fbpx
YANA SAMSUDIN

Yana Samsudin bukan acah-acah ‘streamer’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SELAMA 19 tahun jatuh bangun dalam dunia hiburan tanah air, selebriti serba boleh Yana Samsudin dilihat semakin memperlahankan kegiatan seni.

Bukan mahu mengundur diri, namun semuanya bergerak sei­ring pertambahan ahli keluarga dan sayap perniagaan yang semakin berkembang.

Kini, bintang yang cukup sinonim dengan watak Wawa dalam filem Adnan Semp-It itu dilihat lebih aktif dalam karier baharu iaitu sukan permainan vi­deo atas talian sebagai penstrim sehingga pernah dikatakan antara wanita terawal yang menyertai dunia e-sukan.

Meskipun dunia hiburan dan permainan video merupakan dua cabang berbeza, Yana serasi menjadi pemain e-Sukan wanita sehingga mampu meraih pendapatan lumayan.

Menurut pemilik nama sebenar Norliana Samsudin, kegiatannya sebagai pemain e-Sukan bermula sebelum Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP) lagi. Dari situ, secara tidak langsung rezekinya lebih bersinar ke arah dunia permainan video.

IBU kepada sepasang cahaya mata itu memastikan komitmen sebagai pemain e-Sukan yang perlu berjaga malam tidak menjejaskan perhatian terhadap suami dan anak-anak.

Titik permulaan

“Secara tidak sengaja saya bekerjasama dengan Facebook Gaming iaitu Egg Network selama dua tahun dan sambung menghasilkan kandungan e-sukan,” kata pelakon berusia 38 tahun itu.

Pelakon Bini-biniku Gangster itu juga mengakui sudah lama berjinak-jinak dalam permainan video.

“Dari dahulu lagi saya suka main permainan video tetapi hanya mainan jenis penembak tunggal seperti Counter Striker.

“Sewaktu mula bermain PlayerUnknown’s Battlegrounds Mobile (PUBGm) dan berada dalam industri e-sukan, saya perasan ramai budak muda dalam platform tersebut,” ujarnya.

Apabila sering menghabiskan masa dengan permainan video, Yana menggunakan peluang tersebut untuk mendekati anak muda.

Sebagai penstrim yang sudah agak berusia, dia bertindak sebagai penasihat serta memberi motivasi.

“Tanggungjawab saya untuk memberi sumbangan kepada komuniti. Saya buat kandungan ambil budak-budak muda yang menyertai e-sukan jalani latihan.

“Dari situ saya memberi pendedahan bagaimana untuk menjalani latihan dan saya beri motivasi bukan hanya bermain e-sukan semata-mata,” katanya.

PELAKON filem Strawberi Cinta itu menjadikan platform e-Sukan untuk melatih dan memberi motivasi kepada remaja untuk membanggakan ibu bapa.

Pencalonan

Ditemui usai ketika sidang media Gempak Most Wanted Awards 2022 (GMWA2022) baru-baru ini, pengarah filem Selamat Pagi Cinta itu menepis dakwaan hanya berpura-pura sebagai pemain e-Sukan.

Sebaliknya, dia bukan sekadar serius dalam dunia ‘gamers’ bahkan turut memberikan latihan percuma buat anak muda yang ingin mengembangkan bakat mereka dalam dunia e-sukan.

“Kalau saya acah-acah untuk sertai e-Sukan takkan sampai tiga tahun dan ‘stream’ lebih daripada tujuh sehingga lapan jam sehari.
“Suami pula tidak sekat kerana niat saya adalah untuk memberikan sesuatu kepada remaja. Ramai budak berbakat di situ sebab itu saya buka peluang untuk mereka berlatih.

“Saya beri latihan dan kongsi ilmu percuma bagaimana untuk menyertai dan menghasilkan pertandingan,” tuturnya.

Bercakap mengenai GMWA2022 yang akan berlangsung pada 26 Februari kelak, Yana tercalon dalam kategori baharu iaitu Personaliti Gamer Tergempak bersama-sama dengan ‘streamer’ terkenal Malaysia, Soloz, Kambing Golek, Jaa Suzuran dan Daddy Hood.

“Sebelum ini, datang ke majlis sebegini selalunya berjumpa kawan-kawan yang saya kenal, tetapi masa datang, semua muka baharu yang kenal dalam platform digital. Saya pula tercalon dalam kategori budak-budak muda,” katanya.

SEJAK menyertai dunia e-Sukan, Yana kini dikenali dan diminati peminat dalam kalangan remaja yang rata-rata mengenalinya sebagai penstrim atau ‘streamer’.

Budaya

Sepanjang aktif dalam e-Sukan, Yana pernah turun padang membantu membuat laporan polis berhubung satu gangguan seksual lisan terhadap kanak-kanak perempuan berusia 13 tahun. Tindakan tersebut diambil bagi memastikan perbuatan memualkan sebegitu dapat dihentikan, sekali gus membersihkan dunia e-Sukan daripada budaya kotor.

“Selalunya orang yang bermain permainan video ialah introvert. Ibu bapa pula tidak memeriksa kelakuan mereka dan sebagai ‘streamer’ saya ambil inisiatif memantau perbuatan mereka,” tegasnya.

Disebabkan aktiviti ‘streamer’ sering tertumpu pada waktu malam, Yana perlu mengatur jadualnya dengan teliti supaya tidak mengganggu kehidupan seharian.

Bercakap tentang dunia e-Sukan yang menjadi sebahagian mata pencariannya, Yana sebenarnya tidak perlu mengeluarkan kos tinggi untuk membeli peralatan, sementelah disokong suaminya dan penajaan tertentu.

“Kesemua peralatan kebanyakan hadiah daripada suami. Susah untuk bercakap berapa anggaran keseluruhan.

“Komputer yang digunakan pula pemberian sebuah syarikat terbabit dalam dunia e-Sukan yang dianggarkan bernilai belasan ribu ringgit. Kerusi pula lebih mahal daripada komputer,” tuturnya.

Mengakui masih merindui dunia lakonan, ibu anak dua itu terpaksa melepaskan seketika kecintaan yang satu itu demi mengutamakan keluarga.

“Memang rindu berlakon tetapi untuk aktif seperti dahulu saya rasa tidak boleh kerana sudah ada anak. Tawaran pun boleh ambil dua tiga sahaja setahun.

“Tetapi, saya aktif dalam pengacaraan. Sekarang saya menjadi pengacara Iris Wanita, program bual bicara siaran TV1, setiap Ahad,” tutupnya.

BERBEZA ketika zaman kemuncaknya popularitinya, kini Yana tidak lagi tercalon dalam kategori melibatkan lakonan sebaliknya kategori yang rata-ratanya diwakili generasi jauh lebih muda. – M. FIRDAUS M. JOHARI
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN