PUTRAJAYA – Kerajaan akan menubuhkan satu jawatankuasa khas untuk meneliti isu royalti bagi pemuzik termasuklah waris Tan Sri P. Ramlee dan segala aspek berkaitan pembangunan industri muzik tanah air.
Menteri Komunikasi dan Digital, Ahmad Fahmi Fadzil berkata, kementeriannya bersama Kementerian Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan bermesyuarat bersama minggu depan kerana isu royalti itu memberi kesan kepada penggiat industri itu keseluruhannya.
“Perkara itu ada dibangkitkan dalam mesyuarat Kabinet hari ini dan Perdana Menteri meminta kedua-dua kementerian ini melihat isu berkenaan termasuk meneliti semula Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia 1981 (Akta 244) sekiranya perlu dipinda dan jika ada kelompongan yang perlu diperbaiki.
“Akta ini telah digubal tahun lalu, banyak perkara dibangkitkan dalam akta ini yang mana industri perfileman sekarang jauh berbeza termasuk isu-isu melibatkan kewangan, medel dan medium perfileman dan sebagainya,” katanya pada sidang akhbar pasca Mesyuarat Kabinet hari ini.
Menurut Ahmad Fahmi, akta tersebut juga melarang ahli lembaga pengarah Finas dan keluarga terdekat menerima apa-apa geran Finas termasuklah dilarang daripada berkarya.
“Jadi perlu ada titik temu yang menetapkan had-had tertentu,” ujar beliau.
Dalam perkembangan berasingan, Ahmad Fahmi turut memaklumkan bahawa Jemaah Menteri pada Mesyuarat Kabinet pagi tadi telah diarahkan untuk meneliti Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Tahun 2021 Siri 2 yang membabitkan kementerian masing-masing.
Ahmad Fahmi berkata, arahan tersebut telah dikeluarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menegaskan bahawa perkara dibangkitkan LKAN perlu diselesaikan segera.
“Ujar perdana menteri, walaupun dapatan mungkin berkait isu sebelum ini, tetapi perkara yang dibangkitkan laporan tersebut mesti diselesaikan segera.
“Menteri perlu meneliti laporan membabitkan kementerian masing-masing dan menyelesaikan segera perkara yang dibangkitkan LKAN itu,” katanya yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan pada sidang akhbar pasca mesyuarat Kabinet di sini, hari ini.- KOSMO! ONLINE














