PUTRAJAYA – Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) telah meluluskan pelantikan sejumlah 1,223 calon baharu bagi jawatan di dalam Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Pelantikan itu membabitkan 624 Jururawat bagi Gred U29; 336 Penolong Pegawai Perubatan Gred U29; 213 Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran Gred U29 dan 50 Juruteknologi Makmal Perubatan Gred U29.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, selaras dengan kelulusan tersebut, kementerian akan mengeluarkan surat tawaran pelantikan kontrak kepada calon yang berjaya pada hari Isnin dengan tarikh melapor diri bertugas ditetapkan pada hari Rabu.
Menurutnya, daripada sejumlah 624 pelantikan Jururawat Gred U29 yang diluluskan, sebanyak 317 Jururawat Gred U29 akan ditempatkan di Sabah.
“Sementara itu, 18 lagi akan ditempatkan di Wilayah Persekutuan Labuan,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau berkata, kebanyakan lantikan tersebut terdiri daripada anak kelahiran tempatan.
“Kementerian berharap dengan pertambahan petugas kesihatan tersebut, akan dapat memperkukuhkan lagi penyampaian perkhidmatan di negeri-negeri yang berkenaan, khususnya di Sabah dan Labuan,” katanya. -K! ONLINE