JIKA dahulu, emping padi sangat terkenal sebagai makanan sampingan terutama dalam kalangan keluarga pesawah.
Selepas menuai padi, penduduk akan bergotong-royong menghasilkan emping padi yang berwarna kehijauan dan lembut untuk dijadikan kudapan.
Boleh dikatakan, ia merupakan saat-saat yang dinantikan penduduk kampung terutama kanak-kanak kerana pada waktu itu suasana menjadi sangat meriah seperti pesta.
Setiap proses pembuatan daripada mengambil padi pulut yang masih muda di sawah sehingga menggaulinya bersama bahan tambahan lain seperti isi kelapa parut dengan garam dan gula dilakukan bersama.
Itulah hiburan keluarga pesawah pada ketika itu yang secara tidak langsung mengeratkan lagi hubungan sesama mereka.
Bagi makanan tradisional itu sendiri, ia sangat popular dalam kanak-kanak kerana pada zaman tersebut, belum ada lagi makanan ringan atau bijirin sarapan pagi seperti hari ini.
Namun, nostalgia itu tidak lagi dapat dinikmati kerana semakin dilupakan.
Jika ditanya kepada generasi muda terutama yang tinggal di bandar, sudah pasti ramai tidak tahu dan mungkin kurang menggemari makanan tradisional tersebut.
Kalau adapun, hanya sekumpulan atau penduduk kampung tertentu yang mengadakan program mengemping untuk memperkenalkannya kepada generasi muda.
Misalnya, ketika Program Jom Mengemping bersama penyandang Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir di Kampung Megat Dewa, Jerlun dalam daerah Kubang Pasu, Kedah baru-baru ini.
Penduduk Kampung Pida 6, Megat Dewa, Halijah Abdullah, 65, berkata, dia sangat merindui suasana mengemping semasa zaman kanak-kanaknya dahulu.

“Dulu memang sangat meriah dan ia memang saat yang kami tunggu-tunggu. Masa saya kecil dulu, saya memang suka ‘kacau’ emak dan nenek saya mengemping.
“Zaman saya kecil, itulah hiburan yang kami ada dan di situ juga kami belajar untuk buat emping padi. Anak-anak muda sekarang sudah tidak didedahkan dengan benda-benda seperti ini,” katanya ketika ditemui pada program tersebut.
Halijah bersama beberapa lagi rakan daripada kalangan pesawah dan keluarga dijemput untuk menunjukkan cara membuat emping padi pada program berkenaan.
Katanya, ramai yang tidak tahu membuat emping padi.
“Saya seronok apabila ramai yang datang terutama orang muda. Mereka hairan tengok kami buat emping padi ini daripada proses merelaikannya daripada tangkai, menggoreng dan menumbuk biji padi sehingga jadi kepingan,” ujarnya.
Menurut Halijah, proses pertama adalah mengambil padi pulut muda di sawah, meleraikan biji padi daripada tangkai dengan cara mengetuknya dengan buluh.
“Kemudian, kita akan menampi biji padi ini untuk mengambil bahagian isi yang elok dan membuang sekamnya.
“Seterusnya, isi padi itu akan digoreng sebentar tanpa menggunakan minyak dengan api perlahan sehingga agak garing. Tanda isi padi masak apabila ada isi itu yang berbunyi seperti meletup-letup.
“Ia kemudian ditumbuk dengan alu kayu sehingga menjadi kepingan nipis,” jelasnya.
Katanya, kepingan itu akan ditampi sekali lagi untuk membuang sisa sekam dan kotoran lain.
“Selepas itu barulah kita akan campurkannya dengan bahan lain. Hari ini kita makan emping padi ini dengan isi kelapa putih bersama garam dan gula. Jika keras, kita tambah sedikit air kelapa.
“Ada juga yang makan emping padi ini dengan susu lembu dan air kopi,” katanya.
Tambahnya, emping padi yang dibuat penduduk kampung tidak lagi boleh didapati, melainkan membelinya di pasar dan premis perniagaan yang kebanyakannya diimport dari Thailand.
Seorang lagi penduduk Kampung Pida 6, Siti Fatimah Md. Jusoh, 70, berkata, dia terpaksa membeli emping padi yang dijual di kedai-kedai jika sesekali terasa untuk menikmatinya.
“Sekarang ini memang tidak ada yang buat emping padi, melainkan di program-program seperti ini.
“Anak-anak muda kini rasanya memang tidak tahu tentang emping padi ini.
“Berbeza sungguh dengan zaman kanak-kanak dan muda saya dahulu,” katanya.
Ujarnya, dia dan beberapa rakan berusia lingkungan 60-an hingga 70-an di kampung itu sering menjadi rujukan setiap kali ada pihak tertentu yang ingin mengadakan program mengemping.
“Kami memang sangat berbesar hati setiap kali menerima jemputan untuk mengetengahkan makanan tradisi pesawah ini kepada generasi muda.
“Seronok saya tengok anak-anak muda yang datang ke program ini. Mereka kelihatan teruja apabila dapat sama-sama membantu dalam setiap proses mengemping ini,” katanya.
Tambah Siti Fatimah, ada anak muda yang memberitahunya bahawa mereka tidak pernah melihat proses mengemping padi sepanjang hidup, meskipun telah berusia 30-an.














