fbpx
Sambutan terhadap pengangkutan awam seperti bas ekpres pada PRU kali ini disifatkan luar biasa. – Gambar hiasan

Permintaan tiket bas sempena PRU15 luar biasa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Persatuan Pengusaha Bas Ekspres Melayu Semenanjung Malaysia (Pembawa) memberitahu tiket bas ekspres bagi kebanyakan destinasi di Semenanjung sudah habis dijual menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada 19 November ini.

Yang Dipertua Pembawa, Laili Ismail berkata, tiket pengangkutan awam selepas hari mengundi bermula pada malam 19 November juga habis terjual sejak 10 Oktober lalu.

“Tiket bas ekspres bagi perjalanan 15 hingga 18 November ini sudah habis ditempah (untuk orang ramai pulang mengundi). Selain itu, turut habis dijual adalah tiket bagi malam 19 hingga 22 November ini.

“Jumlah itu melibatkan kira-kira 20 ahli Pembawa membabitkan sebanyak 231,040 tiket bernilai RM11.55 juta.

“Permintaan tiket bas eks­pres sempena PRU kali ini terlalu tinggi dan sangat luar biasa. Tempahan tiket pada hari raya pun tinggi sebegini,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Laili memberitahu, orang ramai tidak perlu khuatir kerana Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) mengeluarkan permohonan Lesen Perubahan Sementara (LPS) kepada bas persiaran untuk dijadikan bas ekspres.

Katanya, permohonan itu dibuka sehingga semalam dan langkah sementara bas persiaran dijadikan bas ekspres dijangka dapat menampung permintaan terhadap permintaan perkhidmatan tersebut.

Tambah beliau, pengusaha bas ekspres sedang mempersiapkan bas masing-masing untuk memastikan perjalanan lancar pada tarikh berkenaan.

“Permintaan tinggi bukan bermakna pengusaha bas dapat ‘durian runtuh’ kerana situasinya tidak sama seperti musim cuti sekolah kerana sentiasa ada penumpang pergi dan balik.

“Misalnya, pada 15 November ini kami menghantar penumpang dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu untuk mengundi, tetapi tiada penumpang ketika berpatah balik ke ibu negara,” katanya.

Jelasnya, terdapat kira-kira 400 buah bas ekspres di bawah Pembawa dengan 60 hingga 80 buah bas milik ahlinya masih tersadai sejak Perintah Kawalan Pergerakan.

“Tiada kemampuan untuk digerakkan kerana kos penyelenggaran. Kami juga berdepan kekurangan kira-kira 300 pemandu.

“Bagaimanapun jangan bimbang kerana tiket yang dijual pada PRU15 hanya untuk bas yang telah beroperasi berserta dua pemandunya,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN