GEORGE TOWN – Rata-rata peniaga kecil makanan termasuk penjaja tepi jalan di negeri ini semakin terdesak untuk mendapatkan bekalan telur ayam, selain terpaksa berdepan kenaikan mendadak bagi kesemua gred barangan asas itu.
Keadaan itu dikatakan berlaku sejak awal bulan ini dan menjadi semakin ‘tenat’ akhir-akhir ini.
Seorang peniaga gerai makanan tepi jalan, Mohd. Zahir Abd. Manan berkata, dia buntu memikirkan bekalan telur yang semakin berkurangan di pasaran, selain membelinya pada harga tinggi.
Katanya, masalah itu semakin berlarutan sehingga ke minggu ini apabila syarikat pemborong mula mengehadkan hanya sepapan telur iaitu 30 biji untuk setiap keluarga.
“Ini (had jumlah telur) juga kepada peniaga-peniaga kecil seperti kami. Hari ini (semalam) ‘jenuh’ cari bekalan telur untuk jualan nasi lemak di kedai.
“Rak telur di kedai pemborong dilihat kosong, manakala di pasar awam pula hanya ada kira-kira tujuh papan sahaja.
“Itupun gred D, manakala bagi gred A dan B pula memang tak nampak dipamerkan di atas meja,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Ujarnya, kenaikan harga bekalan protein termurah itu juga menyebabkan golongan peniaga kini terus tersepit untuk mendapatkan bekalan meskipun dipasarkan RM20 sepapan.
“Harga telur ayam bagi gred C kini dijual sehingga RM17 sepapan, berbanding sebelum ini hanya RM12.90. Kami terpaksa beli, jika tiada telur tak lengkaplah hidangan nasi lemak,” ujarnya.
Seorang lagi peniaga nasi lemak di Teluk Kumbar, dekat sini Norita Ismail, 55, pula memberitahu, dia tiada pilihan dan terpaksa memilih telur ayam omega yang kini dibeli pada harga RM17 di kedai runcit.
“Kami tiada pilihan dan terpaksa beli telur mahal. Jika tidak, nasi lemak dijual tanpa telur.
“Bayangkan, untuk telur ayam gred B, harganya kini dijual RM14.70 hingga RM19 sepapan. Harganya (telur gred B) kini sudah menyamai harga telur ayam kampung, RM19 sepapan,” katanya.














