PETALING JAYA – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim hari ini berkenan berangkat ke Moscow di atas jemputan khas Kerajaan Persekutuan Russia menjelang sambutan Ulang Tahun Hari Kemenangan yang jatuh pada 9 Mei.
Menerusi hantaran di Facebook rasmi Agong, pesawat peribadi Seri Paduka Baginda dilaporkan berlepas dari Hangar Diraja Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, pada pukul 8 pagi.
“Jemputan khas daripada Presiden Russia, Vladimir V Putin kepada Seri Paduka Baginda untuk berangkat ke sambutan itu mencerminkan pengiktirafan tertinggi Kerajaan Russia terhadap Malaysia,” menurut hantaran Baginda.
Berangkat sama, di Hangar Diraja untuk mengucapkan selamat berangkat kepada Seri Paduka Baginda ialah Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim dan Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim.
Hadir sama, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri dan Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad.
Hadir sama, Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor serta pegawai-pegawai Kerajaan Negeri. – KOSMO! ONLINE














