fbpx
PERSARAAN legenda tenis ini akan menyebabkan ramai peminat sukan itu merindui aksinya di gelanggang.

Roger Federer legenda tenis pegang 30 gelaran Guinness World Records

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TEPUKAN gemuruh bergema di sekitar gelanggang tenis selepas Roger Federer menamatkan perlawanan bersama rakan gandingannya, Rafael Nadal dalam acara beregu Piala Laver yang berlangsung di London, United Kingdom baru-baru ini.

Biarpun kalah, namun ia disifatkan sebagai perlawanan yang begitu beremosi dan bersejarah dalam kalangan peminat sukan tenis apabila berpeluang menyaksikan sendiri perlawanan terakhir Federer.

Ia selepas legenda dunia tenis itu mengambil keputusan muktamad untuk menamatkan perjalanan kariernya dalam sukan berkenaan.

Aksinya dalam Piala Laver yang berlangsung di London, sekali gus menutup tirai 24 tahun perjalanan karier Federer di pentas tenis dunia.

“Ia adalah hari yang indah. Saya beritahu rakan-rakan yang saya gembira, bukannya bersedih.

“Saya rasa sangat seronok dapat berada di sini. Saya seronok mengikat tali kasut sekali lagi, setiap perkara adalah kali terakhir.

“Bermain dengan Nadal dan disaksikan oleh semua legenda adalah sangat menakjubkan, terima kasih. Ia memang terasa seperti perayaan. Ia adalah satu perjalanan menakjubkan,” kata Federer, 41, ketika ditemu ramah bekas pemenang Grand Slam, Jim Courier.

Federer adalah legenda besar dalam sukan tenis, yang mana tidak keterlaluan dikatakan ramai penggemar tenis jatuh cinta dengan sukan itu kerana dirinya.

Bayangkan, Guinness World Records menyenaraikan Federer mempunyai 30 rekod dunia yang masih dipegangnya dalam pelbagai perkara sepanjang kariernya.

FEDERER mengalirkan air mata setelah menamatkan aksi perlawanan Piala Laver di London baru-baru ini yang merupakan aksi terakhir dalam kariernya.

Antaranya, Federer merupakan pemain tenis perseorangan lelaki paling lama bertahan dalam kedudukan No. 1 dunia secara berturutan iaitu 273 minggu.

Biarpun secara keseluruhan dia berada di tangga No. 1 sebanyak 310 minggu, iaitu kedua di belakang Novak Djokovic (Serbia) dengan 373 minggu, namun Djokovic hanya mampu bertahan secara berturutan pada kedudukan No. 1 selama 122 minggu.

Federer juga memegang rekod pemain tenis paling banyak menang setiap perlawanan Grand Slam dengan 369 kemenangan, 35 lebih banyak daripada Djokovic. Beliau juga pemegang rekod gelaran Wimbeldon paling banyak dalam sejarah dan pemain tenis paling tinggi pendapatan tahunannya iaitu AS$90.7 juta (RM418 juta).

Terlalu banyak lagi untuk disenaraikan.

Lahir di Basel, Switzerland pada 8 Ogos 1981, Federer dibesarkan di sebuah kawasan bersempadan dengan Perancis dan Jerman. Disebabkan itu jugalah, legenda ini sangat fasih dalam pelbagai bahasa.

Federer menunjukkan minat mendalam dalam sukan sejak usia yang sangat muda. Dia cukup meminati sukan tenis hingga sanggup menjadi budak pengutip bola dalam Kejohanan Basel.

Pun begitu, selain tenis, figura ini turut meminati badminton, bola keranjang dan bola sepak. Bahkan Federer merupakan penyokong tegar FC Basel dan pasukan bola sepak kebangsaan Switzerland.

Bagaimanapun, Federer memilih untuk bergerak dengan lebih serius dalam tenis seawal usia lapan tahun.

KETANGKASAN Federer dalam setiap perlawanan yang disertainya menyebabkan juara dunia ini dikagumi kawan dan lawan.

