AWAL bulan ini, satu tragedi kemalangan jalan raya melibatkan seorang pelakon lelaki mengejutkan banyak peminat dunia hiburan.
Ramai mengucapkan syukur apabila kemalangan yang melibatkan pelakon Ikmal Amry bersama isteri dan bayi perempuannya itu ‘dilindungi’ Tuhan.
Jika melihat keadaan kereta yang dipandunya berpusing beberapa kali sebelum terbalik, mungkin boleh disimpulkan pasti ada yang tercedera dan pasti ke hospital bagi menerima rawatan.
Namun atas kuasa Tuhan, sedikit kecederaan langsung tidak berlaku kepada mereka bertiga. Tanpa luka, insiden tersebut bagaimanapun tetap meninggalkan parut kekal di jiwa mereka.
Trauma dan fobia ternyata satu perkara yang sukar dilupakan.
Bertemu si empunya badan, Ikmal mengakui masih trauma dengan apa yang berlaku kepada keluarga kecilnya tempoh hari.
Akur dengan kesilapan sendiri sehingga berlakunya kemalangan tersebut, Ikmal menginsafi diri atas kejadian tidak diingini tersebut.

Trauma, peluang kedua
Meneruskan perkongsian, Ikmal atau nama sebenarnya Mohd. Zulikmal Amry Ghazali menyifatkan ujian tersebut juga sebagai peluang kedua baginya.
Tidak sahaja masih terbayang-bayang suasana kejadian, sehingga ke detik ini dia sebenarnya masih trauma memikirkan saat yang hampir meragut nyawa tersebut.
“Kalau tengokkan keadaan kereta yang terbalik dan remuk pada bahagian tertentu, pasti orang di dalamnya juga akan cedera atau parah.
“Tetapi alhamdulillah tiada sedikit pun kecederaan apatah lagi luka yang berlaku kepada kami bertiga. Syukur Allah pelihara dan ‘jaga’ kami waktu itu.
“Anak dan isteri pun dalam keadaan baik. Cuma isteri pun sama macam saya masih teringat-ingat dan trauma dengan apa yang menimpa,” katanya.
Tambah pelakon drama Ex Aku Pontianak itu, tidak terhenti di situ sahaja, rentetan daripada apa yang berlaku, dia juga seakan-akan diserang anxiety (kegelisahan melampau) sehingga kini.
Jika sebelum ini dia tidak pernah mengalami perasaan sebegitu, namun perubahan pada dirinya semakin ketara.
“Jujur saya katakan, selepas ditimpa kemalangan, saya jadi macam anxiety bila berjumpa dengan orang ramai.
“Perkara tersebut (anxiety) memang sampai sekarang mengganggu dan menghantui saya dan isteri sebab kami masih teringat-teringat dengan apa yang terjadi.
“Isteri pun jadi mudah terkejut dan sentiasa pegang anak bila semasa tidur sebab masih teringat dengan insiden ngeri yang berlaku,” katanya.
Ditanya mengenai rawatan susulan terutama melibatkan trauma, Ikmal berkata, dia dan isteri tidak berhasrat untuk sampai ke tahap itu.
Mereka memilih untuk bertenang dan banyak menghabiskan masa di rumah bersama keluarga.

Rezeki anak
Tutup rapat-rapat soal kemalangan, lima tahun memahat nama sebagai anak seni, Ikmal bersyukur rezekinya dalam bidang lakonan dilihat semakin bertambah.
Kata Ikmal, rumah-rumah produksi dan para sutradara juga mula mempercayai bakat lakonan yang ada dalam dirinya.
“Alhamdulilah selepas kita memasuki fasa endemik, rezeki saya dalam bidang lakonan dipermudahkan.
“Saya anggap ini rezeki anak juga. Beberapa tawaran drama pun sudah saya terima dan kini lebih kepada mempromosikan filem seram sulung saya, Rasuk.
“Kalau ikutkan, kami menjalani penggambaran naskhah Rasuk sekitar lebih dua tahun lepas. Ketika itu, saya belum bernikah.
“Jadi selepas hampir tiga tahun, filem tersebut akhirnya akan menemui penonton juga bermula esok (Khamis) di layar perak,” katanya.

Cekik leher
Berkongsi sedikit pengalaman membintangi Rasuk arahan pengarah popular James Lee itu, Ikmal mengakui seronok selain teruja dapat turut serta menjayakan filem seram tersebut.
“Sepanjang penggambaran kami melalui pengalaman yang menyeronokkan kerana semua pelakon yang terbabit memberikan kerjasama terbaik.
“Kalau tanya cabaran membintangi filem ini apa yang boleh saya kata babak mencekik watak Alia lakonan Elisya Sandha antara yang paling sukar dijayakan.
“Saya perlu mengawal emosi dan riak wajah kerana ketika itu keadaan seperti terasuk, separuh manusia dan separuh mayat hidup.
“Jadi mungkin anda boleh bayangkan perasaan saya,” tuturnya tidak sabar menunggu ‘kerasukan’ peminat terhadap filem berkenaan.
















