Sejak kebelakangan ini, ramai bertanyakan pandangan saya tentang sejauh mana keperluan, serta kepentingan pendidikan formal (asas seni reka fesyen) bagi mereka yang punyai aspirasi untuk menjadi pereka fesyen.
Jawapan saya mudah, you can do it with or without, terpulang kepada sejauh mana integriti kita dalam merealisasikan impian untuk menjadi pereka yang profesional dan disegani.
Perlu diingat menjadi pereka popular atau disegani adalah dua perkara yang berbeza.
Untuk menjadi true designer, walau sebesar mana pun bakat yang kita ada, ia perlu diasah, dibimbing serta menjalani pelbagai proses sama ada melalui pendidikan formal ataupun bersandarkan pengalaman dalam industri.
Pereka yang menakjubkan seperti Yohji Yamamoto, Marc Jacobs dan John Galliano (sekadar menyebut beberapa nama), semuanya mempunyai pendidikan formal dalam seni reka fesyen.
Mereka ini tergolong dalam kategori pereka yang gifted mungkin satu dalam sejuta dan tidak akan ada replikanya.
1. Legasi dibanggakan
Cuba kita tanya, adakah kita mahu menjadi antara ribuan replika pereka yang telah ada ataupun mahu menyerlahkan ekspresi individualiti tersendiri dalam karya mewakili generasi serta menjadi legasi yang boleh dibanggakan.
Secara peribadi, pengalaman belajar di universiti terlalu berharga.
Pendidikan tunjang utama dalam menyediakan kefahaman tentang prinsip dan fundamental seni rekaan.
Arah tuju kerjaya saya sekarang, sebahagian besar bertitik-tolak daripada kualiti program pendidikan.
Pensyarah yang memberi bimbingan serta motivasi, juga inspirasi daripada sahabat yang sama-sama belajar pada waktu itu.
Pengalaman saya menimba ilmu hingga ke peringkat Ijazah Sarjana di Amerika Syarikat memberi ruang mencari diri dan mengasah bakat untuk menjadi yang terbaik dalam profesion.
2. Interpretasi seni
Pendidikan memberi saya keyakinan dan fokus dalam kehidupan serta kebolehan untuk berfikir seterusnya mentafsir secara kritikal tentang karya saya dan juga orang lain.
Ia mengajar bagaimana meluahkan ekspresi diri serta interpretasi seni untuk masyarakat.
Paling penting, proses pendidikan memberi kita kekuatan menghadapi serta mencari jalan penyelesaian apa jua masalah.
Kegigihan untuk menimba ilmu memberi semangat untuk erus berusaha melangkaui imaginasi untuk mereliasasikan impian.

LUAHAN ekspresi diri serta interpretasi seni untuk masyarakat direalisasikan menerusi pendidikan fesyen.
3. Cari ‘roh’ karya
Tugas utama pendidik adalah untuk membantu pelajar membuat anjakan paradigma serta transformasi diri daripada yang biasa menjadi luar biasa.
Pendidik juga bertanggungjawab untuk membimbing mereka mencari ‘roh’ dalam karya dan mengeluarkan spectacular dari dalam diri.
Pendidikan memberi ilmu yang membuka ruang lingkup minda kita terhadap dunia di sekeliling.
Ia memberi perspektif baharu dan segar dalam diri kita terhadap kehidupan itu sendiri.
Ilmu membantu kita berani menyuarakan pendapat dan memberikan ketajaman intuisi dalam memahami tentang kehidupan.
4. Cipta karya terbaik
Kita perlu tahu, menjadi seorang pereka bukan hanya cukup dengan memiliki butik fesyen.
Tetapi paling penting kemahiran untuk menghasil atau mencipta karya terbaik untuk masyarakat.
Kemahiran itu juga mendidik mata kita untuk menganalisa apa yang kita lihat seperti kadar banding (proportions), warna, mood, konteks, suasana dan konstruksi.
Pada pandangan saya, pendidikan formal adalah seperti makanan lengkap dengan nutrisi seimbang.

PENDIDIKAN formal seni reka mengajar kita untuk lebih menyelami dan memahami tradisi.
5. Falsafah tersirat
Seni reka secara amnya adalah bidang yang kaya dengan warisan, tradisi dan falsafah yang tersurat dan tersirat.
Pendidikan formal seni reka mengajar kita untuk lebih menyelami dan memahami tradisi.
Ia juga menyediakan pelajar peluang untuk bereksperimentasi dan eksplorasi dalam bidang rekaan tanpa kekangan aspek komersial.
Paling penting, misi pendidikan adalah untuk melahirkan pelajar atau pereka yang berteraskan kualiti, individualiti, kecemerlangan, keyakinan dan ketokohan.
————————————————————————————————————————–
FAIZAL HAMID ialah Pensyarah Kanan Jabatan Fesyen, Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, Selangor.














