BEBERAPA individu kelihatan berjalan dalam kumpulan di tengah kawasan Bukit Bintang yang penuh sesak dan serba moden pada hari itu sambil memakai pakaian dari era 1970-an.
Orang awam yang lalu-lalang di ibu kota itu masing-masing dilihat memberikan pelbagai reaksi, ada yang tersenyum dan ada juga yang kelihatan bingung.
Malah, ada juga beberapa individu yang meminta izin untuk bergambar bersama kumpulan itu yang menggelar diri mereka sebagai 70’s Revival.
Biarpun ada mata-mata yang menjeling seolah-olah menganggap kumpulan itu sebagai ketinggalan zaman, ia bagaimanapun tidak langsung membuatkan mereka berkecil hati, sebaliknya kumpulan 70’s Revival berbangga kerana memilih pakaian fesyen ala 70-an itu sebagai gaya harian.
Bagi salah seorang ahlinya, Mohd. Shazwan Saburi, 30, fesyen dan gaya pemakaian zaman 1970-an tidak seharusnya berkubur begitu sahaja, lantas dia bersama beberapa rakan lain memilih untuk menggayakan pakaian era itu sebagai pakaian harian.
Kemeja dengan motif kotak-kotak, seluar berpotongan boot cut dan juga kasut but kulit tumit tinggi menjadi gaya harian Mohd. Shazwan ke mana sahaja dia pergi.

Biarpun lahir pada tahun 1990-an dan tidak berkesempatan hidup pada era 70-an, minat mendalam terhadap gaya yang dianggapnya cukup berpengaruh itu mendorong Mohd. Shazwan mengumpul rakan-rakan dengan minat yang sama untuk menghidupkan kembali gaya 70-an itu.
“Pada asalnya, ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada tahun 2021, minat terhadap fesyen 70-an ini telah mendorong saya mencari geng untuk bertukar pendapat mengenai fesyen 70-an menerusi platform penstriman langsung di media sosial.
“Selepas sekatan dibuka, saya pun membuat perjumpaan pertama di Pasar Seni, Kuala Lumpur, namun hanya kurang daripada lima orang yang hadir untuk sama-sama menghidupkan kembali fesyen zaman 70-an,” ujar Mohd. Shazwan yang merupakan pengasas kumpulan itu kepada K2.
Anak kelahiran Selayang, Kuala Lumpur itu bagaimanapun tidak patah semangat dan tetap menjayakan perjumpaan mini itu dengan membuat perkongsian menerusi media sosial.
Penerimaan dan komen positif daripada orang ramai seterusnya membuatkan Mohd. Shazwan memberanikan diri untuk membuat perjumpaan kedua bertempat di Bukit Bintang bulan lalu.
“Perjumpaan tersebut ternyata mendapat sambutan apabila kami berjaya mengumpulkan sekitar 70 orang peminat fesyen ini dari pelbagai negeri dan juga pelbagai peringkat umur,” ujarnya yang tidak menyangka ia menjadi tular di platform TikTok.
Kehadiran kumpulan itu mencuri tumpuan orang awam, yang rata-ratanya memuji dan menyatakan bahawa fesyen tersebut berjaya mengimbau nostalgia ketika zaman 70-an.
“Kami sering mendapat komen positif daripada orang ramai, antaranya yang memberitahu betapa mereka terkenang memori zaman dahulu dan ada antara mereka yang mahu merakam gambar bersama kami,” ujarnya.
Malah, ada juga yang menulis komen di laman Facebook dan TikTok kumpulan itu untuk memohon sama-sama terlibat dalam perjumpaan 70’s Revival kelak.
Menurut Mohd. Shazwan, kebanyakan ahli 70’s Revival menggunakan koleksi pakaian peribadi milik ahli keluarga seperti bapa dan juga saudara-mara yang masih disimpan dan ada juga yang memilih untuk ‘menyelam’ ke kedai pakaian bundle bagi mencari pakaian yang benar-benar menepati tema 70-an.

Malah, media sosial juga dianggap Mohd. Shazwan amat membantu dia dan ahli yang lain untuk mencari kedai serta individu yang menjual koleksi pakaian ini untuk gaya harian mereka.
Ditanya tentang apa elemen yang paling disukainya tentang gaya 70-an itu, Mohd. Shazwan berkata, zaman itu merupakan satu-satunya zaman yang mana kasut tumit tinggi digayakan oleh wanita dan juga lelaki.
“Penggayaan kasut tumit tinggi lebih sinonim dengan wanita, namun pada sekitar 1970-an, lelaki turut menggayakan kasut kulit bertumit tinggi yang dikenali sebagai ‘platform shoes’.
“Justeru, ia menjadi satu keunikan yang cukup disukai orang ramai kerana gaya kasut tersebut tidak lagi dilihat atau digayakan oleh para jejaka pada mana-mana zaman yang lain,” ujarnya.
Keseronokan dalam mengimbau zaman 70-an merupakan satu perasaan yang sukar diungkapkan, lebih-lebih lagi bagi mereka yang pernah melalui sendiri zaman tersebut.
Justeru, kehadiran kumpulan 70’s Revival dilihat memberi kesan mendalam terhadap beberapa individu yang bukan saja pernah melalui zaman tersebut tetapi juga mereka yang cukup menggemari pesona gaya 70-an itu.
“Kami sering didekati beberapa individu yang memberitahu terkenang dan cukup merindui momen indah zaman 70-an. Komen-komen sebegini membuatkan kami sama sekali tidak menyangka bahawa apa yang kami gayakan ini mendapat sambutan yang menggalakkan dalam kalangan orang ramai,” ujarnya.
Kehadiran kumpulan itu nyata mencuri tumpuan orang ramai yang menganggap 70’s Revival sebagai unik dan berani dalam menggayakan fesyen yang mungkin dianggap ketinggalan zaman sebagai pakaian harian.
Menurut seorang pengguna media sosial yang hanya dikenali sebagai Juan Idris, dia yang terserempak dengan beberapa orang ahli 70’s Revival di sebuah restoran baru-baru ini memuji gaya mereka yang cukup menarik.
“Bergaya betul mereka ini, apabila mereka turun sahaja daripada kereta, saya terasa seolah-olah dibawa kembali ke zaman 1970-an,” tulisnya pada ruangan kapsyen sebuah video TikTok yang dimuat naiknya.














