fbpx
UPTOWN Kota Bharu penuh sesak dengan pengunjung sehingga 1 pagi.

Uptown lebih meriah, pasar malam pula makin suram

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Lebih pilihan barangan, makanan selain tempoh masa jualan yang panjang hingga tengah malam dan dibuka setiap hari, antara faktor uptown atau bazar larut malam menjadi pilihan pengguna terutamanya di bandar-bandar besar.

Selain itu, uptown turut menjadi tarikan terutamanya golongan muda apabila harga yang ditawarkan lebih murah dan ­ruangan parkir banyak.

Keadaan itu menurut tinjauan Kosmo! jauh berbeza dengan pasar malam yang semakin lenggang dengan bilangan peniaga makin berkurangan.

Seorang pekerja swasta, Mohammad Zaki Hussin, 30, berkata, dia lebih suka dan selesa untuk ke uptown kerana bazar larut malam dibuka setiap hari berbanding pasar malam yang beroperasi pada hari-hari ter­tentu sahaja.

“Di mana-mana kawasan perumahan, pasar malam hanya dibuka seminggu sekali sahaja dan barangan yang dijual juga pasti hampir sama. Malah, kadang-kadang kalau kita ke pasar di taman perumahan lain, pasti akan jumpa peniaga yang sama.

“Itu menjadikan pilihan yang ada untuk pelanggan agak terhad jika dibandingkan dengan uptown,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Tambah Mohammad Zaki, pasar malam juga lebih sinonim dengan jualan makanan dan bahan mentah.

“Berbanding uptown yang terdapat pelbagai barangan dijual oleh peniaga seperti pakaian, kasut, serta banyak lagi barang keperluan.

“Bazar larut malam juga boleh dikatakan umpama pusat beli-belah mini di mana barangan yang ditawarkan peniaga hampir sama tetapi dengan harga lebih murah dan mudah untuk dikunjungi,” jelasnya.

Dalam pada itu, dia memberi­tahu, kedudukan pasar malam sebenarnya memainkan peranan kerana masih ada individu yang gemar membeli barangan di sana terutama di kawasan perumahan golongan berpendapatan rendah.

ORANG ramai gemar membeli di Uptown kerana barangan lebih murah dan banyak pilihan. – GAMBAR HIASAN

Pandangan sama disuarakan Ariesha Nur Ain Bukhari, 29, yang memberitahu, uptown menjadi pilihan orang ramai terutamanya individu be­kerja ke­rana menawarkan pelbagai jenis makanan menarik dengan tawaran harga yang murah.

“Jika di pasar malam kita kena bungkus tetapi kini uptown menyediakan ruang makan yang pasti menambat hati pelanggan terutamanya pelajar universiti menikmati juadah,” ujarnya.

Tambah Ariesha, sebagai suri rumah, saya juga lebih selesa membeli keperluan untuk memasak di pasar raya atau pasar tani kerana lebih banyak pilihan dan harga yang ditawarkan juga berpatutan dan menjimatkan berbanding pasar malam.

Sementara itu, seorang pelajar, Hadi Mohd. Nor, 23, berkata, dia mengakui sudah beberapa tahun tidak mengunjungi pasar malam kerana barangan yang ditawarkan di pasar malam begitu terhad.

Katanya, sebagai seorang pelajar yang sibuk pada waktu siang, dia sering berkunjung ke uptown yang dibuka lebih lama berban­ding pusat beli-belah mahupun pasar malam.

“Sebagai pelajar, saya mahukan akses kepada kedai makanan dengan mudah. Biasanya akan ke uptown selepas menyiapkan tugasan, di situ saya boleh beli makanan dan terus makan.

“Berbeza dengan pasar malam, selalunya dibuka sehingga pukul 9 hingga 10 malam sahaja.

“Sebaik membeli makanan saya perlu pulang ke rumah semula, tambahan pula pilihan di pasar malam dari dahulu sehingga kini tidak banyak berubah. Peniaga kebanyakannya jual makanan bergoreng serta makanan ringan,” katanya.

Uptown dibuka setiap hari sehingga 1 pagi dan menjual pelbagai barangan antaranya makanan, pakaian, aksekori selain permainan kanak-kanak. Malah uptown juga menawarkan perkhidmatan urutan oleh orang kelainan upaya (OKU). -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN