fbpx
Gambar hiasan.

Zahirkan rindu pada pemilik kubah hijau

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Semboyan pengembaraan ke Tanah Suci untuk menunaikan haji bagi musim 2026/1447H sudah dilaungkan. Tabung Haji (TH) selaku pengendali muassasah dan rakan strategik masyariq menjadi tumpuan bagi perjalanan rohani yang lancar.

Tahniah kepada bakal jemaah haji yang sudah menerima surat tawaran. Kesibukan kalian menguruskan hal-hal berkaitan untuk terbang ke Tanah Suci sudah pasti memberikan pengalaman berharga.

Daripada pembelian kelengkapan haji, bayaran perjalanan dan meninggalkan perbelanjaan dapur kepada keluarga ketika permusafiran, pasakkan ke dalam hati untuk bersungguh-sungguh beribadat di Tanah Suci yang merupakan lubuk pahala.

Bergembiralah, di antara berjuta umat Islam negara ini, nama kalian dipilih untuk menjadi tetamu-Nya. Alangkah bertuahnya. Namun, di sebalik kegembiraan menuju rehlah rohaniah, timbul satu kerisauan sama ada haji yang dikerjakan diterima atau sebaliknya.

Kerisauan ini benar-benar membuatkan jemaah berada di persimpangan. Rukun yang lengkap dan wajib haji yang dilakukan membuatkan ibadat agung itu sah tetapi belum tentu ia diterima.

Begitulah ihsan agama yang diajarkan kepada kita. Seharusnya kita sudah mula berasa insaf sebelum berangkat menuju dua Tanah Haram kerana di situlah terletaknya Baitullah yang menjadi kiblat umat Islam mengerjakan solat dan bertawaf.

Sebab itu kita diajar untuk tidak melupakan sumber dan punca kepada segala ibadat iaitu Rasulullah SAW. Tanpa nabi, sudah tentu kita tidak dapat merasai nikmat iman dan Islam.

Janganlah kita menjadi orang yang kurang ajar dengan tidak menziarahi makamnya untuk mengucapkan salam dan bermesra melalui ucapan serta selawat kerana di situlah terletaknya adab dalam beragama.

Kepada perindu, sudah tentu kita akan merasa sebak tatkala ternampak kubah hijau Masjid Nabawi yang menjadi tempat keberadaan jasad semulia-mulia makhluk itu.

Ketika berpeluang menjadi petugas TH pada 2023, saya terkesan dengan kisah salah seorang petugas di Masjid Nabawi yang reda melakukan kerja-kerja pembersihan di situ.

Dia menceritakan, segala lelah dan penat seolah diangkat apabila berpeluang beribadat di Raudah yang menjadi rebutan jutaan jemaah dari seluruh dunia untuk masuk ke dalamnya jika ke Madinah.

“Kami diberi ruang masa yang ditentukan untuk masuk. Alangkah indahnya kerana setiap hari berada di samping Rasulullah SAW, kalau boleh mahu mati di sini,” katanya.

Kata-kata itu mengingatkan saya kepada hadis yang bermaksud: “Jika kamu mampu meninggal dunia di Madinah, maka lakukanlah.”

Meninggal dunia bukan dengan maksud membunuh diri sebaliknya mencari sebab supaya dapat menetap atau bekerja di situ sehingga nafas terakhir.

Sudah tentu hadis itu mempunyai maksud di sebaliknya. Jika kita gagal melihat secara hakikat, cukuplah kemuliaan meninggal dunia di Madinah itu dapat dikebumikan di Baqi’ ataupun di lokasi lain yang juga di dalam Madinah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN