 13 darjah Celsius.
“Apabila tiba di Gaziantep, kami sudah boleh lihat kesan-kesan gempa bumi dan suasana sangat huru-hara di mana ambulans serta bomba berada di merata tempat.
“Pihak berkuasa tidak benarkan penduduk tempatan tinggal di dalam rumah bagi tempoh seminggu. Jadi, kebanyakan penduduk tinggal di dalam khemah di tepi jalan dan kawasan dataran,” jelasnya.
Nadia menjelaskan, dia mendapat maklumat bahawa rakan NGO yang lain sedang berada di Hatay untuk misi menyelamat bersama IHH.
Katanya, mereka kemudian mengambil keputusan menyertai IHH bagi membantu misi menyelamat di Hatay.
“Setibanya di Hatay, saya boleh katakan keadaanya amat teruk dan banyak bangunan-bangunan runtuh.
“Kami amat berbesar hati apabila pihak IHH menerima kami untuk bersama dalam misi tersebut,” katanya.
Tambahnya, ketika di Hatay, mereka terpaksa berpisah di mana dua lagi anggota MY Hope Hero perlu mengikuti misi menyelamatkan mangsa.
“Saya pula bertanggungjawab membantu di bahagian dapur untuk menyediakan makanan kepada mangsa yang terselamat,” ujarnya.
Nadia menjelaskan, ketika di Hatay, dia tinggal di sebuah bangunan yang turut mempunyai rekahan akibat kesan gempa bumi.
“Pada mulanya, saya rasa amat takut jika ada gempa susulan. Tetapi, pihak berkuasa di situ telah mengesahkan bahawa bangunan itu selamat dihuni.
“Sebelum pergi ke sana (Turkiye), kami telah bersedia dengan sebarang kemungkinan yang berlaku.
“Niat kami adalah memberi pertolongan dan apa yang akan berlaku selepas itu, kami redha,” terangnya.














