“Seluruh negara ini akan bertukar menjadi festival dan kami semua sedar akan hal itu,” kata seorang lelaki Qatar, Hamad Al-Amari yang teruja apabila negaranya menjadi tuan rumah Piala Dunia Bola Sepak FIFA 2022.
Tokok Hamad, “ia tidak mungkin jadi lebih hebat daripada ini.”
Bermula tengah malam tadi sehingga 18 Disember ini, negara kecil bak sebuah bandar itu bakal diuji dengan kehadiran 1.2 juta pengunjung dari serata dunia untuk temasya terbesar bola sepak. Qatar telah berjanji kepada dunia untuk menyediakan festival yang gah buat peminat bola sepak.
Hakikatnya Qatar adalah sebuah negara yang mempunyai penduduk kurang 3 juta dengan hanya 350,000 adalah rakyat negara itu, manakala selebihnya atau kira-kira 90 peratus penduduknya ialah imigran luar. Ini bermakna, warganya sendiri adalah kumpulan minoriti dalam negara.
Apa yang pasti, Qatar telah mencatat sejarah menjadi negara Arab atau Asia Barat pertama yang menjadi tuan rumah Piala Dunia FIFA.
“Kami suka bola sepak seperti anda, jadi datang dan nikmatinya bersama kami,” antara mesej yang digunakan Qatar semasa berkempen untuk menjadi tuan rumah.
Dianggap sebagai tuan rumah paling kontroversi dalam sejarah Piala Dunia, Qatar seakan mengakui akan timbul keraguan dalam kalangan negara-negara lain bagaimana Qatar boleh menjadi hos temasya tersebut memandangkan pasukan bola sepak negara itu tidak pernah sekalipun bermain perlawanan kelayakan sehingga tahun 1977, apatah lagi berentap di Piala Dunia.
Fail bidaan Qatar menjadi hos Piala Dunia pada tahun 2009 yang bertajuk ‘Keamanan dari Asia Barat ke seluruh dunia,’ merupakan salah satu elemen teras Qatar dan ia bagai jemputan kepada dunia untuk mengubah pandangan negatif terhadap rantau itu.

Qatar tidak melihat bola sepak hanya sebagai hiburan dan sumber menjana pendapatan negara, tetapi juga satu cara ‘menyesuaikan diri antara manusia’.
Menerusi bola sepak, Qatar berharap dapat mengukuhkan hubungannya dengan negara lain, terutama negara serantau yang memutuskan hubungan diplomatik dengannya.
Untuk rekod, pada tahun 2017, Qatar pernah dianggap negara kontroversi apabila negara-negara Arab seperti Arab Saudi, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dan Bahrain bertindak memutuskan hubungan diplomatik dengan Qatar
termasuk mengenakan sekatan darat, laut dan udara kerana mendakwa Qatar menyokong keganasan.
Namun, di sebalik segala tekanan, Qatar masih sebuah negara yang kuat. Dari segi Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP), Qatar merupakan negara ketiga terkaya di dunia, manakala syarikat penerbangannya, Qatar Airways adalah syarikat penerbangan terbaik dunia sebanyak enam kali termasuk terbaharu tahun 2021 oleh Skytrax.
Kekayaannya ditunjangi rizab minyak dan gas yang merupakan simpanan ketiga terbesar dunia. Ia juga popular dengan hab media antarabangsa, Al-Jazeera yang ditubuhkan pada 1996.
Bagaikan bulan jatuh ke riba, Qatar tidak mempersia peluang yang diberi.Kejohanan kali ini bakal menampilkan cita rasa unik negara padang pasir, di mana negara itu menjanjikan untuk meninggalkan kesan yang tidak boleh dilupakan dalam sejarah bola sepak dunia.
Dalam pengertian ini, Qatar melihat Piala Dunia sebagai peluang untuk mengalihkan perhatian dunia ke Asia Barat, membingkaikannya sebagai wilayah bertradisi dan budaya yang berakarkan keamanan serta keharmonian, bukan wilayah yang penuh dengan pertikaian dan konflik.

