GEORGE TOWN – Bukan satu alasan munasabah buat pasangan muda yang menetap di kota metropolitan untuk tidak memiliki cahaya mata, rentetan kos sara hidup yang semakin meningkat.
Seorang suri rumah yang mahu dikenali sebagai Aida Syamsul, 34, berkata, dia sentiasa percaya, rezeki anak tetap ada dalam kehidupan berumah tangga.
Katanya, kehadiran cahaya mata mampu menggandakan lagi rezeki dan kebahagiaan buat pasangan suami isteri, meskipun hidup secara sederhana.
Akui ibu kepada tiga anak itu, sumber pendapatan suaminya sebagai nelayan pantai yang tidak menentu iaitu di bawah RM1,500 sebulan juga mampu membahagiakan mereka sekeluarga, selain mengajar erti berjimat cermat.
“Jangan risau, rezeki anak tetap ada. Semuanya terpulang pada diri sendiri bagaimana hendak menguruskan hal kewangan keluarga dengan baik. Saya berjimat dengan membeli barang keperluan memasak atau asas dengan cara timbang kilo.
“Daripada beras, tepung, gula, garam, bawang merah dan putih semuanya timbang kilo. Jarang sekali beli yang sudah siap peket atau ikat. Memang boleh jimat setengah bulan kerana kita sendiri yang tentukan kuantiti barangan itu,” katanya yang mempunyai anak berusia enam bulan, 10 dan 13 tahun.
Ujarnya, banyak kaedah yang boleh dilakukan pasangan dalam mengurus soal kewangan, keluarga dan anak-anak dengan salah satunya membeli barangan ikut kemampuan.
“Jangan jadikan alasan tinggal di bandar memaksa setiap pasangan merancang untuk memiliki cahaya mata.
“Zaman sekarang, pasangan kategori M40 dan T20 juga berdepan masalah kewangan.
“Mereka lagi menanggung beban hutang bank yang banyak.
“Saya sebolehnya mengelak beli barangan keperluan secara hutang,” ujarnya.
Ada pelanggan membeli barangan keperluan seperti beras secara timbang kilo untuk menjimatkan perbelanjaan keluarga setiap bulan.














