Oleh IVAN AMIRUL
KOTA KINABALU – Tindakan parti politik serta calon bebas mengumumkan tidak akan bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Batu Sapi suatu pilihan bijak.
Pemangku Pengerusi DAP Sabah, Datuk Frankie Poon berkata, tindakan itu bukannya mampu mengurangkan penularan wabak Covid-19 di Sabah malahan disifatkan sebagai tanda hormat kepada mendiang Datuk Liew Vui Keong yang menyandang kerusi Parlimen Batu Sapi sebelum ini.
“Dewan Undangan Negeri (DUN) Karamunting dan Sekong adalah di bawah Batu Sapi dan kedua-dua kawasan DUN ini dimenangi oleh wakil Parti Warisan Sabah (Warisan), George Hiew dan Alias Sani pada Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini.
“Bagaimanapun, Barisan Nasional (BN) serta Parti Cinta Sabah (PCS) sudah mengumumkan tidak akan bertanding di Batu Sapi agar penularan wabak Covid-19 daat dibendung. Semua pihak harus menghormati mendiang Vui Keong dan mengizinkan wakil Warisan terus berkhidmat di Batu Sapi,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Papat.
Terdahulu, mendiang Liew sebelum ini mewakili Warisan meraih majoriti sebanyak 12, 976 undian sekaligus mengalahkan calon lain yang bertanding termasuklah calon PBS, Datin Linda Tsen, calon Pas, Norsah Bongsu dan calon Parti Amanah Negara, Hamza Abdullah pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Mendiang Liew, 60, menghembuskan nafas terakhir sewaktu menerima rawatan di Hospital Gleanegles Kota Kinabalu pada 2 Oktober lalu.
Berikutan itu, selaras dengan Perkara 54 Fasal (1) Perlembagaan Persekutuan, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) harus mengadakan PRK bagi mengisi kekosongan kerusi itu dalam masa 60 hari dari hari kekosongan kerusi itu. – K! ONLINE














