KOTA BHARU – Siasatan lanjut polis ke atas seorang pekebun yang membunuh bayi lelakinya berusia lapan bulan kelmarin mendapati suspek melakukan perbuatan kejam itu selepas mendakwa mendengar bisikan ‘malaikat’.
Polis juga tidak menolak kemungkinan suspek berusia 40 tahun itu terlibat dengan ajaran sesat, namun masih menjalankan siasatan sama ada dia mengikutnya secara berkumpulan atau bersendirian.
Ketua Polis Kelantan, Deputi Komisioner Shafien Mamat berkata, soal siasat mendapati suspek mendakwa dia terdengar panggilan malaikat supaya melumur garam kasar sebelum membunuh bayi tidak berdosa itu.
“Suspek dipercayai seperti dirasuk dengan suara halus yang memintanya agar bertindak sedemikian.
“Kita juga sedang mengesan sama ada pekebun itu terlibat dengan ajaran sesat secara sendirian atau berkumpulan. Sekiranya berkumpulan, polis akan mengesan rakan-rakannya yang terlibat dalam ajaran itu,” katanya.
Semalam Kosmo! melaporkan polis menemui mayat seorang bayi lelaki berusia lapan bulan dalam keadaan menyayat hati di dalam guni yang ditinggalkan di dalam rak di dapur sebuah rumah di Kampung Sungai Dua, Bachok.
Lebih menyedihkan, bahagian leher mangsa didapati menggelupas dipercayai dilumur dengan garam kasar selain kesan lebam pada seluruh badan.
Mengulas lanjut, menurut Shafien, bedah siasat menemui kesan hentakan pada bahagian dahi bayi tersebut.
Katanya, polis percaya mangsa kemungkinan terjatuh sebelum dibunuh, namun polis belum menemui sebarang senjata yang digunakan oleh suspek dalam kejadian itu.
“Ibu mangsa yang berusia 32 tahun turut ditahan untuk membantu siasatan.
“Bagaimanapun, wanita itu masih menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini. Dia masih trauma dengan kejadian yang menimpa anaknya,” katanya.
Tambahnya, polis akan terus menjalankan siasatan secara menyeluruh terhadap pasangan terbabit.














