fbpx
Tentera Pro-Russia telah memasuki dan menyerang Ukraine, namun sehingga kini, Ukraine terus bertahan.- AGENSI

Setahun Perang Russia-Ukraine, dua-dua belum mahu berundur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

“TATKALA anda menyerang kami, anda akan melihat muka kami (menghadapi perang), bukan belakang kami (lari dari perang).”

Demikian sebaris daripada ucapan Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy yang ditujukan kepada warga Russia pada tanggal 24 Februari 2022, bersamaan detik kereta kebal Russia mula mencerobohi sempadan Ukraine.

Ucapan menerusi saluran nasional Ukraine itu mendapat perhatian seluruh dunia yang turut gementar dengan kebarangkalian tercetusnya Perang Dunia Ketiga.

Walaupun hakikatnya perang ini hanya membabitkan dua negara yang berkongsi sempadan, ketika itu, pembesaran skalanya diramalkan tidak mustahil boleh berlaku terutama dengan penyertaan negara-negara lain.

Ketika Russia berusaha untuk terus mara dan menawan ibu kota Ukraine, Kyiv, bekas pelawak dan pelakon itu tidak gentar merakamkan dirinya berdiri di depan kediaman rasminya sambil menegaskan beliau tidak akan berganjak biarpun apa ancaman tiba.

Kesungguhan dan keberanian presiden berusia 45 tahun itu berjaya menaikkan semangat patriotisme rakyat Ukraine untuk terus mempertahankan kedaulatan negara mereka.

Negara-negara anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan Barat juga menghantar senjata, peluru dan pelbagai jenis peralatan ketenteraan ringan dan berat, termasuk peluru antikereta kebal dan sistem pertahanan udara, howitzer, dron dan kereta kebal untuk membantu Ukraine.

jutaan rakyat Ukraine telah menjadi pelarian demi menyelamatkan diri daripada malapetaka peperangan.

Kini, 365 hari telah berlalu, Russia masih gagal menawan Kyiv biarpun ratusan ribu nyawa kedua-dua pihak telah diragut, jutaan lagi rakyat Ukraine menjadi pelarian dan banyak struktur yang musnah teruk akibat dibedil.

Setakat artikel ini ditulis, pemimpin Russia, Vladimir Putin mahupun Zelenskyy tidak menunjukkan sebarang tanda untuk berundur dan meninggalkan salah satu konflik ketenteraan terbesar sejak berakhirnya Perang Dunia Kedua itu.

Dianggarkan lebih 300,000 terkorban meliputi tentera Russia, tentera Ukraine dan orang awam. Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Hak Asasi Manusia (OHCHR) melaporkan, 11,800 orang awam Ukraine telah terkorban dengan 850 orang ialah kanak-kanak.

Menurut profesor hubungan antarabangsa di Universiti Harvard, Stephen M. Walt, Putin salah perkiraan berkenaan beberapa hal iaitu kekuatan tentera Russia, kecekalan Ukraine dan keupayaan Eropah Barat untuk mencari sumber tenaga alternatif.

“Kremlin memandang rendah keazaman warga Ukraine untuk bangkit menentang peperangan ini. Ia sama dengan ramalan dunia sewaktu perang baru meletus, ramai menjangkakan Ukraine akan tewas dalam masa beberapa hari sahaja.

“Namun, perang ini adalah misi hidup mati buat rakyat Ukraine. Jika mereka kalah, kemerdekaan yang mereka kecapi pada 24 Ogos 1991 akan lenyap.

“Selain itu, Putin juga tak menyangka kecekapan NATO dan Barat untuk tampil membantu Ukraine serta kesediaan dan keupayaan negara pengimport tenaga untuk mengenakan sekatan ke atas Russia sekali gus menghentikan eksport tenaganya,” katanya.

Jika diimbau kembali satu tahun ke belakang, detik hitam paling tragis yang menimpa rakyat Ukraine sudah pasti merujuk kepada peristiwa pembunuhan beramai-ramai di Bucha, Ukraine pada Mac tahun lalu.

Berikutan pengunduran angkatan tentera Russia dari bandar Bucha pada awal April, imej mayat-mayat bergelimpangan di jalanan dengan tangan terikat mula muncul di laporan-laporan media.

ZELENSKYY dilihat telah berjaya menaikkan jiwa patriotisme penduduk Ukraine untuk terus mempertahankan negara mereka daripada serangan dan pencerobohan Russia.

Menurut laporan pihak berkuasa pascatragedi berdarah itu, sebanyak 458 mayat ditemui dan sembilan daripadanya mayat kanak-kanak.

Lebih menyayat hati, 419 daripada mayat-mayat itu mempunyai tanda kesan ditembak, diseksa atau dipukul hingga mati, manakala 39 lagi dipercayai mati kesan daripada perang tersebut.

Sama seperti naratif perang yang ada dalam buku sejarah, Russia menafikan bahawa tentera mereka bertanggungjawab atas kematian beramai-ramai di bandar yang terletak 25 kilometer dari ibu kota Kyiv itu.

Pihak Russia mendakwa bahawa semua bukti mengenai kekejaman yang dilakukan adalah palsu dan tiada orang awam dicederakan sepanjang mereka menguasai kota tersebut.

Berdasarkan analisis naratif sputnik dilakukan institut pengajian keselamatan Prague, strategi perang maklumat Russia mengenai kekejaman yang dilakukan di Ukraine adalah sesuai dengan model klasik 4D Kempen Penyalahan Maklumat.

“Dalam model itu, maklumat sama ada ditepis, diputarbelitkan, dialih perhatian dan dibesar-besarkan untuk menutup cerita yang negatif dan sebagai cara untuk bertindak balas terhadap kritikan.

“Strategi yang sama, misalnya, digunakan semasa rampasan wilayah Crimea pada 2014 atau untuk menutup insiden MH17 Malaysia Airlines, “ tulis laporan tersebut.

Melangkah ke tahun kedua ini, kedua-dua pihak bersama sekutu mereka dilaporkan sedang menyediakan serangan besar-besaran, dengan puluhan ribu rekrut baharu dan perkakasan canggih baharu dihantar ke barisan hadapan.

Jika dinilai perang Russia-Ukraine sepanjang setahun ini, peristiwa pembunuhan beramai-ramai di Bucha, Ukraine pada Mac lalu merupakan antara tragedi terburuk.

Dalam retorik awam mereka, kedua-dua Russia dan Ukraine masih yakin dengan potensi kemenangan mereka ke atas satu sama lain.

Di Kyiv, matlamat Ukraine jelas untuk membebaskan semua wilayah Ukraine yang diduduki Russia pada masa ini, termasuk Semenanjung Crimea.

Tentera Ukraine telah berjaya membebaskan beberapa kawasan, namun sebahagian besar wilayah masih lagi di bawah kawalan Rusia.

Di kem Russia, misi untuk membebaskan Ukraine dari unsur ‘Nazi’ dan mengembalikan kegemilangan empayar Russia diteruskan.

Tentera Russia gagal untuk menduduki sepenuhnya Donetsk dan Luhansk, tetapi telah merampas sebahagian besar dua wilayah Ukraine lain di selatan, Zaporizhia dan Kherson, sekali gus mendapatkan jambatan darat ke Crimea.

Pada bulan Oktober tahun lalu, Putin mendakwa keempat-empat wilayah itu milik mereka dan menandatangani rang undang-undang secara rasmi menggabungkan wilayah-wilayah tersebut dengan Russia.

Dalam pada masa sama, pihak berkuasa Russia menjalankan kempen mobilisasi di seluruh negara, menambah kira-kira 300,000 tentera kepada pasukan tetap negara itu.

Sebahagian daripada mereka telah ditempatkan di barisan hadapan, sebagai sebahagian daripada serangan baharu Russia, tetapi kebanyakannya masih lagi kekal dalam simpanan.

Menurut pemerhati politik, Leonid Ragozin, kemenangan mana-mana pihak tidak akan berlaku dengan mudah, bahkan berpotensi untuk memburukkan lagi keadaan dengan pelbagai peristiwa susulan berikutan daripada kemenangan itu.

“Kemenangan Ukraine, terutama dengan usaha merampas semula Crimea, berpotensi mendorong Putin dan sekutunya untuk menggunakan senjata nuklear dan itu satu berita buruk untuk masyarakat dunia.

“Kemenangan Russia, sebaliknya, akan menjadi satu tamparan buat Barat. Sudah tentu mereka tidak akan berdiam diri sahaja dan tidak mustahil perang lebih besar boleh berlaku,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN