DARI jauh, dapat dilihat seorang lelaki begitu fokus menulis sesuatu menggunakan pen khas berdakwat hitam.
Hayunan tangan kanannya begitu lembut menulis ayat-ayat suci al-Quran yang dikenali sebagai tulisan khat atau kaligrafi Islam.
Seketika pen tradisional yang diperbuat daripada batang pokok paku resam dikenali sebagai handam itu dicelup pada bekas dakwat lalu disambung semula proses menulis seperti biasa.
Perlahan demi perlahan, satu huruf demi satu huruf Arab mula terbentuk dengan begitu indah dan cantik hasil jari jemari anak jati kelahiran Kedah itu.
Menurut lelaki itu, Mohd. Zulfikri Mohd. Sobri, dia sedang dalam proses menyiapkan manuskrip salinan al-Quran terbaharu yang baru sahaja di peringkat permulaan.
“Sekarang ini saya dan pasukan seramai lima orang yang berkhidmat di Nasyrul Quran (NQ) dalam proses menyiapkan al-Quran terbaharu iaitu edisi kelima.
“Kesemua salinan manuskrip dilakukan 100 peratus menggunakan tulisan tangan sama seperti edisi sebelum ini dan yang kali pertama diterbitkan di Malaysia sekitar tahun 2000,” katanya kepada K2 ketika ditemui baru-baru ini.

Begitulah antara tugas atau aktiviti yang dapat dilihat di NQ di Putrajaya yang merupakan pusat percetakan al-Quran kedua terbesar di dunia.
Mula beroperasi pada tahun 2017, NQ yang merupakan anak syarikat Yayasan Restu (YR) itu dibina untuk menjadi hab percetakan dan pemprosesan al-Quran bertaraf dunia.
Mohd. Zulfikri yang merupakan Ketua Jabatan Kaligrafi di YR sebelum ini telah menerima pendedahan dan pembelajaran formal menulis khat di yayasan tersebut sebelum bekerja di situ.
“Tidak terhenti sekadar belajar, Allah beri saya pula rezeki untuk bekerja sebagai penulis kaligrafi di YR sampailah ke detik ini,” ujarnya.
Mohd. Zulfikri yang juga sedang dalam proses menyiapkan tulisan khat khas bagi seni bina beberapa masjid dan surau tempatan bersyukur masyarakat Islam dari semasa ke semasa lebih terbuka, terdedah dan menerima seni Islam berkenaan.
Menerangkan lebih lanjut mengenai kewujudan dan matlamat YR, Pengerusi Eksekutifnya merangkap Ketua Pegawai Eksekutif NQ, Datuk Abdul Latif Mirasa berkata, kompleks NQ di Putrajaya bukan sekadar gedung mencetak tetapi turut menyalin bagi menghasilkan manuskrip al-Quran sentuhan anak tempatan.
Ujarnya, kilang penerbitan al-Quran kedua terbesar di dunia selepas Madinah itu mampu menghasilkan lebih sejuta naskhah al-Quran setahun untuk kegunaan domestik dan antarabangsa.
“Penerbitan al-Quran di YR melalui proses kajian dan penyelidikan menyeluruh bagi menjadikan mashaf terbitan Malaysia mempunyai identiti tersendiri.
“Proses atau ekosistem penerbitan yang dilakukan kami bermula daripada proses menyalin untuk dijadikan manuskrip, memeriksa, membuat reka bentuk hiasan hingga mencetaknya di kilang sendiri,” katanya.
Tidak setakat menempatkan ruang mencetak al-Quran, NQ turut menempatkan beberapa galeri yang dinamakan Mushaf Malaysia, Mushaf Antarabangsa selain galeri reka bentuk dalaman dan ruang tinjau pusat percetakan.
Abdul Latif berkata, YR mempunyai dua lokasi operasi iaitu di Taman Kesenian Islam, Shah Alam, Selangor dan di Kompleks NQ di Putrajaya.
Sebelum kewujudan NQ di Putrajaya yang menempatkan kompleks percetakan al-Quran kedua terbesar dunia, YR melakukan operasi sepenuhnya di Shah Alam.

Bercakap mengenai proses menyalin al-Quran, Abdul Latif berkata, proses itu dilakukan oleh lima penulis khat yang kesemuanya merupakan anak tempatan berusia 23 hingga 39 tahun.
“Penulis khat berkenaan miliki latar belakang pendidikan dalam bidang seni kaligrafi Islam yang bukan sahaja cantik penulisannya, malah faham erti setiap patah perkataan yang disalin,” katanya.
Selain mencetak bahan dakwah utama seperti al-Quran, Abdul Latif yang merupakan bekas pensyarah pendidikan berkata, pihaknya turut merancang menerbitkan lebih banyak produk berasaskan tulisan khat.
“Visi kami adalah menjadikan kompleks ini sebagai pusat penerbitan dan percetakan al-Quran yang kukuh dan mampu memenuhi permintaan pelanggan dengan penghasilan kitab suci yang berkualiti.
“Tidak setakat memenuhi permintaan domestik, kami juga telah bekerjasama dengan beberapa negara luar termasuk Kemboja, Indonesia, Kazakhstan, China, Palestin, Syria dan Nigeria yang mahukan sentuhan tangan al-Quran berpandukan motif negara mereka,” katanya.
Tidak sekadar memfokus kepada operasi percetakan semata-mata, Abdul Latif berkata, NQ juga dari semasa ke semasa sering menganjurkan pelbagai program dakwah berkaitan al-Quran.
Terbaharu ialah Restu Global Quranic Arts Festival (RGQAF) yang bakal diadakan bermula 20 hingga 29 Januari di Kompleks NQ setiap hari seawal pukul 9 pagi.
“Menariknya pelbagai aktiviti disusun atur termasuk pameran buku sirah nabi terbesar di dunia, pameran artifak khazanah al-Quran, pameran replika pedang dan artifak Rasulullah.
“Selain itu, turut diselitkan ialah aktiviti kaligrafi, jualan produk Muslim, infaq dan wakaf al-Quran, aktiviti kanak-kanak, program ilmiah dan lawatan ke kilang NQ tanpa sebarang bayaran dikenakan kepada pengunjung,” katanya.














