fbpx
ALVIN CHONG

Alvin menangkis kontroversi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

NAMA pelakon dan penyanyi, Alvin Chong sudah tidak asing lagi sebagai salah seorang artis berbangsa bukan Melayu yang terjun dalam arena industri hiburan tanah air.

Wajah kacak ala ‘baby face’ menjadi bonus untuk anak kelahiran Pulau Pinang itu mencuba nasib, berdiri sebaris dengan artis lelaki yang lain.

Alvin mula mencipta nama sebagai pelakon selepas membintangi drama Dia Semanis Honey sekitar tahun 2016. Lakonan anak sulung daripada tiga beradik itu menarik perhatian audiens. Watak yang dijayakannya diperhatikan, seterusnya meninggalkan kesan populariti buat dirinya.

Sejak daripada situ, tawaran demi tawaran menghujani pelakon yang pernah dikaitkan mempunyai hubungan percintaan dengan pelakon, Emma Maembong itu.

Lumrah kerjaya sebagai selebriti, gosip dan spekulasi tidak dapat lari apabila seseorang itu telah bergelar figura umum. Banyak mata yang memandang, banyak juga mulut yang mengata.

MENERUSI single kelimanya, Sayangku Salmah, Alvin berharap dapat memancing telinga pendengar dan menerima lagu tersebut dengan baik. – MUHAMAD IQBAL ROSLI

Pedofilia

Terjebak kontroversi, baru-baru ini Alvin dikatakan sedang hangat bercinta dengan seorang remaja perempuan berusia 17 tahun. Dakwaan tersebut dianggap satu tuduhan yang sangat serius.

Enggan membiarkan angin panas terus menjadi bualan netizen, Alvin tampil memberikan penjelasan dalam satu sidang akhbar baru-baru ini.

“Semua pihak telah mengetahui hubungan saya dengan individu yang dimaksudkan, iaitu Athalia Deena Buswani hanya atas dasar kerja.

“Kontroversi begini akan memberi kesan terhadap banyak pihak,” ujar Alvin kesal.

Lebih perit buat Alvin, dia turut dilabel netizen sebagai pedofilia gara-gara menjalin hubungan dengan remaja bawah umur. Malah ada komen-komen pedih mencadangkan supaya Alvin ditangkap dan dipenjarakan pihak berkuasa.

Ternyata apa yang diperkatakan oleh Alvin benar. Kontroversi berkenaan membuatkan kerjasama yang dirancang untuk mempromosikan sebuah produk melalui media sosial telah dibatalkan.

“Saya tidak marah, cuma saya kesal apabila netizen cepat membuat andaian secara melulu tanpa mengetahui kisah yang sebenar,” katanya.

Berbicara soal cinta, Alvin menegaskan bahawa prinsip dan pendiriannya tidak akan sesekali menayang kisah percintaannya untuk tatapan umum.

“Jangan kata kekasih, jika saya meluangkan masa dengan kawan-kawan sekali pun, saya jarang berkongsinya dalam laman sosial.

“Apa yang saya kongsikan cuma kawan-kawan yang ada kaitan dengan urusan kerja,” ujar pelantun lagu Sayangku Salmah itu.

ALVIN meminta netizen supaya tidak cepat menghukum dan membuat andaian sendiri tanpa mengetahui perkara sebenar kerana boleh memberi kesan terhadap banyak pihak.

Terpalit kontroversi

Selain digosipkan bercinta dengan remaja bawah umur, Alvin juga pernah terpalit dengan cakap-cakap yang mendakwa dirinya seorang pengamal homoseksual atau gay.

Semuanya gara-gara muncul satu komen daripada seorang pemilik akuan media sosial menuduh lelaki berusia 29 tahun itu sebagai gay.

Mungkin dek gaya metroseksual yang dibawa, tambahan pula wajah jambu miliknya menjadikan cerita karut sebegitu mudah dipercayai khalayak.

Tidak cepat melatah, Alvin atau nama sebenarnya Alvin Chean Wah Chong dengan tegas menafikan dirinya sebagai pengamal hubungan songsang.

“Sudah tentu perkara tersebut tidak benar dan bila timbul berita sebegini, lebih baik saya mendiamkan diri.

“Kalau saya cakap apa pun rasanya tak guna sebab tidak akan ada orang percaya,” tegas Alvin.

Malah, Alvin turut mengingatkan diri sendiri supaya tidak terbabit dengan sebarang kisah sensasi atau kontroversi termasuk gossip membabitkan kisah peribadinya.

HUBUNGAN Alvin dan Athalia (kanan sekali) sebenarnya bawah pengetahuan ibu gadis itu, penyanyi Sharifah Zarina.

Pertaruhan Alvin

Perjalanan karier Alvin dalam industri turut melalui pasang dan surut. Tidak ramai yang mengetahui sebenarnya Alvin yang lebih dikenali sebagai pelakon itu sebenarnya memulakan kerjaya sebagai penyanyi.

Bermula dengan menyertai sebuah program realiti nyanyian, Astro Star Quest (ASQ) pada 2009, pelakon yang pernah mengeluarkan jenama minyak wangi sendiri, Dr. Love Fragrance itu tampak tidak pernah berputus asa untuk terus menyanyi.

Pernah tampil dengan empat buah single iaitu Lagu Mu, Mencintaimu, Tajam dan Tak Terganti, bagaimanapun kesemuanya gagal menambat hati pendengar muzik tanah air.

Tidak pernah mengalah mahupun meninggalkan titik nokhtah dalam bidang nyanyian, Alvin sekali lagi muncul dengan single baharunya, Sayangku Salmah, ciptaan Dedeq yang ditampilkan dalam rentak raggaeton.

Lagu yang dilancarkan sejak Ogos lalu itu juga tidak lari daripada tercuit sensasi apabila Alvin dikatakan meniru konsep yang dibawakan oleh penyanyi, Andy Bernadee.

Tidak cukup dengan itu, Alvin juga dituduh sengaja mewujudkan kontroversi tentang ‘percintaannya’ dengan Athalia sebagai gimik untuk menarik perhatian.

“Kalau saya berniat untuk menjadikan semua itu gimik, sejak daripada awal menjadi artis saya telah melakukan perkara tersebut, bukannya sekarang,” kata Alvin.

Bercerita tentang Sayangku Salmah, Alvin memberitahu dia tertarik dengan lagu tersebut kerana merasakan konsep sebegitu mampu memberi selera berlainan terhadap pendengar muzik tempatan.

Dalam satu kenyataannya kepada media, Alvin berkata tidak timbul isi siapa tiru siapa kerana muzik milik semua. Bukan satu kesalahan jika dia turut membawakan lagu berentak sebegitu.

Meletakkan hasrat tinggi, Alvin berharap lagu Sayangku Salmah menambat hati pendengar, khususnya dalam kalangan peminat Melayu.

“Pendek kata, nama ini dipilih sebagai simbolik kepada wanita bagi disesuaikan dengan muzik video dan jalan cerita lagu ini,” katanya.

“Saya bukanlah penyanyi yang hebat tetapi setiap apa yang dilakukan, saya berikan yang terbaik kerana minat yang mendalam,” jelas Alvin yang mengakui masih solo.

ALVIN kini giat mempromosikan single terbaharunya, Sayangku Salmah.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN