Oleh SHAARANI ISMAIL
IPOH – Sebuah tapak pelupusan haram yang dipercayai menjadi tempat buangan sisa industri ditemui bersebelahan sebuah resort dekat Kampung Ulu Chepor dekat sini.
Kawasan berkeluasan kira-kira 0.5 hektar itu dipercayai mula menjadi tempat pelupusan sejak lebih setahun lalu.
Pemilik resort, Nasaruddin Umar, 53, berkata sisa buangan berkenaan ditemui olehnya ketika melakukan kerja mengorek kelubung air yang pecah di kawasan resortnya dua minggu lalu.
Katanya, kelubung berkenaan terpaksa dikorek kerana limpahan air bukit tidak dapat lalu dengan baik hingga mengakibatkan kawasan resortnya dilimpahi air.
“Ketika saya korek tanah untuk membolehkan air lalu di kawasan kelubung yang pecah, saya dapati ada guni mengandungi sisa buangan berwarna hijau dan saya syaki ia bahan buangan industri.
“Air dari bukit berkenaan melalui tanah yang mengandungi sisa buangan mengakibatkan ia melalui sungai dan menjadikan air sungai turut bewarna hijau dan ia meresahkan penduduk kampung yang tinggal bersebelahan sungai,” katanya.
Nasaruddin berkata, ada penduduk kampung yang mengusahakan inap desa turut mengadu kualiti air berubah malah ada penduduk yang menternak ikan tilapia dan keli menggunakan air sungai mendakwa ternakan mereka mati dan mendakwa semua kejadian berpunca dari resort miliknya.
Dalam pada itu, Pegawai Lapangan Sahabat Alam Malaysia (SAM), Meor Razak Meor Abdul Rahman, yang turut melakukan tinjauan di kawasan itu berkata, pihaknya dimaklumkan kejadian itu oleh peserta latihan yang pernah mengikuti latihan di resort berkenaan sebelum ini.
Katanya, SAM kemudian berjumpa dengan pemilik resort dan pemilik mengakui kejadian berlaku tetapi tidak dapat memastikan bahan buangan yang ditemui itu berbahaya atau sebaliknya dan meminta pihak berkuasa menjalankan siasatan.
“Sekiranya bahan buangan tersebut adalah sisa industri, pihak berkuasa perlu mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap pihak yang melakukan pelupusan serta mendedahkan kepada umum sama ada ianya bahan berbahaya kepada alam sekitar, buangan terjadual atau hanya sisa sebatian organik.
“SAM berharap isu ini mendapat perhatian dan tindakan tegas perlu diambil bagi membanteras pembuangan sisa secara haram,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak, Rosli Zul ketika dihubungi berkata, JAS akan menghantar pegawai ke lokasi yang didakwa untuk mengambil sampel buangan.
Katanya, sampel buangan yang diambil kemudian akan dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia untuk dianalisis secepat yang mungkin.
“JAS juga akan mendapakan maklumat pemilik tanah daripada Pejabat Tanah Daerah Kinta, bagi melakukan siasatan lanjut berhubung dakwaan itu,” katanya. – K! ONLINE