TAMPIN – Seorang pengusaha bengkel kenderaan hanya mampu berserah selepas premis yang diusahakan sejak 36 tahun lalu di kawasan Industri Kecil Sederhana (IKS) Repah di sini terbakar awal pagi tadi.
Peow Chin Teck, 62, berkata, pada mulanya, dia menyangkakan panggilan yang diterima daripada seorang pekerja yang tidur di bengkel pada pukul 2.45 pagi tadi merupakan kejadian kebakaran biasa.
Menurutnya, sebaik sampai, Chin Teck terkejut melihat bengkel yang sudah lama diusahakan terbakar. Terdapat lebih 30 buah kenderaan yang menunggu untuk dibaiki musnah terbakar.
“Banyak aksesori dan alat ganti kereta musnah. Masuk tahun baharu terbakar pula, saya bimbang dengan keadaan kereta pelanggan. Apa boleh buat, rugi memang rugi. Buat masa ini, saya akan menyenaraikan kenderaan yang musnah serta kerugian yang dialami,” katanya ketika ditemui hari ini.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tampin, S. Dulasi Nathan memberitahu, pihaknya menerima panggilan pada pukul 2.46 pagi sebelum sepasukan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Bengkel kereta itu terbakar 100 peratus. Operasi pemadaman turut dibantu Balai Bomba dan Penyelamat Kota dan Gemencheh,” katanya. Punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.-KOSMO! ONLINE.














