ALOR SETAR – Lebih ramai orang muda terutama pelajar sekolah bakal mengalami masalah kesihatan, termasuk kebocoran pada paru-paru akibat ketagihan rokok elektronik atau vape.
Malah, risiko sama turut dihadapi orang sekeliling yang terhidu wap peranti tersebut.
Keadaan itu sama seperti kesan dialami perokok pasif akibat terhidu asap rokok konvensional.
Pakar Perubatan Dalaman dan Respiratori Kedah Medical Centre (KMC), Dr. Razul Md. Nazri berkata, gejala pengambilan vape dalam kalangan orang muda, malah kanak-kanak dilihat membimbangkan.
“Kebanyakannya ambil sebab gaya hidup dan akhirnya terjebak masalah ketagihan kerana kandungan nikotin di dalam vape.
“Bila ketagih, ia bergantung kepada diri seseorang itu untuk berhenti. Ketagihan vape ini sama sahaja dengan ketagihan rokok biasa,” katanya ketika ditemui di KMC di sini, baru-baru ini.
Kata beliau, wujud kebimbangan apabila ramai yang salah tanggapan kononnya vape tidak berbahaya berbanding rokok.
“Tanggapan itu salah sama sekali kerana risiko untuk mengalami ketagihan juga adalah tinggi kerana kandungan nikotin dalam vape. Kita bimbang, tanggapan salah ini akan menyebabkan lebih ramai menghisap vape kerana kononnya ia tidak berbahaya, seterusnya menjadi ketagih,” ujarnya.
Katanya, disebabkan salah tanggapan itu, ramai pengguna dilihat menggunakan vape di tempat tertutup termasuk dalam kereta dan restoran.
“Cecair vape juga didatangkan dengan pelbagai perisa dan bau yang mana ia tidak mengganggu orang sekeliling seperti rokok, namun sebenarnya ia sangat berbahaya,” katanya.
Menurutnya, ketagihan berlaku apabila pengguna terpaksa bergantung kepada vape untuk menjalani kehidupan harian selain mengaitkannya dengan aktiviti lain.
“Sebagai contoh, selepas makan atau bila mahu ke tandas, perlu ambil vape. Itu sudah mencapai tahap ketagihan,” jelasnya.

Beliau turut menolak dakwaan kononnya vape sesuai digunakan untuk perokok yang mahu berhenti merokok.
“Ia salah sama sekali kerana kebanyakan penagih akan menggunakan kedua-duanya iaitu vape dan rokok, menyebabkan jumlah nikotin diambil menjadi lebih tinggi,” katanya.
Jelas Dr. Razul, penagih vape berisiko mengalami masalah kesihatan seperti batuk, asma dan lebih teruk, paru-paru bocor sehingga perlu menjalani pembedahan bagi memasukkan tiub untuk mengeluarkan angin berlebihan.
“Kini vape dijual di merata tempat jadi sukar untuk kita ketahui dan kenal pasti kandungan sebenar dalam alat tersebut.
“Sebenarnya, vape juga mengandungi bahan kimia sebagai pembakar yang boleh mengundang risiko kanser,” katanya.
Jelasnya, dalam sesetengah kes, vape memberikan trauma kepada paru-paru dengan lebih cepat.
“Ada sesetengah yang menerima akibat secara tiba-tiba sehingga terpaksa mendapatkan rawatan doktor, malah ia boleh meragut nyawa,” katanya.
Tambahnya, pengguna vape berdepan penyakit kecederaan paru-paru yang dikenali sebagai E-cigarette Or Vaping Product Use-Associated Lung Injury (Evali), sekali gus berisiko mengalami kecacatan kekal pernafasan dan kematian.
“Mereka terutama yang mempunyai penyakit kronik berisiko mengalami kecederaan paru-paru dan boleh membawa maut,” tambahnya.
Kosmo! pada Oktober tahun lalu melaporkan jutaan pengguna vape di Malaysia berdepan penyakit Evali.
Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) tahun 2019 menunjukkan terdapat kira-kira 1.1 juta pengguna rokok elektronik atau vape di Malaysia dan jumlahnya semakin bertambah hingga memerlukan kejadian penyakit Evali perlu dipantau.
Penyakit Evali mula didiagnosis pada tahun 2019 di Amerika Syarikat apabila sebanyak 2,800 kes kecederaan paru-paru dan 68 kematian dilaporkan.















