fbpx
Pasangan muda enggan memiliki anak ketika ini kerana pendapatan isi rumah masih belum mampu menampung kenaikan kos sara hidup. – Gambar hiasan

Orang muda gaji bawah RM5,000 tangguh miliki anak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Trend untuk tidak memiliki anak bagi pasangan muda yang menetap di bandar semakin popular selepas rata-rata mereka mengakui terhimpit dengan kenaikan kos sara hidup khususnya yang berpendapatan isi rumah kurang RM5,000 sebulan.

Mereka mendakwa perkahwinan bagi pasangan berusia di bawah 30 tahun dengan pendapatan sedemikian lebih cenderung untuk mengamalkan perancangan keluarga ketika ini.

Pekerja swasta yang mahu dikenali sebagai Zulhilmi, 29, berkata, dia dan isteri terpaksa melupakan seketika hasrat untuk memiliki anak ekoran pendapatan isi rumah mereka hanya berjumlah RM3,500.

Katanya, keadaan itu membuatkan dia tidak yakin untuk memikul tanggungjawab dan komitmen untuk membesarkan anak dalam keadaan serba serbi kekurangan.

“Setelah dua tahun berkahwin, kami masih lagi belum bersedia untuk mempunyai anak. Banyak perkara perlu diambil kira terutama kos sara hidup.

“Saya memperuntukkan RM1,500 untuk komitmen bulanan termasuk membuat sedikit simpanan yang memakan hampir separuh daripada pendapatan kami,” katanya kepada Kosmo!.

Sementara itu, isterinya, Siti Hajjar, 27, berkata, mereka mempertimbangkan untuk memiliki anak apabila ekonomi keluarga sudah stabil.

“Sebarang keputusan pada masa depan adalah bergantung kepada kemampuan. Secara mudah, kami perlu mencapai tangga gaji atas RM5,000 supaya boleh membesarkan anak dengan selesa.

“Saya tidak mahu apa yang jadi ketika kecil, terjadi pula ketika saya jadi ibu bapa. Banyak perkara ibu bapa saya tidak dapat tunaikan kerana tiada duit,” katanya.

Pasangan muda yang memiliki anak seorang. – Gambar hiasan

Menurut Siti Hajjar, nampak se­perti senang tetapi membuat perancangan keluarga tidak mudah seperti yang disangka kerana memerlukan banyak pengorbanan.

“Perlu berhati-hati ketika me­lakukan hubungan intim. Kena guna alat pencegah kehamilan seperti kondom, pil perancang dan nasihat doktor pakar kerana saya juga mahu mengandung dan ada anak satu hari nanti,” kata­nya.

Dalam pada itu, seorang jurutera swasta, Aalam Fairuz, 30, berkata, dia dan pasangan memilih untuk merancang dalam berkeluarga selari dengan perancangan kerjaya.

Jelasnya, dia dan pasa­ngan telah menetapkan tempoh se­kurang-kurangnya tiga tahun se­bagai persediaan mental dan juga kewangan sebelum mempunyai tanggungan anak.

“Bagi kami, apa yang pen­ting adalah gaya hidup yang stabil. Sekarang kerja enam hari se­minggu yang mana saya rasa tidak sesuai dan saya pun masih baru dalam industri kejurute­raan.

“Isteri pula baru mula berniaga sejak 2019 lalu. Selepas pandemik, saya rasa keputusan yang kami buat adalah tepat kerana terdapat banyak perkara yang perlu diuruskan,” katanya.

Selain itu, Aalam berpendapat pendapatan minimum yang perlu dimiliki oleh kedua-dua pasangan untuk membesarkan anak di bandar adalah sekitar RM8,000.

“Melihat keadaan ekonomi sekarang ini, saya sedikit risau untuk mempunyai komitmen berlebihan.

“Sewa rumah sahaja sudah separuh gaji dan itu tak terma­suk kos-kos lain.

“Namun, saya tidak pernah menolak rezeki memiliki anak selain menganggap ia satu anugerah daripada Allah SWT dan bukanlah suatu beban,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN