DI sebalik karakter gila-gila, ‘bimbo’ dan lelucon yang diterjemahkannya menerusi watak Lailer dalam drama yang kini sedang hangat ditayangkan, Kampung People 2, Riena Diana juga seperti manusia lain yang tidak lekang dengan masalah hidup.
“Saya bawa kek. Tadi makan di Bangsar tetapi cuma ada beli tiga bungkus sahaja. Harap cukup untuk semua. Kita kongsi-kongsi ya,” ucap Riena, 23, mesra saat terpacul tiba di depan mata penulis, tempoh hari.
Pemilik nama lengkap, Nur Qamarina Diana Zulreal itu hadir ke sesi fotografi yang diatur khas Pose di Komune Living, Bangsar South baru-baru ini.

Melihat wajah polosnya, lagak Riena sama seperti kebanyakan wanita muda awal 20-an lain. Jujur, tiada satu momen pun dirinya meminta layanan seorang selebriti.
Bercerita tentang hidup luar tabirnya, Riena membuat pendedakan, dia bukanlah berasal daripada keluarga senang.
Ibu bapanya bercerai sewaktu berusia 14 tahun dan sejak itulah, hidupnya dihabiskan bersama neneknya, Fatimah Matsom, 61.
Keluarga bercerai
“Saya cuma ada dua beradik. Ibu bekerja sebagai pendandan rambut, manakala bapa saya pengusaha warung nasi ayam di Gombak.
“Biarpun sudah lama bercerai tetapi mereka tetap berhubungan secara baik sampailah sekarang. Saya hormat mereka sebagai ibu bapa.
“Bagaimanapun, saya amat rapat dengan nenek. Dialah kawan baik, peminat nombor satu saya dan she’s my biggest critics (dia pengkritik paling hebat),” ujar Riena yang bakatnya mula dicungkil melalui program Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) 2017.

Biarpun keluarganya berpecah-belah, itu bukan alasan untuk Rieana tidak melakukan yang terbaik dalam hidup.
Dia berpegang teguh kepada nasihat yang sering dititipkan bapanya agar menjalani kehidupan sebaik mungkin biarpun memiliki keluarga tidak sebahagia orang lain.
“Saya sudah menjadi saksi banyak perkara yang tidak elok sewaktu membesar. Bapa saya selalu berpesan supaya elakkan perkara tidak elok daripada berlaku dalam hidup saya selepas ini.
“Senang cerita, jika ada perkara yang mungkin menjerumuskan saya ke arah negatif atau tidak memberi impak positif dalam hidup, saya akan elakkan.
“Saya tidak mahu persepsi klise anak yang datang daripada keluarga bercerai-berai melekat pada diri. Saya bukan begitu. Saya mahu hidup bahagia sama seperti orang lain,” luahnya.
Penangan Lailer
Menyentuh soal karier yang dipacu laju, dia tidak pernah memilih watak waima ditawarkan sekecil-kecil watak, pembantu atau sampingan dalam sebarang naskhah.
“Saya jenis tidak kisah. Watak pembantu pun tidak mengapa. Kalau saya yakin boleh jayakan dengan baik, mengapa perlu tolak?
“Saya tidak banyak songeh, lagi pun masih baharu dalam industri, masih kurang dari empat tahun. Usia kerjaya lakonan saya masih setahun jagung. Apa yang penting ialah kepuasan dan komitmen untuk menjayakan sesuatu watak.
“Saya sangat bersyukur kerana watak Laila (atau Lailer) mendapat respons baik daripada penonton. Dari Kampung People musim pertama, saya tidak menjangkakan naskhah itu menjadi sebesar sekarang.
“Sebenarnya, saya ini seorang yang sangat pemalu. Saya masih ingat sewaktu mula-mula berlakon dahulu, saya suka berkomunikasi dengan orang dan gemuruh kalau turun set penggambaran.
“Namun, lama-kelamaan, semuanya dipermudahkan,” katanya panjang lebar merendah diri.
Berbicara lanjut tentang watak Lailer, dia sangat berterima kasih kepada pengarah, Wan Hasliza Wan Zainuddin dan Elly Mazlein yang memegang peranan sebagainya ibunya dalam Kampung People.
“Saya terhutang budi kepada Kak Wan (Wan Hasliza) kerana percaya saya boleh bawa watak Lailer. Saya juga banyak belajar daripada Kak Lina Pom Pom. Dia pengaruhi saya untuk menggilakan watak Lailer.
“Sewaktu mula-mula turun ke set, Kak Lina pesan jangan gementar dan buat sehabis baik. Dia kata ‘you ikut je I sebab I mak you. You gila tetapi you bawah sikit daripada I.
Lebih kurang macam itu (ketawa),” ungkap Riena seraya tidak menafikan Kampung People 2 belum sampai ke episod yang menggelegak sama seperti musim pertama.
“Masih terlalu awal. Tunggu apa yang akan berlaku dalam episod berikutnya,” ulas Riena ringkas.

Kerugian RM60,000
Dalam rancak berbicara dengan senyuman yang tersantun di bibir, Riena mendedahkan pernah berdepan momen mencabar dalam hidup.
Dia pernah kerugian sekitar RM60,000 gara-gara melabur dalam perniagaan yang diusahakan sendiri, Mariposa tahun lalu.
“Saya menyalahkan diri. Insiden tersebut berlaku kerana saya tidak cukup ilmu. Saya bodoh, RM60,000 lesap begitu sahaja. Saya laburkan semua duit simpanan sampai tiada sesen pun dalam akaun bank.
“Saya menangis dan terduduk apabila bisnes tidak menjadi seperti yang diharapkan sedangkan ribuan ringgit dihabiskan. Waktu itu, sebulan saya tidak keluar rumah.
“Sampailah saya mendapat suntikan semangat daripada nenek untuk bangkit. Dalam mengejar kejayaan kita akan berjumpa dengan kegagalan dahulu. Selepas ini saya akan berhati-hati dan lebih bijak mengatur langkah.
“Saya tidak mahu menuding jari kepada sesiapa atas apa yang berlaku tetapi sekarang saya lebih mengenali siapa kawan dan siapa lawan, siapa kawan yang akan berada di sisi apabila kita jatuh terduduk,” luah Riena menggulung perbualan.