Qatar turut menggunakan teknologi mesra alam terkini sebagai persiapan penganjuran Piala Dunia bagi memastikan keselesaan para pemain dan penyokong. Penggunaan teknologi ini menyumbang kepada penyejukan stadium serta kelancaran proses keluar masuk penyokong.
Teknologi turut digunakan untuk menjadikan Piala Dunia 2022 sebagai satu kejohanan yang mudah diakses untuk orang kurang upaya.
Qatar mempertaruhkan lapan stadium Piala Dunia dengan tiga daripadanya dilengkapi bilik deria bagi membolehkan peminat kurang upaya kognitif mengikuti acara mengikut kemampuan mereka sendiri.
Qatar mahu semua peminat, tanpa mengira kebolehan fizikal dan mental turut merasai dan menikmati perlawanan bola sepak.
Dalam pada itu, seni bina menarik turut ditonjolkan pada lambang rasmi kejohanan yang reka bentuknya mewakili padang pasir bersama simbol infiniti atau angka lapan (yang juga merujuk kepada bilangan stadium). Ini mencerminkan gabungan antara tradisional dan moden.
Mengambil contoh salah satu stadiumnya iaitu Stadium Al Bayt, yang membawa maksud rumah diilhamkan oleh khemah bayt al-sha’ar iaitu penduduk nomad yang telah tinggal selama beribu tahun di Qatar, selain melambangkan layanan mesra yang bakal diberikan pihak penganjur kepada para pengunjung.
Qatar turut mempromosikan bahasa Arab dengan menjadikan bahasa itu sebagai salah satu bahasa rasmi FIFA.
Bagaimanapun, keghairahan Qatar menjadi tuan rumah turut dipalit isu-isu kontroversi lain.
Lapan stadium telah dibina dan menjadi kebimbangan ramai terhadap negara kecil tersebut adalah keupayaan mereka untuk mengekalkan keadaan stadium itu bagi jangka panjang selepas Piala Dunia berakhir.
Qatar juga mendapat tekanan antarabangsa berhubung layanan negara itu yang dikatakan menindas pekerja asing dengan tuduhan menahan gaji mereka, merampas pasport dan keselamatan pekerja tidak terjamin.
Menurut angka kerajaan, kira-kira 30,000 pekerja asing telah diambil oleh kerajaan Qatar untuk membina projek dan membaik pulih stadium, kebanyakannya datang dari Bangladesh, India, Nepal dan Filipina.
Laporan daripada The Guardian pada Februari 2021 mendakwa, seramai 6,500 pekerja meninggal dunia semasa pembinaan kemudahan Piala Dunia dan kenyataan ini disokong berdasarkan data yang dikumpul daripada kedutaan pelbagai negara yang mempunyai warganegara yang bekerja di Qatar.

Bagaimanapun, Qatar mempertikai angka ini dan mendakwa bahawa hanya 37 kematian direkodkan semasa pembinaan, dengan tiga daripadanya ‘berkaitan kerja’.
Namun, maklum balas daripada kerajaan telah dikritik Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) yang mendakwa Qatar mengambil ringan bilangan angka tersebut dengan tidak mengambil kira kematian akibat kegagalan pernafasan atau jantung.
ILO mencadangkan strok haba menjadi faktor penting memandangkan iklim Qatar yang panas dan dipercayai sekurang-kurangnya 50 pekerja asing telah meninggal dunia pada 2021 sahaja, manakala lebih 500 cedera selain lebih 31,000 kes strok haba dilaporkan.
Qatar juga dikatakan telah mengusir beribu-ribu pekerja asing dari rumah mereka sendiri di tengah-tengah bandar di Doha dengan mengosongkan blok pangsapuri untuk dijadikan tempat tinggal pengunjung yang akan melawat ketika kejohanan berlangsung.
Pekerja asing juga terpaksa tidur di luar rumah mereka kerana sedozen bangunan dan telah dipindahkan dan ditutup oleh pihak yang berkuasa.
Muhammad seorang pemandu dari Bangladesh meluahkan penderitaan.
“Saya telah tinggal di kawasan kejiranan sama sejak 14 tahun lalu, namun saya diarahkan mengosongkan villa yang dikongsi dengan 38 orang yang lain dalam masa 48 jam,” jelas Muhammad.
Tambah Muhammad lagi, buruh-buruh yang membina infrastruktur untuk Qatar semakin diketepikan ketika hari kejohanan semakin hampir.
“Siapa yang bina stadium? Siapa yang buat jalan raya? Siapa yang membuat segala-galanya? Orang Bangladesh, Pakistan, orang seperti kita. Sekarang mereka membuat kita seperti kucing kurap,” ungkap Muhammad.














