fbpx
Syria Care aktif memberi bantuan kepada masyarakat Syria yang kurang bernasib baik.

Syria Care beri bantuan secara telus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Dalam kejadian pada 6 Februari lalu, Turkiye digegarkan dengan dua gempa bumi kuat. Bermula dengan 7.7 magnitud, sebelum disusuli dengan gegeran 7.6 magnitud selang beberapa jam kemudian. Selain Turkiye, Syria turut terkesan apabila angka korban turut mencecah ribuan orang.

Terkini, angka korban gempa Turkiye dan Syria melebihi 48,000 mangsa.

Masyarakat di seluruh dunia termasuk Malaysia turut menghantar bantuan kemanusian yang terdiri daripada badan-badan bukan kerajaan (NGO), pasukan menyelamat dan perubatan bagi membantu mangsa gempa bumi di kedua-dua negara berkenaan.

Bagi mendapatkan penjelasan lanjut tentang misi kemanusiaan di Turkiye, wartawan Kosmo! Ahad, ZURAINI MOHD. KHALID menemu bual Ketua Pegawai Eksekutif Syria Care Malaysia, Siti Sakinah Meor Omar Baki baru-baru ini.

Kosmo! Ahad: Boleh puan ceritakan serba ringkas mengenai penubuhan Syria Care, visi dan misi persatuan ini?

Ustazah Sakinah: Syria Care telah diasaskan hasil daripada inisiatif warga Syria, Sheikh Samir Sakka bersama sekumpulan bekas pelajar Malaysia yang belajar di Syria pada 2012. Matlamat utamanya adalah untuk menyebarkan maklumat kepada orang awam berkaitan krisis kemanusiaan yang berlaku di Syria.

Pada 11 Februari 2014, Syria Care didaftarkan secara rasmi dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) menerusi nombor pendaftaran PPM-035-10-11022014.
Visi kami adalah merintis usaha dalam meningkatkan kualiti hidup pelarian di utara Syria menjelang 2024. Misi kami pula adalah menggerakkan sumber dan memperkasakan usaha secara holistik melalui pendidikan, kebajikan dan sosio-ekonomi.

Seperti semua sedia maklum, Syria dilanda perang saudara sejak sekian lama. Bagaimanakah situasi negara Asia Barat berkenaan ketika ini? Adakah masih dihimpit peperangan atau bagaimana?
Konflik di Syria bermula sejak 2011 dan berterusan sehingga kini. Ia tidak pernah berhenti dan masih berterusan cuma dalam skala yang berbeza.

Sebagai contoh di Aleppo, ia berlaku dalam skala yang besar ketika ini.

Apakah program dan aktiviti yang telah dan sedang dibuat oleh pihak Syria Care dalam usaha meringankan beban masyarakat di Syria?
Program yang Syria Care laksanakan memberi fokus kepada usaha memperkasa serta membantu masyarakat di sana membina masa depan lebih baik.

Misalnya, menyediakan pendidikan bermula daripada peringkat tadika sehingga ke universiti, penempatan yang lengkap dengan fasiliti serta sistem bekalan air bersih dan penajaan anak yatim.

Boleh puan ulas sedikit mengenai projek yang sedang diadakan ketika ini seperti OderFood, Edu4Syria, Wakaf Kampung Malaysia Syria serta Aqiqah4Syria?
OderFood, Edu4Syria, Wakaf Kampung Malaysia serta Aqiqah4Syria merupakan projek berterusan yang berjalan sepanjang tahun.

Sokongan dan perhatian masyarakat Malaysia terhadap projek-projek ini sangat baik terutamanya OderFood dan Wakaf Kampung Malaysia. Bagaimanapun, ia masih perlukan perhatian dan kesedaran dalam kalangan masyarakat Malaysia bagi projek Edu4Syria.

Tidak semua NGO dapat menghulurkan bantuan di sana disebabkan pelbagai kekangan. Apakah cabaran terbesar yang ditempuhi oleh Syria Care apabila membuat misi kemanusiaan di sana?
Dalam memastikan kami dapat melaksanakan projek-projek dan mengagihkan bantuan kepada pihak memerlukan, Syria Care bekerjasama dengan NGO tempatan dan dari Turkiye.

Ini membolehkan kami beroperasi di kawasan-kawasan yang tidak mendapat bantuan daripada NGO-NGO lain. Sebagai contoh, di kawasan selatan Idlib, tiada bantuan yang sampai kepada mereka.

Justeru, kerjasama dengan NGO yang berada di lapangan membolehkan kami memberi bantuan ke kawasan-kawasan yang lebih jauh seperti Sahil dan Kafariyah.

Baru-baru ini, gempa bumi telah melanda Turkiye dan Syria sehingga mengorbankan puluhan ribu nyawa. Apakah usaha diambil oleh Syria Care bagi membantu meringankan beban mangsa gempa bumi terutamanya di Syria?
Syria Care telah membuka tabung Bantuan Kecemasan Mangsa Gempa Bumi Turkiye dan Syria bermula 6 Februari lalu.

Kami juga menghantar pasukan misi bantuan kecemasan pada 14 Februari dan kini masih berada di Reyhanli (Turkiye).

Ia bagi meninjau keadaan sambil mengagihkan sumbangan kepada mangsa gempa bumi. Kutipan dana kecemasan ini dilanjutkan sehingga 28 Februari.

Apakah keperluan paling mendesak mangsa-mangsa gempa bumi di sana menjelang ketibaan Ramadan kurang sebulan dari sekarang?

Antara keperluan mendesak adalah seperti pakaian musim sejuk, tempat tinggal, makanan, bekalan bahan bakar dan bantuan perubatan.

Seperti tahun-tahun selepas ini, kami akan menggerakkan kempen Ramadan Al-Khair x OderFood bagi menyediakan hidangan berbuka puasa dan pek makanan sepanjang Ramadan ini.

Syria Care merupakan salah satu NGO yang menghantar misi bantuan gempa bumi ke Syria dan Turkiye.

Apakah usaha-usaha yang dilakukan oleh pihak puan bagi menyakinkan masyarakat terhadap ketelusan Syria Care dalam menyalurkan bantuan?
Antara usaha dilakukan adalah seperti mengaudit dana kewangan Syria Care oleh juruaudit bertauliah dan segala laporan projek dikongsikan di semua platform media sosial.

Kami juga mengeluarkan laporan tahunan yang diedarkan kepada rakan kerjasama dan orang ramai.

Setiap tahun, berapakah jumlah bantuan yang diterima oleh Syria Care? Berapakah pula jumlah sukarelawan Syria Care ketika ini?

Selama 11 tahun Syria Care beroperasi, dana yang diperoleh dan dihantar oleh kami adalah antara RM8 juta ke RM12 juta.

Bagi menggerakkan kerja-kerja kemanusiaan ini, Syria Care mempunyai kakitangan pengurusan operasi sendiri serta dibayar gaji secara bulanan.

Berkaitan dengan sukarelawan, kami mempunyai Skuad Sukarelawan Syria Care yang membantu menjayakan projek dan aktiviti di Malaysia.

Tahun lalu, Syria Care telah memilih Anuar Zain menyertai Misi Kemanusiaan kali ke-13. Apakah impaknya apabila membawa artis menyertai misi kemanusiaan?
Alhamdulillah, penyertaan Anuar Zain bersama misi Syria Care pada tahun lalu telah memberi impak baik kepada usaha-usaha yang kami jalankan.

Ia juga membantu meningkatkan kesedaran dalam kalangan pengikut dan peminat Anuar Zain yang merupakan seorang selebriti dengan kredibiliti serta komitmen tinggi.

Sepanjang mengikuti misi bersama kami, dia sangat mudah diurus, bertimbang rasa, mempunyai hati dan jiwa yang amat prihatin terhadap mangsa konflik kemanusiaan ini.

Pada masa hadapan, Syria Care tidak keberatan untuk membawa selebriti lain yang mempunyai pengaruh dalam masyarakat untuk menyertai misi kami.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN