fbpx
SHARIFAH SAKINAH

Saya masih cintakan Michael – Sharifah Sakinah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KETIKA penulis menemu bual figura berusia 33 tahun itu pada tahun lalu, hatinya ketika itu sedang berbunga-bunga.

Mekar bahagia sedang hangat berkembang dalam jiwanya. Masih ingat momen sewaktu pemilik nama pentas Sharifah Sakinah itu berbicara tentang suaminya, Michael Hensen ketika disoal tentang jejaka asal Sweden itu.

Kata Sakinah, selepas berkahwin nanti dia tidak mahu berjauhan dengan lelaki itu dan mahu hidup bersama-sama dengan gembira.

Sayangnya, takdir berkata lain. Mahligai yang sebenarnya sudah terbina sejak Disember 2020 tiba-tiba goyah selepas Sakinah memuat naik satu hantaran dalam Instagram memaklumkan hubungannya dengan Michael kini berada dalam fasa yang tidak berapa baik.

Enggan menyalahkan mana-mana pihak, Sakinah atau nama lengkapnya Sharifah Nurul Sakinah Syed Abu Bakar Al-Khaired mengakui banyak perkara berlaku sepanjang tiga tahun menjalani kehidupan bersama lelaki itu sehingga akhirnya menggugat ‘kemanisan’ dalam rumah tangganya.

JIKA ditakdirkan berpisah, Sakinah dan Michael tetap akan menjalinkan hubungan baik bersama dan enggan menjadikan lelaki itu sebagai ‘musuh’.

‘Kaki teruja’

Sakinah sewaktu ditemui di kediamannya yang terletak di Kajang, Selangor seperti tidak kisah ‘membuka pekung di dada’ saat bercerita perihal kisah rumah tangganya.

“Saya bukan jenis selebriti yang ‘eksklusif’. Saya sejenis manusia yang sangat teruja untuk berkongsi apa sahaja. Kalau berkenalan dengan lelaki baharu, saya akan terus kongsikan. Itulah saya.

“Ada juga kawan-kawan sekeliling yang menasihati saya untuk bersikap tertutup tentang soal peribadi. Namun saya percaya pada diri sendiri. Saya akan buat apa yang saya mahukan,” katanya.

Bercakap lebih lanjut, pelakon itu memberitahu, hubungannya bersama Michael berjalan dengan baik pada tahun pertama dan kedua.

Bagaimanapun perhubungan yang dibina atas dasar cinta itu mula dirasakan seperti ada ‘sesuatu’ ketika memasuki tahun ketiga.

“Masuk sahaja tahun ketiga (tahun ini), hubungan kami mula berdepan dugaan. Ketika mula-mula bersama, tidak kisah pun tentang harga tiket kapal terbang memandangkan kami menjalinkan hubungan jarak jauh.

“Tetapi apabila kira semula apa yang telah kami keluarkan (wang), rasanya sudah boleh beli sebuah rumah secara tunai.

“Jadi tahun ini saya dan suami tidak selalu berjumpa. Lebih-lebih lagi Michael sangat ‘berkira’ soal belanja. Saya pula ada penyakit Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD). Jadi saya tidak fikir apa yang saya buat,” jelasnya.

Berpisah

Mahu meletakkan titik noktah pada hubungan mereka, pelakon Girlfriend Aku Dari Neraka itu berkata, dia tidak berniat menjadi ‘jahat’ apabila secara tiba-tiba mengumumkan mahu berpisah dengan Michael menerusi Instagram.

Sebaliknya, adik kepada pelakon, pelawak dan juga pengacara, Sharifah Syahira itu sudah penat sehingga membuatkan dia hilang rasa malu untuk berkongsi segalanya dalam media sosial.

BIARPUN rumah tangga yang dibina bersama jejaka Sweden tidak panjang, Sakinah langsung tidak menyesali atas apa yang telah terjadi.

“Saya mula rasa penat. Saya tidak kisah dan tidak rasa malu. Bila saya ingin kongsikan sesuatu, saya akan buat.

“Kenapa saya kongsi tentang ‘perpisahan’ itu, sebab saya tidak mahu bila saya keluar ‘dating’ dengan lelaki lain selepas ini, netizen akan persoalkan status saya,” ujarnya.

Tambah Sakinah, mereka kerap bergaduh tentang banyak perkara termasuk soal perancangan keluarga untuk memiliki cahaya mata bersama.

“Buat masa sekarang memang kami tidak boleh ada cahaya mata bersama. Ya, saya mahukan anak. Tapi kami tidak boleh memilikinya (anak) kerana faktor hubungan jarak jauh.

“Michael seorang lelaki yang baik dan bertanggungjawab terhadap anak-anaknya yang masih kecil. Tapi dia tidak boleh berpindah Malaysia kerana ada tanggungjawab terhadap bekas isteri dan anak-anaknya di Sweden.

“Kalau Michael berpindah ke sini, dia perlu bawa bersama bekas isteri dan anak-anaknya ke sini. Saya tidak mahu ‘drama’ itu,” katanya.

Masih cinta

Sambil menghela nafas panjang, Sakinah melanjutkan bicara apabila memberitahu perpisahan mungkin boleh terjadi atau sebaliknya kerana sejujurnya dia masih mencintai Michael.

“Saya tidak cakap segala-galanya sudah berakhir. Cuma saya tidak dapat pastikan sama ada kami akan kembali bersama atau tidak.

“Saya masih cintakan dia. Cuma buat masa sekarang, lebih baik masing-masing buat hal sendiri. Mana tahu mungkin lagi 10 tahun akan datang kami akan bersama semula. Tapi jika saya sudah menemui lelaki lain, bye-bye jawabnya,” ujar Sakinah.

BUAT masa ini, Sakinah mahu meneruskan kehidupan seperti biasa dan memberi fokus terhadap kerjayanya sebagai anak seni.

Pada masa sama, ibu beranak satu itu juga mahu menjadi contoh yang baik kepada pengikutnya dengan tidak terlalu ‘membuai’ perasaan atas apa yang telah berlaku.

“Saya bukan jenis wanita yang akan menangis kalau berpisah (bercerai). Sebab banyak lagi perkara yang perlu difikirkan. Saya ada lagi 7,000 orang yang perlu dikuruskan melalui Hemma Fit.

“Kalau gagal kawal emosi dan situasi, saya tidak boleh jadi ketua kepada pengikut saya. Saya kena jadi ketua yang bagus,” tegas Sakinah mengakhiri perbualan.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN