PETALING JAYA – Setiap individu mempunyai alasan mengapa masih belum menemui cinta hati, begitu juga tiga pemuda Mohd. Hafizuddin Abdul Rahman, 38, Wayne Ragaventhiran, 33, dan Cheong Yuen Wai, 36.
Bagi mereka, status bujang tidak memberi sebarang tekanan, malah kini bahagia ditemani kucing peliharaan baka British Shorthair.
Menceritakan minatnya, Mohd. Hafizuddin berkata, ia bermula apabila dia menemui seekor kucing domestik betina pada 2012 di sebuah balai polis dan membawanya pulang kerana kasihan melihat haiwan berkenaan.

“Minat untuk memelihara baka British Shorthair tercetus ketika membawa kucing itu menyertai pertandingan kucing kampung anjuran Kelab Kucing Malaysia pada 2013.
“Dari situ saya mengenali baka British Shorthair dan tertarik dengan badannya bulat, boleh berdikari dan bulu pendek serta senang dijaga. Kini saya ada 24 ekor kucing baka ini termasuk seekor kucing domestik,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Setiap bulan, jurutera ini memperuntukkan kira-kira RM1,300 untuk makanan dan keperluan kucing peliharaannya.
Menyentuh mengenai kehidupan peribadinya, anak kedua daripada enam beradik itu berkata, sebagai anak lelaki pertama, dia merasakan tanggungjawab memastikan adik-adik lain dapat menyambung pelajaran ditambah ketika itu arwah bapanya tidak lagi bekerja.
“Kini kesemua adik-adik saya telah habis belajar, sudah bekerja dan ada yang telah berumah tangga. Memang ada juga ibu ‘bising’ dan bertanyakan bila pula saya akan berkahwin.
“Secara fitrah semua orang mahu berpasangan tetapi dalam masa sama, saya fikir juga adakah seseorang itu boleh menerima kucing-kucing saya dan tinggal serumah,” ujarnya.

Dalam pada itu, rakannya, Wayne yang juga pengarah sebuah sekolah antarabangsa memberitahu, dia memelihara 25 ekor kucing British Shorthair dengan perbelanjaan antara RM2,500 hingga RM3,000 sebulan, manakala pemeriksaan veterinar antara RM500 hingga RM600.
“Perasaan seronok apabila balik rumah, kucing-kucing menunggu. Jika kucing beranak, saya akan tunggu dan sambut kelahiran itu, proses berkenaan memang menyeronokkan biarpun pengalaman menjaga anak kucing, bukannya sesuatu yang mudah,” jelasnya.
Ditanya mengenai perkahwinan, anak sulung daripada tiga beradik itu belum memikirkan ke arah tersebut selain mahu memberi fokus kepada kerjaya, hobi serta perkara dan aktiviti yang diminatinya.
Sementara itu, luahan sama disuarakan Yuen Wai yang juga ketua bahagian teknologi digital di sebuah syarikat yang memberitahu, dia kini bahagia dengan 13 ekor kucing British Shorthair dan memperuntukkan kira-kira RM2,000 sebulan bagi keperluan haiwan tersebut.
“Saya berpendapat menjaga kucing ini juga suatu amanah. Kita rasa ada matlamat hidup dan perlu bekerja keras mencari duit kerana terdapat ‘anak-anak’ di rumah yang memerlukan makanan.
“Saya adalah tempat kucing-kucing bergantung hidup, jadi tanggungjawab saya menjaga si bulus ini dengan baik,” ujarnya.














