fbpx
SANI tidak menyangka wanita yang ditemuinya dalam sesi blind date merupakan makhluk dari alam lain . – ilustrasi Shah Hasan

Misteri wanita cantik ketika blind date

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BIARPUN sudah hampir tujuh tahun berlalu, namun peristiwa seram itu masih tidak dapat dilupakan oleh Sani (bukan nama sebenar). 

Cerita Sani, pada suatu malam, dia memberanikan diri untuk melakukan janji temu (blind date) dengan seorang wanita yang dikenalinya dalam satu aplikasi popular. 

Ujarnya, dia teringin berjumpa dengan wanita dikenali sebagai Kira itu kerana ingin melihatnya secara depan-depan, dan bukannya dalam skrin saja.

Membuka bicara mengenai kejadian di Selatan tanah air, cerita Sani, dia sampai di sebuah kafe kecil di tepi sebatang jalan sekitar pukul 8.30 malam.

Cahaya lampu kuning yang ‘lembut’ di kafe itu mencipta suasana hangat, namun hatinya berdegup kencang. 

“Entah mengapa Kira mahu berjumpa di situ, mungkin kerana kafe itu sentiasa lengang, sepi tanpa pengunjung,” ujar Sani.

Dia menunggu sambil memperhatikan pintu masuk. Tidak lama kemudian, seorang wanita dengan rambut panjang berwarna hitam dan senyuman manis muncul.

“Hi, Sani,” tutur wanita itu dengan suara lembut. 

“Ya, awak Kira kan?” balas Sani, cuba menyembunyikan rasa gugup.

Mereka duduk di sebuah meja di satu sudut. Kira menatap Sani dengan mata yang kelihatan agak pelik. 

Ketika sedang menunggu minuman tiba, Sani mengambil kesempatan merenung wanita di hadapannya itu. 

Rambut panjang Kira yang rapi dan wajahnya yang bebas solekan tebal berjaya menyerlah kecantikan semula jadi wanita berusia lewat 20-an itu.

“Sejujurnya, apabila melihat wajah Kira di dalam telefon sama cantik dengan dirinya sebenar, saya sudah tidak fikir apa-apa yang pelik. 

“Saya percaya, Kira seorang yang jujur kerana ramai suka sunting gambar secara berlebihan atau menyamar jadi orang lain ketika blind date,” ujar Sani.

Ketika di kafe, mereka berbual tentang kehidupan, pekerjaan dan minat masing-masing. 

Sani tidak menyangka, Kira tahu begitu banyak perkara tentang dirinya. 

“Ujar Kira, dia sentiasa berada di sekeliling saya, tanpa saya sedari,” kata Sani. 

Sebaik mendengar jawapan wanita jelita itu, Sani tersentak. Ayat itu kedengaran aneh hingga menyebabkan dia berasa tidak sedap hati.

Selepas sejam duduk di situ, Sani mula perasan sesuatu yang ganjil. 

“Pelayan kafe tengok saya macam pelik mungkin kerana ‘order’ dua minuman dan bercakap seorang diri. Mereka seperti tidak dapat melihat Kira,” ujarnya. 

Tiba-tiba, lampu di atas kepala mereka berkedip. Ketika itu, Sani mula sedar bahawa bayang-bayang Kira tidak kelihatan di atas lantai. 

“Ketika itu, jantung saya berdegup sangat laju, namun saya tetap mengangkat wajah untuk melihat Kira,” ujar Sani.

Tidak lama kemudian, Kira tiba-tiba tersenyum, namun kali ini senyumannya amat menyeramkan.

“Sebenarnya, saya tidak wujud di dunia manusia, saya hanya menunggu seseorang yang kesepian untuk ditemani,” ujar Kira perlahan.

Waktu itu, peluh dingin mula membasahi tubuh Sani. Dia cuba bangun, namun kakinya berat, seolah-olah terperangkap. 

Kemudian, Kira bangun dan bergerak menghampiri Sani, sebelum pemuda itu pengsan tidak sedarkan diri.

Keesokan harinya, Sani terjaga daripada pengsan dan menyedari dia sudah berada di atas katil bilik sewanya. 

“Sebaik terjaga, saya mencapai telefon bimbit dan melihat mesej daripada Kira bertulis: “Terima kasih kerana menemani saya malam tadi,” katanya.

Sejak kejadian itu, Sani tidak pernah lagi muncul di mana-mana aplikasi temu janji kerana serik bertemu dengan makhluk dari alam lain.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN