fbpx
TANGKAP layar video yang menunjukkan Maya sedang bekerja di puncak KLCC di ibu kota tular baru-baru ini sehingga mencetuskan inspirasi kepada ramai orang.

Baru habis pantang, Maya ‘takluki’ KLCC anggap bakti untuk negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Hari itu lain daripada kebiasaannya. Hujan rahmat yang membasahi ibu kota telah menyebabkan tugasan Normalia Sidek untuk melakukan kerja penyelenggaraan di puncak Menara Berkembar Petronas (KLCC) sedikit tertangguh.

Hakikatnya, bukan ini kali pertama Normalia ‘memanjat’ KLCC yang pernah sempat bergelar bangunan tertinggi dunia itu, tetapi hari Isnin minggu lalu memang berbeza, apatah lagi apabila tiba-tiba sebuah dron terbang merakam gerak-gerinya. Lambaian wanita berhijab itu ke arah dron tersebut telah mengubah hidupnya daripada seorang yang tidak dikenali sehingga tular ke seluruh Malaysia.

“Saya sendiri tidak tahu dron itu milik siapa dan terkejut bila dimaklumkan ia tular. Bila baca status individu yang merakam video itu di media sosial, dia sendiri mengakui bahawa setelah 1,000 kali percubaan menerbangkan dron, baru hari itu dia berjaya menemukan seorang ‘wanita besi’ (iron lady).

“Saya tidak sangka visual itu dirakam bak sebuah dokumentari seminit dengan zoom tepat ke wajah saya. Ibu bapa saya di kampung juga terkejut didatangi jiran yang bertanya ‘anak kau panjat KLCC ke?” kata Normalia, 30, yang lebih mesra dipanggil Maya.

Bicaranya bersama K2 menerusi telefon baru-baru ini pun di celah-celah waktu senggang ketika ditemu bual di konti radio.

Ekoran tular, ramai yang mengagumi Maya. Netizen tidak kira lelaki mahupun wanita takjub dengan aksi beraninya. Mereka yang menontonnya pun ketar lutut, tetapi wanita itu kelihatan bersahaja ‘bergayut’ pada ketinggian lebih 400 meter itu.

Maya yang berasal dari Nilai, Negeri Sembilan menjelaskan, pekerjaannya disebut sebagai juruteknik akses tali. Kerja itu diperlukan bagi kes-kes yang tidak dapat dilunaskan orang menggunakan kren atau gondola. Dia melakukan kerja mencuci, mengecat, memasang, menukar komponen atau pemeriksaan tertentu.

Maya berkata, lazimnya dia bekerja di bangunan tinggi sekitar 40 atau 60 tingkat dan KLCC adalah yang tertinggi. Dia juga pernah melakukan tugasan mencuci kubah masjid dan melakukan pemeriksaan di pelantar minyak di tengah laut.

Nampak sungguh kerja yang dibuat bukan calang-calang orang mampu lakukan.

“Saya berbangga dengan KLCC yang menjadi lambang ikonik kemegahan Malaysia. Ia antara bangunan yang sudah lama usianya, maka kini tiba proses penyelenggaraan. Saya anggap ini adalah bakti saya yang tidak seberapa kepada negara. Jika tidak kami yang lakukan, siapa yang berani nak panjat tinggi macam itu?” ungkapnya yang menyifatkan pekerjaan itu memerlukan kekuatan mental dan fizikal.

Lebih mengagumkan, Maya merupakan seorang ibu yang baru menimang zuriat.

“Saya baru habis tiga bulan pantang bersalin anak pertama, Muhammad Al-Fateh Abdul Hazim. Saya anggap semua ini rezeki anak.

“Orang selalu memomokkan perempuan tidak boleh buat kerja-kerja macam ini, nanti jatuh peranakan dan sebagainya, tidak ada hal macam itu kalau kita buat kerja ikut cara betul.

“Ada orang tanya, besarkah gaji saya? Saya cuma boleh kata, gaji saya berbaloi dengan tugasan saya,” katanya.

