PETALING JAYA – Ramai peniaga yang beroperasi di pasar-pasar malam terutama di sekitar Lembah Klang mula ‘angkat kaki’ untuk mencari rezeki di tempat lain bagi menampung kehidupan.
Keputusan itu terpaksa dibuat apabila pasar malam sudah tidak menjadi tumpuan orang ramai untuk membeli-belah, sekali gus menjejaskan mata pencarian peniaga di kawasan berkenaan.
Malah, pasar-pasar malam yang sebelum ini menempatkan lebih daripada 30 premis yang menjual pelbagai makanan dan bahan mentah kini semakin berkurangan dengan hanya terdapat kira-kira 15 peniaga yang masih beroperasi.
Seorang peniaga pasar malam, Muhammad Razifi Kamaruddin, 30, berkata, jumlah pelanggan yang semakin kurang telah menjejaskan perniagaan yang diusahakannya selama 12 tahun.
“Dahulu dan sekarang sangat berbeza dari segi keuntungan. Sebelum ini kami boleh peroleh pendapatan RM2,000 untuk seminggu, tetapi kini hanya RM1,000 hingga RM1,500 sahaja.
“Kawan-kawan yang berniaga sudah banyak ‘lari’ dan kebanyakan mereka memilih untuk berniaga di bahu jalan kerana waktu perniagaan yang lebih panjang dan tidak perlu membayar tapak,” katanya yang berniaga kuih tradisional akok.
Seorang peniaga keropok lekor, Turiman Sibon, 34, pula mengakui terpaksa mengurangkan jumlah jualan semata-mata untuk menjimatkan kos.
“Pelanggan makin kurang, ambil pekerja mesti minta gaji tinggi, jadi saya terpaksa menutup perniagaan laksa yang sebelum ini dijual bersama keropok lekor.
“Susah mahu lihat keadaan bersesak seperti dahulu kerana ramai yang lebih selesa membeli makanan di bahu jalan,” tambahnya. -KOSMO! ONLINE














