SECARA tiba-tiba nama penyanyi dan pelakon Bollywood, Nora Fatehi mencanak naik sebaik gosip mengenai keintimannya dengan anak teruna Shah Rukh Khan meledak dalam laman sosial sekali gus menjadi tajuk utama berita.
Khabar kencang percintaan yang bertebaran juga tidak sehebat ketika namanya diumumkan sebagai penyanyi untuk majlis penutup Piala Dunia 2022 di Qatar, 20 November tahun lalu.
Nyata berita yang meletakkan diri penghibur berusia 30 tahun itu setara dengan Shakira dan Jennifer Lopez selaku penyanyi yang pernah beraksi di pentas sama tidak sehebat spekulasi percintaannya dengan Aryan.
Tidak perlu diperkenalkan
Begitupun, hakikatnya figura seni yang dilahirkan di Kanada itu tidak perlu diperkenalkan di arena hiburan India. Selain jelita, seksi dan berbakat, dia juga berpendidikan tinggi dengan menggenggam Ijazah Sains Politik.
Tidak hairan andai akaun Instagramnya diikuti hampir 44 juta pengikut dari seluruh dunia selain wajahnya laris menghiasi majalah antarabangsa yang membuktikan wanita itu bukan calang-calang anak seni.

Meletakkan sasaran sebagai penghibur versatil, Nora yang berkebolehan menari ‘belly dance’ akan melengkapkan portfolio kariernya apabila duduk di kerusi sutradara filem dengan pada tahun ini.
“Setiap insan punya impian, tidak terkecuali saya. Selain berlakon, menyanyi, menulis, menari dan mengarahkan video muzik, tahun ini saya mahu mencabar diri sebagai sutradara filem.
“Sebuah projek baharu yang menggandingkan saya dengan aktor sensasi, John Abraham akan menawarkan cabaran berbeza yang turut menonjolkan kreativiti saya,” katanya dalam wawancara dengan sebuah majalah.
Artis versatil
Sebelum ini, Nora pernah menyalurkan sentuhan pengarahannya menerusi video muzik berjudul Dirty Little Secret yang juga membuktikan keampuhannya apabila menggalas pelbagai tanggungjawab dalam satu masa termasuk sebagai model utama.
Mengimbas semula pembabitannya di arena hiburan Bollywood yang bermula sekitar 2014, dia terbabit dalam filem Roar: Tigers of the Sundarbans.

Nora seterusnya laris disambar menjadi bintang beberapa filem bahasa lain seperti Hindi, Telegu, Tamil dan Malayalam.
Setahun kemudian, dia yang juga wajah jenama terkenal diundang menjadi peserta program televisyen terhangat di negara itu, Bigg Boss 9.
Impaknya, dia terus menempa kemasyhuran apabila muncul dalam filem Satyameva Jayate.
Versi baharu lagu latar filem tersebut, Dilbar yang dinyanyikannya mencetuskan perhatian luar biasa apabila mencatat tontonan 20 juta kali dalam tempoh 24 jam menerusi YouTube.
Dalam arena nyanyian, anak seni berdarah Maghribi itu pernah berkolaborasi dengan ramai penyanyi negara lain, namun paling menyerlah adalah aksi di acara di Qatar bersama RedOne, Balqees, Manal dan Rahma Riad.
Zip mulut hal gosip
Sementara itu, berkenaan gosip cinta dengan Aryan yang berusia 25 tahun, biarpun si jelita yang sinonim dengan imej seksi itu hanya mengunci mulut, ramai memberikan sokongan terhadapnya.
Malah biar segelintir netizen menyatakan jarak usia lima tahun agak jauh, tidak kurang juga ada tampil menempelak tanggapan sebegitu yang didakwa sebagai kuno apabila usia dijadikan halangan.
Begitupun, anak lelaki Shah Rukh Khan itu juga enggan melayan gosip tersebut kerana mereka kebetulan bertemu di pesta sambutan tahun baharu di Dubai, yang menyaksikan Aryan sebagai tuan rumah.

Kemesraan antara kedua-dua figura popular itu sekali gus membuatkan dia menyelar gosip yang timbul.
Sambil menegaskan, tidak semestinya ada hubungan cinta antara dua individu andai mereka dilihat bersama atau bergambar berdua dalam media sosial.
Dalam keghairahan media dan netizen berbahagi pendapat mengenai hubungan tersebut, di pihak pemerhati industri perfileman pula melihat Nora Fatehi sebagai ‘next best thing’ Bollywood. Dia dicanang sebagai wajah ‘baharu’ yang akan menjulang populariti dalam industri berkenaan.