Maya berkata, dia memilih menceburi kerjaya itu kerana hobinya memanjat tebing batu (wall climbing). Sebelum ini, setiap hujung minggu dia akan memanjat Gua Damai, Batu Caves, Selangor.

Dia juga memang lasak dan suka panjat pokok sejak kanak-kanak.

Maya telah bekerja sebagai juruteknik akses tali di bangunan-bangunan sejak tahun 2018.

Maya berkata, dia menceburi kerjaya itu sejak 2018 dan sebelum ini bekerja sebagai penyelia fesyen pakaian di butik. Bayangkan, daripada hanya ‘bermain’ dengan baju-baju di premis berpendingin hawa, dia bertukar kepada kerjaya yang kontra sama sekali.

“Seronok apabila kita mendapat kerjaya berasaskan hobi kita. Walaupun penat, mencabar dengan cuaca panas dan berisiko, kalau sudah minat, tetap bersemangat,” katanya,

Alah bisa tegal biasa, Maya berkata, dia sudah berasa semakin lali pada ketinggian itu.

“Masa awal-awal bekerja dahulu, memang ada rasa gayat dan takut. Ketar lutut juga. Angin tolak sikit, saya dah cuak. Bagi saya, kita manusia biasa, mesti ada rasa takut dan gayat. Ada hari saya rasa ‘goyang’ juga. Sebenarnya dalam kerja yang berisiko seperti ini, kita memang perlu ada rasa takut dan tidak terlalu yakin supaya lebih berhati-hati.

“Apapun, kita sudah tetapkan di minda bahawa kerja ini memang berisiko. Apa jua boleh berlaku. Tali boleh putus, angin boleh tolak kita. Kita tahu itu semua boleh terjadi dan disebabkan itu, perlu berwaspada,” katanya.

Ditanya mengenai cabaran terbesar menceburi kerjaya itu, Maya berkata, hujan adalah ‘pencabar’ utama.

“Bekerja di bangunan-bangunan tinggi, adakalanya kita berada di sebalik binaan dan terlindung daripada melihat hujan. Apabila hujan turun dan guruh melanda, kita perlu cepat-cepat turun ke bawah sebab bangunan-bangunan di ibu kota banyak diperbuat daripada besi, jadi berisiko disambar petir,” katanya.

Maya berkata, impiannya untuk bekerja sehingga ke luar negara. Sasarannya ialah Australia.

“Skop bidang ini sebenarnya luas, anda boleh bekerja di sektor minyak dan gas, kimpalan serta lain-lain. Di Australia, ramai wanita yang bekerja seperti ini. Saya juga diberitahu kisah saya ini tular sehingga ke Australia,” katanya.

Sebagai wanita yang menjadi inspirasi ramai, Maya menasihati wanita-wanita yang ingin menceburi bidang itu agar mempersiapkan diri dengan ilmu dan lesen sewajarnya.

“Anda perlu kuat untuk berada dalam industri ini. Kita wanita dan pesaing kita adalah lelaki. Wanita mengambil lebih banyak masa untuk orang percaya kita benar-benar mampu lakukan hal sama.

Apa yang penting, ambil lesen bagi setiap tugasan, bukan melakukan dengan hati kering semberono, ini kerja berisiko, nyawa tiada galang ganti.

“Kerja dalam bidang ini, saya mendapat sokongan penuh daripada suami dan keluarga. Suami saya adalah penyokong besar saya,” katanya.

Dedah Maya, suaminya juga bekerja dalam bidang tersebut dan hakikatnya ada bersamanya di KLCC semasa rakaman video tular tersebut.

“Memang biasa semasa kami bekerja ada dron yang berlegar di sekitar. Mungkin kalau mereka nampak lelaki, itu hal biasa.

“Kita anggap saja perakam itu bertuah kerana terjumpa wanita di puncak KLCC. Kalau nak tahu, lepas video itu tular, ada empat dron pula muncul di sekitar situ,” selorohnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN