fbpx
Pelbagai kisah misteri tersimpan di sebalik keindahan Bukit Jernih di Padang Besar, Perlis.

Misteri batu menyerupai hidupan di Bukit Jernih

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TAMAN Rekreasi Bukit Jernih di Padang Besar, Perlis menjadi antara lokasi tumpuan penduduk tempatan untuk beriadah terutama pada cuti hujung minggu.

Kesegaran aliran air Sungai Jernih yang tenang di bawah rimbunan pohon-pohon hutan itu turut menarik minat pengunjung dari Kedah untuk berkelah bersama keluarga.

Kawasan rekreasi itu juga telah dinaik taraf dengan pelbagai kemudahan seperti tapak perkhemahan, tandas awam, selain perkhidmatan malim gunung bagi pengunjung yang minat mendaki bukit.

Bukit Jernih yang terbina daripada batu kapur merupakan sebahagian daripada formasi Chuping berusia 240 juta tahun.

Justeru, ia telah diiktiraf sebagai salah satu geotapak di negara ini dengan kepelbagaian fosil dan geotrail.

Di sebalik riuh rendah pengunjung yang datang dari seluruh pelosok negara, Bukit Jernih menyimpan koleksi cerita lisan yang disampaikan sejak turun-temurun.

Bukit Jernih dikatakan dibuka oleh seorang lelaki gagah perkasa yang mempunyai perwatakan seperti seorang pendekar dengan memakai pakaian serba hitam. Dia menggunakan nama gelaran Jernih Hati.

Sehingga hari ini, Jernih Hati dikatakan masih menjaga kawasan itu daripada sebarang ancaman serta perlakuan tidak senonoh.

Menurut penduduk setempat, Md. Saad Puteh atau lebih dikenali sebagai Tok Ibrahim, 77, dia tidak menolak kewujudan Jernih Hati, namun lelaki itu mempunyai versi tersendiri.

Katanya, dia mendengar cerita bahawa kawasan itu dibuka oleh Tok Jernih yang sering memakai pakaian hitam dengan tubuh tegap bagaikan seorang pahlawan sama seperti Jernih Hati.

“Saya tidak menolak kemungkinan, Jernih Hati dan Tok Jernih adalah orang yang sama membuka kawasan ini seperti diceritakan oleh orang lama seperti Tok Mat Lebai Terpus (Tarbus) Merah.

“Tok Jernih dikatakan mempunyai ilmu tinggi, malah dia bertugas menjaga kawasan ini daripada pelbagai ancaman serta perlakuan tidak senonoh,” katanya.

Tambahnya, ada beberapa kejadian individu yang melakukan perkara tidak senonoh ‘ditampar’ dan ‘disergah’, namun apabila dicari pelaku tiada siapa di sekeliling mereka.

Cerita Tok Ibrahim, Bukit Jernih juga menyimpan pelbagai cerita lisan sejak turun-temurun, antaranya adalah kisah Sang Kelembai atau Gelembai.

Formasi batu kapur ini dikatakan menyerupai seekor gajah.

“Sang Kelembai ini adalah satu makhluk jahat, dia bersaiz sangat besar dan setiap langkahnya sangat luas. Salah satu sifatnya adalah apabila dia membuka mulut, maka apa ditegurnya akan menjadi batu.

“Mengikut cerita orang lama, pelbagai haiwan atau hidupan yang ditegurnya menjadi batu. Bahkan, makhluk dari alam lain pun tidak terkecuali terkena tegurannya,” jelasnya.

Ketika ditanya mengenai formasi batu seperti nenek kebayan di pintu gua Bukit Jernih turut terkena teguran Sang Kelembai, dia berkata, perkara itu tidak mustahil berlaku.

“Selain batu seperti nenek kebayan, terdapat batu berbentuk gajah, selain bentuk pengantin bersanding di dalam gua.

“Kisah lama ini mengajar kita agar lebih beradab jika masuk kawasan orang,” katanya.

Tambah Tok Ibrahim, ramai orang yang ingin menuntut ilmu datang bertapa atau bersuluk, malah ada yang hadir untuk menurun nombor ekor di bukit itu.

Katanya, jika melakukan perkara tidak elok seperti itu, pasti ada sesuatu yang buruk akan berlaku, sama ada ditampar atau disergah penunggu kawasan tersebut.

Sementara itu, seorang peniaga di kawasan rekreasi tersebut, Rohani Man, 54, berkata, kawasan berkenaan penuh dengan formasi batuan menyerupai objek atau hidupan.

“Di dalam gua atas bukit ini ada batu berbentuk nenek kebayan, ia memang jelas kelihatan dari kaki bukit. Terdapat juga bentuk lain seperti batu bersiram berbentuk payung serta batu nisan,” katanya.

Tambah Rohani, ibunya memaklumkan, kawasan itu dipenuhi ‘penunggu’ dan ‘penjaga’.

Jelasnya, setiap urusan keluar dan masuk hutan di kawasan itu mestilah dimulakan dengan niat yang baik bagi mengelakkan berlaku sesuatu tidak diingini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN