JAM tangan pintar kini menjadi sebahagian peranti wajib dimiliki semua orang.
Maka tidak hairanlah banyak syarikat pengeluar menghasilkan peranti tersebut bagi memenuhi permintaan penguna yang semakin meningkat.
Garmin antara salah satu syarikat yang mengeluarkan peranti itu dan kini melancarkan jam tangan pintar terkini, Venu Sq 2 dan Venu Sq 2 edisi muzik.
Jam tangan pintar ini dilengkapi Sistem Penentu Kedudukan Global (GPS) dan ditawarkan pada harga mampu milik.
Lebih menarik, ia menampilkan AMOLED baharu pada paparan skrin sesentuh.
Peranti ini berukuran 1.4 inci dan berbentuk segi empat tepat dan dihasilkan daripada aluminium ringan.
Selain itu, peranti ini turut dilengkapi lebih 25 aplikasi sukan terbina dalaman bagi mengetahui tahap kecergasan dan kesihatan masing-masing.
Pada masa sama, jangka hayat bateri untuk peranti ini boleh bertahan sehingga 12 hari untuk sekali pengecasan penuh.
Bagi edisi muzik, peranti ini mempunyai storan muzik dan pengguna boleh mendengar alunannya tanpa menggunakan telefon pintar.
Melalui peranti tersebut juga, pengguna boleh menerima maklumat tentang kadar denyutan jantung sama ada tinggi atau rendah apabila badan berada dalam keadaan rehat.
Dalam pada itu, jam tangan pintar ini dilengkapi dengan fungsi penjejakan tekanan.
Ini dilakukan dengan mencerap keadaan harian pengguna dan akan memberi peringatan apabila tekanan dikesan.
Untuk tujuan tersebut, peranti ini akan menjejaki pernafasan, kadar purata denyutan jantung dan lain-lain yang berpotensi untuk memberikan tekanan.
Selain itu, peranti ini dilengkapi dengan fungsi pemantauan tidur dengan melakukan penilaian menyeluruh masa tidur pengguna.
Pengguna boleh memantau skor tidur dan boleh mengetahui kadar denyutan jantung, tekanan dan data pernafasan semasa tidur.
Peranti ini turut disertakan fungsi penjejakan kesihatan wanita, yang mana menghubungkannya dengan aplikasi Garmin Connect di telefon pintar pengguna seperti kitaran haid atau kehamilan.














