DR. AQILAH berkongsi mengenai hal-hal mitos berkenaan kanser payudara.

‘Mamogram bukan punca kanser payudara, kanser merebak’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SETIAP tahun, Oktober menjadi bulan kesedaran kanser payudara, dan pelbagai kempen diadakan bagi meningkatkan kesedaran tentang masalah tersebut.

Namun kesedaran sahaja tidak mencukupi, ramai wanita di Malaysia masih belum melakukan tindakan awal.

Menurut laporan Global Cancer Observatory pada 2022, kanser payudara kekal sebagai kanser paling kerap berlaku dalam kalangan wanita Malaysia yang merangkumi 31.3 peratus daripada semua diagnosis kanser kaum Hawa pada 2022.

Ia juga menjadi punca utama kematian akibat kanser dalam kalangan wanita di negara ini.

Walaupun pelbagai kempen kesihatan awam dijalankan, namun isu kelewatan diagnosis terus menjadi cabaran utama.

Pakar Perubatan Onkologi Klinikal di Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway (SMC), Dr. Aqilah Othman berkata, semakin ramai wanita muda hadir untuk saringan tetapi masih ramai datang pada peringkat lewat.

Menurutnya, ada yang berharap ketulan itu akan hilang sendiri, ada pula menangguh rawatan kerana takut atau beranggapan kanser umpama hukuman mati.

“Apabila mereka datang, kanser itu sudah lama berada dalam badan. Salah faham yang sering diketengahkannya adalah tanggapan bahawa saringan hanya perlu dilakukan apabila terdapat simptom.

“Itu menidakkan tujuan sebenar saringan. Saringan dilakukan untuk mengesan kanser ketika anda masih rasa sihat,” katanya.

Tambahnya, jika simptom sudah ada, itu bukan lagi saringan, sebaliknya pemeriksaan lanjut.

Pengesanan awal mampu meningkatkan peluang hidup dengan ketara. Kajian menunjukkan, pengesanan awal kanser payudara ketika belum bergejala meningkatkan kadar sembuh dan kelangsungan hidup jauh lebih tinggi.

Dr. Aqilah menjelaskan, prognosis jauh lebih baik apabila penyakit itu dikesan awal.

“Sekiranya dikesan awal, rawatan mungkin hanya pembedahan. Namun jika lewat, rawatan akan melibatkan kemoterapi, radioterapi dan terapi hormon.

“Rawatan ini lebih sukar, mahal dan membebankan emosi pesakit. Hal ini kerana apabila kanser sudah merebak ke nodus limfa atau organ lain, rawatan agresif dan multimodal diperlukan. Pada tahap itu, kanser lebih sukar dirawat dan boleh merebak ke bahagian lain,” jelasnya.

Panduan Amalan Klinikal (CPG) Malaysia menyarankan wanita berusia 50 hingga 74 tahun dengan risiko sederhana menjalani mamogram setiap dua tahun.

Namun, bagi golongan berisiko tinggi terutama mereka dengan sejarah keluarga yang kuat atau risiko genetik, pemeriksaan perlu dimulakan lebih awal dan kerap.

Dr. Aqilah turut mengesyorkan pemeriksaan ultrabunyi untuk sesetengah wanita di bawah usia 40 tahun kerana ketumpatan tisu payudara menjadikan mamogram kurang berkesan.

“Ultrabunyi adalah cepat, tidak menyakitkan dan sangat berkesan untuk wanita lebih muda.

“Namun, kadar saringan masih rendah kerana kekangan masa, kos, stigma dan maklumat salah.

“Ada wanita tidak dapat meluangkan masa untuk pemeriksaan. Jika masih rasa sihat, mereka fikir tiada sebab untuk menjalani saringan,” terangnya.

Bagi mengatasi halangan itu, Dr. Aqilah berkata, terdapat inisiatif kerajaan yang menawarkan mamogram percuma sepenuhnya, begitu juga badan bukan kerajaan (NGO).

Hospital swasta turut menawarkan pemeriksaan terus pada hari yang sama tanpa memerlukan rujukan.

Anda hanya perlu meminta pemeriksaan payudara, sebelum diberi panduan.

Dengan menjadikan saringan lebih mudah diakses, ia bukan sahaja menggalakkan diagnosis tepat, sebaliknya menyumbang kepada kepuasan pesakit kerana memudahkan proses yang selalunya boleh menimbulkan kebimbangan.

Sementara itu, Dr. Aqilah turut membincangkan beberapa mitos tentang mamogram.

“Mamogram bukan punca kanser, dos radiasinya sangat rendah. Biopsi juga tidak menyebabkan kanser merebak. Sebaliknya, ia penting untuk mengesahkan diagnosis serta menentukan rawatan paling sesuai.

“Mitos tentang rasa sakit juga sering menjadi penghalang, sedangkan hakikatnya mamogram tidaklah sesakit seperti disangka,” ujarnya.

Beliau juga menepis mitos bahawa pesakit kanser tidak boleh menjalani kehidupan seperti biasa semasa rawatan.

“Kebanyakan rawatan sekarang boleh diurus dengan baik.

“Dengan sokongan yang betul, pesakit boleh bekerja, bercuti dan meneruskan kehidupan seperti biasa.

“Kanser tidak bermakna seseorang itu perlu mengasingkan diri daripada dunia luar,” katanya.

Faktor gaya hidup memainkan peranan besar dalam meningkatkan risiko kanser payudara dalam kalangan wanita.

Obesiti, merokok, pengambilan alkohol dan pengambilan makanan diproses menyumbang kepada kanser.

Justeru itu, mengekalkan gaya hidup aktif serta mengamalkan pemakanan berkhasiat dapat membantu mengurangkan risiko kanser.

Dalam pada itu, Dr. Aqilah menekankan wanita berusia antara 50 hingga 74 tahun yang masih belum menjalani mamogram dalam tempoh dua tahun segera berbuat demikian.

“Bagi wanita dalam lingkungan 40-an pula, dinasihatkan agar berbincang dengan doktor jika perlu mula menjalani saringan ini lebih awal.

“Wanita juga perlu memberi perhatian kepada tanda amaran seperti ketulan, perubahan pada kulit, lelehan dari puting atau sakit pada payudara.

“Jika simptom berlarutan lebih dari empat minggu, segera dapatkan nasihat perubatan dan jangan bertangguh lagi,’ jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN