MELAKA – Sepasang suami isteri berdepan hukuman gantung selepas dihadapkan di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan mengedar pelbagai jenis dadah termasuk cecair ketamin yang disuntik di dalam minuman kultur dan jus, bulan lalu.
Tertuduh, Lee Wui Khang, 34 dan isterinya, Pimanmart Chai Songkram, 30, bagaimanapun hanya mengangguk faham sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd. Suleiman dan tiada sebarang pengakuan direkodkan.
Mengikut pertuduhan satu hingga enam, tertuduh secara bersama-sama dalam mencapai niat bersama didakwa telah mengedar dadah jenis cecair ketamin (56,100 mililiter) serbuk ketamin (3,711 gram), 3,4 methylenedioxymethamphetamine (MDMA) (299 gram), nimetazepam (144 gram) dan ketamin (96.69 gram).
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B ADB 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Bagi pertuduhan ketujuh, kedua-dua tertuduh membuat pengakuan tidak bersalah atas pertuduhan memiliki dadah jenis kanabis (33.53 gram) di masa, tempat dan tarikh sama yang didakwa mengikut Seksyen 12(2) ADB 1952.
Dalam prosiding sama, tertuduh lelaki turut didakwa atas satu pertuduhan mengedar dadah jenis ketamin berat kasar 3,910 mililiter yang dilakukan pada pukul 8.10 malam di tempat parkir kereta di hadapan pangsapuri Straits Emerald Tower, Jalan Merdeka, Garden City Melaka pada 20 Januari lalu.
Terdahulu pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Fiqri Hakim Zamri, manakala tertuduh tidak diwakili peguam dan makamah menetapkan tarikh 15 Mac depan untuk serahan laporan kimia dan sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE














