KANGAR – Seorang bekas kontraktor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan menggunakan dokumen palsu bagi mendapatkan tender projek meroboh dan membina Arked Niaga di Padang Besar dekat sini, empat tahun lalu.
Tertuduh, Syed Aminuddin Syed Ali, 51, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Norsalha Hamzah.
Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa menggunakan penyata akaun bank syarikat Amza Wawasan Enterprise bertarikh Mac hingga Mei 2019 didakwa palsu sebagai tulen bagi mendapatkan tender bagi kerja-kerja cadangan meroboh dan membina bangunan Arked Niaga.
Perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh di Perbadanan Kemajuan Negeri Perlis (PKENPs) di sini, pada 12 Julai 2019.
Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama dengan memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE














