TEKNOLOGI kecerdasan buatan (AI) dilihat telah membantu aktiviti perniagaan menjimatkan lebih banyak masa daripada rutin-rutin berulang yang boleh diramal.
Situasi pandemik yang beransur pulih kini diikuti dengan keadaan kegawatan ekonomi telah membawa perubahan dalam cara orang ramai menggunakan teknologi dalam tempoh peralihan dan transisi ini.
Terdapat banyak jenis teknologi yang telah dijadikan penyelesaian semasa pandemik yang berterusan, termasuk teknologi kecerdasan buatan yang kini digunakan secara meluas oleh kebanyakan sektor industri di Malaysia.
Keselesaan melayani pengguna kini dapat diperbaiki dengan kecerdasan buatan dalam bentuk chatbots asalkan soalan atau keperluan pengguna itu dapat disampaikan dengan betul.
Ini memberi gambaran bahawa kini dalam konteks perniagaan, komunikasi yang cekap dan pantas menjadi tuntutan utama dan kehendak pengguna.
Syarikat kecerdasan buatan pada masa ini mula menumpukan pada chatbots atau perbualan ‘robot’ yang mana dilihat sebagai strategi pelbagai industri melibatkan banyak inovasi
dalam infrastruktur teknologi.
Terbukti kecekapan boleh dijana oleh aplikasi kepintaran buatan.
Para usahawan mula melihat bahawa pada masa hadapan, perniagaan-perniagaan dikehendaki memberi perkhidmatan kepada pengguna dengan lebih pantas, tanpa menjejaskan kualiti mereka.
Di samping itu, keadaan semasa telah menjadi momentum kepada banyak perniagaan yang sebelum ini lewat bertindak, untuk segera melangkah dan mendapat lebih banyak keuntungan di tengah-tengah keadaan pandemik yang semakin baik, terutama dengan aplikasi kecerdasan buatan yang dapat memberi respons kepada pengguna secara lebih cepat.
Perkembangan teknologi AI adalah penting bagi manusia dalam fungsi-fungsi yang berulang kerana kecerdasan buatan boleh difokuskan pada aktiviti kerja yang memakan masa, berulang dan mudah diramal misalnya menjawab pertanyaan dan sapaan.
Dengan itu, fungsi manusia pula boleh ditumpukan kepada masalah yang lebih kompleks sifatnya supaya matlamat meningkatkan kecekapan dan produktiviti dapat direalisasikan.
Dengan bantuan pemprosesan data dan digabungkan dengan teknologi AI yang betul, ia telah menjadi kunci dan sasaran bagi banyak perniagaan untuk dapat bertindak balas terhadap perubahan gaya hidup orang ramai dalam tempoh peralihan ini.

Institusi perniagaan kini mula tersedar bahawa ramai pekerja telah ‘membazir’ masa kerana terlalu banyak maklumat yang perlu dianalisis secara manual.
Teknologi AI yang mempunyai ruang untuk penambahbaikan yang luas merupakan jawapan bagi perniagaan untuk dapat mengautomasikan secara khusus pada masalah berulang untuk membantu pekerja menjimatkan masa mereka agar menjadi lebih cekap dan produktif.
Dalam pada itu, penggunaan AI untuk industri diramalkan mampu meningkatkan kecekapan operasi syarikat sehingga 30 peratus dan meningkatkan produktiviti pekerja sebanyak 80 peratus, menurut ramalan Mckinsey pada 2021.
Dengan menggunakan ekosistem teknologi digital berasaskan AI seperti yang dibangunkan kini, proses operasi akan berada pada tahap optimum supaya menjadi lebih berkesan dan cekap.
Kecerdasan buatan juga boleh meningkatkan kaedah bekerja dengan lebih efisien berasaskan pembelajaran mendalam dan membantu menjana analisis data yang lebih tepat
sekali gus mendorong pembuatan keputusan perniagaan serta pelaburan yang lebih baik.
Mengoptimumkan ekosistem digital ini merupakan kunci kepada pembangunan perniagaan sejajar dengan pertumbuhan perniagaan yang lemah sepanjang kegawatan ekonomi.
Pengguna kini semakin banyak pilihan dengan pelbagai jenis kelebihan maklumat yang bergerak pantas.
Perniagaan mestilah boleh menjadi lebih peribadi dan lebih dekat dengan pengguna supaya strategi perniagaan yang dilaksanakan berkesan.
Tahap penggunaan keperluan teknologi AI dilihat semakin meningkat dalam sektor
perniagaan yang menawarkan produk atau perkhidmatan kepada pelanggan akhir.
Kini kita melihat syarikat-syarikat pemula yang menyediakan perkhidmatan kecerdasan buatan menjadi pemangkin AI.
Perubahan dalam gaya hidup pengguna yang menuntut tindak balas perniagaan tanpa mengira masa menjadikan perniagaan itu perlu menyediakan aktiviti operasi yang boleh berjalan dengan cara seimbang berasaskan permintaan pelanggan.
Teknologi kecerdasan buatan dalam bentuk chatbots atau voicebots ini perlahan-lahan dilaksanakan oleh pelbagai jenis industri untuk bertindak balas terhadap perkembangan dinamik pasaran yang terus bergerak pantas.
Dengan membaca dan memahami data yang dikumpul oleh transaksi perniagaan juga, usahawan dapat menganalisis cara pengguna berkelakuan terhadap produk terlaris.
Dengan cara ini juga, perniagaan mampu melihat peluang dengan analisis data yang betul supaya peluang ini dapat dimaksimumkan.
————————————————————————————————————————–
Afizan Amer ialah Pensyarah Kanan Pemasaran Digital, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan Kampus Rembau, Universiti Teknologi Mara Negeri Sembilan.














