KAHERAH – Wajah ‘kacak’ Firaun Mesir purba yang paling berkuasa, Ramesses II boleh dilihat buat kali pertama sejak 3,200 tahun lalu hasil daripada teknologi saintifik baharu, lapor MailOnline semalam.
Pasukan saintis dari Mesir dan England bekerjasama untuk menghasilkan wajah firaun tersebut dengan menggunakan model 3 Dimensi (3D) tengkoraknya.
Mereka kemudian menterbalikkan proses penuaan, memutar balik jam hampir setengah abad untuk mendedahkan wajah firaun tersebut ketika beliau berada di puncak kuasa.
Hasilnya ialah ‘pembinaan semula muka saintifik’ Ramesses II berdasarkan kepada imbasan tomografi berkomputer (CT) tengkorak sebenar beliau.
Seorang profesor radiologi dari Universiti Kaherah, Sahar Saleem yang mencipta model 3D tengkorak itu berkata, hasil pembinaan semula tersebut telah mendedahkan wajah seorang pemerintah yang sangat kacak.
Beliau berkata: “Imaginasi saya tentang wajah Ramesses II dipengaruhi oleh wajah mumianya. Bagaimanapun, pembinaan semula muka membantu meletakkan wajah yang hidup pada mumia.
“Saya dapati wajah yang telah dibina semula itu adalah seorang yang sangat kacak dengan ciri-ciri wajah bercirikan Ramesses II iaitu hidung mancung dan rahang kuat.”
Firaun Ramesses II adalah seorang pahlawan hebat dan memerintah Mesir selama 66 tahun dan dia telah memulakan perjanjian yang pertama di dunia. – Agensi