Lebih membanggakan, enam tahun selepas serius dengan sukan itu, dia diangkat sebagai Juara Muda Switzerland pada usia 14 tahun.

“Saya lebih memilih sukan tenis yang mana saya sendiri akan dipersalahkan jika kalah dan diraikan jika menang. Maksudnya, saya bertanggungjawab dengan apa yang dilakukan.

“Berbeza dengan bola sepak. Biarpun pemain itu bermain dengan baik, namun apabila kalah, mereka saling salah menyalahkan satu sama lain.

“Dari situlah, saya mula menyedari tenis merupakan sukan yang saya mahukan. Bagaimanapun, sejujurnya saya sendiri tidak menyangka mampu pergi jauh sehingga ke tahap ini,” kongsinya dalam temu bual bersama Talk Asia.

Pukulan kuat, gerak kaki sangat baik dan teknik yang cekap bukan sahaja membuatkan dia memenangi beberapa perlawanan, tetapi juga mencipta sejarah dunia dengan 20 kejuaraan Grand Slam, 103 kemenangan dalam pelbagai peringkat dunia tenis, selain memegang rekod merangkul paling banyak gelaran Wimbledon iaitu dengan lapan kejuaraan.

Disebabkan itu jugalah Federer digelar legenda. Dirinya bukan sahaja dihormati ketika berada di dalam mahupun luar gelanggang, bahkan di seluruh dunia.

Diangkat oleh pakar sebagai pemain tenis terhebat sepanjang zaman, Federer dikenali kerana kepantasannya, permainan lancar dan pukulan luar biasa.

Minat mendalam terhadap sukan tersebut juga menjadikan Federer sebagai salah seorang ahli sukan terkaya di dunia apabila sering dilantik menjadi duta bagi jenama-jenama terkenal dunia, selain kemenangan diperolehnya.

Kejayaan yang diciptanya itu bukanlah datang sekelip mata. Sebaliknya, mengambil masa bertahun-tahun untuk meletakkan dirinya di tempat di mana dia berada sekarang.

BIARPUN sibuk dalam sukan, Federer tidak pernah lupa tanggungjawabnya kepada keluarga iaitu isteri, Miroslava Mirka dan empat anaknya yang juga merupakan dua pasangan kembar.

Mula bermain dalam kejohanan kelas tinggi selepas kejayaannya pada usia 18 tahun, situasi itu menyebabkan dia dengan cepat membina reputasi dan nama untuk dirinya sendiri.

“Saya melihat dalam sukan ini sangat kompetitif, kerana terdapat ramai pemain yang tidak kurang hebatnya di luar sana. Ditambah pula dengan sistem ranking yang perlu dipertahankan setiap tahun.

“Ternyata ia sebenarnya agak sukar. Lebih-lebih lagi apabila terpaksa memikirkan bagaimana mahu sentiasa berada di kedudukan teratas dengan persaingan yang sangat sengit dan besar.

“Bagaimanapun, tidak dinafikan saya melihat sukan ini sangat elegan, global dan berdaya saing,” ujarnya.

Perlawanan tenis yang disertainya dilihat sangat sengit sehingga menyebabkan personaliti terkenal dunia lain juga turun untuk melihatnya bermain. Pada 1998, Federer membuat penampilan sulung dalam pasukan Piala Davis Switzerland dan menjadi pemain termuda menempatkan diri dalam senarai 100 pemain teratas dunia.

“Sebenarnya saya begitu gembira dan menyukai sukan tenis. Kebanyakan masa dihabiskan bersama rakan-rakan untuk bermain.

“Ia satu perjalanan sempurna, hebat dan menyeronokkan. Saya merupakan salah seorang insan yang bertuah,” tambahnya.

Selepas 24 tahun beraksi dengan lebih 1,500 perlawanan di pelbagai gelanggang perlawanan, Federer mengambil keputusan untuk bersara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN