PETALING JAYA – Seorang penyewa tergamak meninggalkan puluhan kucing peliharaannya di rumah sewa dan tidak membawa haiwan tersebut bersama-sama selepas berpindah ke tempat lain.
Menerusi hantaran dikongsikan seorang pengguna TikTok Arif Husni, dia yang juga ejen hartanah menguruskan rumah sewa terpaksa menyelesaikan isu kucing-kucing berkenaan selepas diminta pemilik rumah tersebut.
“Ramai pemilik risau rumah kosong, hakikatnya lebih menakutkan adalah tersalah pilih penyewa. Masa ambil semula rumah pun kami terkejut tengok jumlahnya.
“Sekarang tengah usaha cari penempatan dan bantuan, jika ada orang nak ambil amatlah bagus. Jumlah kucing saya pun tak pasti, dah tangkap 60 ekor termasuk baby (bayi) kucing.
“Memang mencabar nak uruskan semuanya, syukur ramai yang tampil membantu. Semoga dipermudah urusan dan dimurahkan rezeki semua,” katanya menjawab pertanyaan orang ramai pada ruangan komen.
Katanya, kemungkinan penyewa tersebut pada asalnya mahu membantu kucing-kucing berkenaan, namun tidak mampu menguruskannya.
“Mungkin niat asalnya nak membantu kucing, cuma jumlah terlalu banyak. Akhirnya jadi sukar untuk diurus dengan baik,” katanya.
Dalam pada itu, orang ramai turut mengecam tindakan penyewa berkenaan yang meninggalkan kucing-kucing peliharaannya sekali gus disifatkan tidak bertanggungjawab.
“Ya Allah tergamak tinggal macam tu saja. Saya penyewa juga, tapi saya bawa penuh kereta dalam 15 ekor walaupun semua kucing jiran. Tapi dah duduk dan kita tetap bawa. Sekarang bahagia depan kat rumah baharu,” komen Cik Anim.
“Saya selaku salah seorang penyelamat kucing jalanan memang tak gemar dengar kisah-kisah macam ini. Minta maaf dan terima kasih pemilik rumah sebab sudi cari pemilik baharu kucing-kucing tu,” kata Komotcathouse.
“Kalau pencinta haiwan, dia takkan biarkan haiwan dijaga selama ini terbiar macam ni,” komen Norehan Ismail. – KOSMO! ONLINE
@arif6063Ramai owner risau rumah kosong. Hakikatnya, yang lebih menakutkan adalah tersalah pilih penyewa. 💯🏠 ♬ Diggi-Di-Diggi-Di Hey YOU’RE OLD AND SAD – Abraao de Santana














