KUALA LUMPUR – Pengeluar produk roti, Gardenia Bakeries (KL) Sdn. Bhd. semalam menganjurkan Gardenia Breakthru Funwalk sempena Hari Sukan Negara 2022 yang dirasmikan oleh Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN), Mohd. Azhari Mohammad.
Majlis perasmian tersebut turut dihadiri duta jenama Gardenia Breakthru, Datuk Azizul Awang.
Gardenia Bakeries (KL) Sdn. Bhd dalam satu kenyataan memaklumkan, acara Fun Walk yang diadakan itu telah mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pengguna seluruh Semenanjung Malaysia.
Menurut Mohd. Azhari, penglibatan rakyat Malaysia dalam aktiviti gaya hidup sihat amat memberangsangkan dan semangat tersebut menjadikan Malaysia sebagai negara lebih sihat.
Dalam pada itu, Pengurus Pemasaran Gardenia Bakeries (KL) Sdn. Bhd, Ena Suhaila Abas berkata, selain daripada fun walk, acara dimeriahkan lagi dengan aktiviti senamrobik, Zumba, Jazzercise dan Tabata bagi mereka yang lebih gemar melakukan senaman tarian.
Jelasnya, matlamat utama acara itu adalah untuk menggalakkan peserta bergerak aktif bagi mengekalkan gaya hidup sihat tanpa mengira apa jua jenis aktiviti yang dilakukan.
“Gardenia menyeru rakyat Malaysia daripada semua lapisan masyarakat untuk bersama-sama memulakan gaya hidup sihat yang melibatkan aktiviti fizikal.
“Peserta larian berpeluang membawa pulang Roti Gardenia Breakthru secara percuma di garisan penamat. Bukan itu sahaja, jersi Gardenia Breakthru Fun walk dan beg khas Gardenia Breakthru juga telah diberikan sebaik sahaja peserta mendaftar,” katanya.
Tambahnya lagi, sesi cabutan bertuah turut disertakan dalam agenda di mana peserta berpeluang memenangi hadiah menarik antaranya jam tangan Garmin Venu SQ, Air Fryer, sepasang tikar yoga dan sepuluh set beg saguhati eksklusif daripada Gardenia Breakthru.
“Memandangkan sambutan yang diperoleh untuk Gardenia Breakthru Funwalk tahun ini adalah di luar jangkaan, kami di Gardenia berharap dapat bekerjasama dengan Kementerian Belia dan Sukan dalam merancang lebih banyak acara yang menarik untuk Hari Sukan Negara pada tahun-tahun akan datang.
“Ia juga selaras dengan usaha Gardenia untuk membentuk masyarakat yang lebih sihat demi masa depan negara yang lebih baik,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














