fbpx
Orang ramai sedang beratur untuk membeli tiket bas ekspres di Terminal Bas Melaka Sentral di Melaka semalam.

Tiket bas habis, Pantai Timur paling laku

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Bahang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kian dirasai apabila tiket bas ekspres sudah habis ditempah golongan perantau yang mahu pulang ke kampung untuk me­ngundi.

Tinjauan Kosmo! di kaunter jualan tiket di Lembah Klang, Melaka dan Pulau Pinang mendapati tiket selepas tarikh pengundian juga makin berkurangan.

Di Shah Alam, pekerja kaun­ter, Jamalia Abdul Salem, 48, berkata, tarikh tiket bas ekspres yang menjadi pilihan di Terminal Bas Seksyen 17, Shah Alam adalah pada 16, 17, 18 November untuk laluan ke selatan, utara dan Pantai Timur.

“Mungkin tiada penambahan bas. Hanya tiga aplikasi bas iaitu Redbus, Easybook, Bus Online Ticket yang membuat kemas kini dengan pihak kami.

“Mungkin tiket masih ada dalam aplikasi lain yang menyediakan bas tambahan, namun setakat ini tiada sebarang kemas kini (berhubung bas tambahan),” katanya ketika ditemui semalam.

Bagi Saiful Missuwal, 42, tiket pulang ke Lembah Klang yang dijual di kaunternya semakin susut bagi perjalanan 20 sehingga 24 November ini.

“Tiket perjalanan ke Pantai Timur paling banyak terjual. Sewaktu PRU15 diumumkan, tiket ke Kelantan dan Terengganu pa­ling laju (ditempah),” katanya.

Ada pengundi yang berasa kecewa kerana tidak mendapat tiket bas untuk pulang mengundi.

Fatin Najiha, 25, berkata, dia masih mencari inisiatif untuk pulang mengundi di Batu Pahat, Johor dan berharap tanggungjawabnya untuk mengundi pada PRU15 terlaksana.

“Saya harap kerajaan negeri dapat menyediakan bas kerana saya tidak mempunyai kende­raan sendiri,” katanya.

Sementara itu, Nor Hakimah, 28, pula memberitahu, dia mempunyai masalah yang sama dan sehingga kini belum mempunyai penyelesaian muktamad untuk pulang mengundi di Tanah Merah, Kelantan.

Di Pulau Pinang, keadaan sama turut berlaku apabila tiket bas ekspres habis dijual sejak dua minggu lalu bagi tarikh sebelum hari pengundian pada 19 November ini.

Seorang pekerja kaunter yang dikenali sebagai Murad berkata, tiket bagi perjalanan 16 sehingga 18 November ini sudah habis dijual.

“Tarikh-tarikh tersebut memang sudah lama habis. Kemungkinan pengundi bercuti awal untuk mengundi. Setiap hari, memang ada orang datang bertanyakan tentang tiket pada tarikh berkenaan.

Tetapi maaf, memang tiket sudah habis,” katanya ketika ditemui di Butterworth semalam.

Di Melaka, tiket bas bagi perjalanan ke destinasi seperti Pantai Timur dan utara habis terjual sejak dua minggu lalu bagi tarikh 13 sehingga 18 November ini.

Penyelia Kaunter Tiket Melaka Sentral, Wan Mohd. Firdaous Wan Ngah berkata, kebanyakan tiket tersebut dibeli secara dalam talian oleh pelajar universiti sejak dua minggu lalu.

“Kebanyakan tiket ini telah dibeli oleh pelajar IPT dan trend peningkatan ini dilihat selepas mereka mendapat cuti pelepasan untuk pulang mengundi pada PRU15,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar Melaka Sentral Sdn. Bhd, Abu Bakar Jani berkata, pihak­nya menjangkakan pembelian mening­kat, namun setakat ini masih belum ada cadangan untuk menyediakan bas tambahan.

“Sebanyak 16,978 tiket dijual sejak awal bulan ini dengan 7,624 melalui dalam talian,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN