fbpx

Haram percaya ‘finger cross’ mampu elak nasib tidak baik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Artikel terbaharu berkenaan hukum melakukan ‘finger cross’ yang dimuat naik di laman web PMWP.

PUTRAJAYA – Haram bagi umat Islam jika mempercayai bahawa melakukan isyarat tangan dengan melakukan silangan jari tengah dan jari telunjuk (finger cross) akan memperoleh nasib yang baik dan menghindar nasib malang.

Itu penjelasan diberikan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) berhubung trend ‘finger cross’ yang diamalkan segelintir umat Islam ketika ini.

Menurutnya, umat Islam seharusnya mengucapkan salam dan berdoa kepada Allah SWT agar mendapat kebaikan dan dihindari daripada keburukan.

“Boleh melakukan apa-apa isyarat atau finger cross atas apa-apa tujuan atau pemudah cara komunikasi dan semata-mata isyarat sahaja, di samping mempercayai sepenuhnya bahawa hanya Allah SWT yang berkuasa menentukan untung nasib dan takdir seseorang itu.

“Walau bagaimanapun sekiranya boleh mendatangkan fitnah dan tohmahan, maka hendaklah menghindarinya,” katanya menerusi artikel terbaharu di laman web PMWP.

Katanya, isyarat tangan mempunyai fungsi dan maksud yang tersendiri sebagai pemudah cara berkomunikasi sesama manusia seperti isyarat angkat ibu jari yang menunjukkan tanda bagus.

Jelas PMWP lagi, isyarat finger cross dikatakan amalan masyarakat Kristian pada era awal dan pertengahan agama Kristian namun, dakwaan itu tidak terdapat bukti yang kukuh.

“Malah, isyarat finger cross bukanlah satu isyarat khusus bagi agama Kristian seperti salib bahkan ia tidak diamalkan dalam upacara keagamaan mereka.

“Namun, perbuatan mempercayai keberuntungan dan nasib baik akan berlaku dengan melakukan isyarat finger cross adalah bercanggah dengan ajaran Islam,” ujarnya.

Dalam pada itu, Imam al-Ghazali di dalam karyanya Ihya’ ‘Ulum al-Din berkata, jika isyarat finger cross ini boleh mendatangkan kejanggalan dan bercanggah dengan adat kebiasaan masyarakat maka hendaklah ia dihindari dan dijauhi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI