HASRAT memiliki cahaya mata sendiri sememangnya menjadi impian bersama penyanyi Hazama dan isterinya, Genervie Kam selepas tujuh tahun meniti kehidupan berumah tangga.
Apakan daya, manusia hanya mampu merancang, Tuhan jugalah yang menentukan segala-galanya.
Pasangan itu pernah menyuarakan hasrat untuk melakukan rawatan kesuburan In Vitro Fertilization (IVF) sebagai salah satu usaha menimang anak, perancangan tersebut bagaimanapun terpaksa ditangguh buat seketika.
Ikuti temu bual bersama penyanyi lagu Di Amaran Mama itu ketika ditemui usai pelantikannya sebagai Duta Anti-Scam Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Polis Diraja Malaysia (PDRM) baru-baru ini.
KOSMO!: Boleh Hazama ceritakan lanjut tentang peranan sebagai duta Anti-Scam JSJK PDRM?
HAZAMA: Peranan sebagai duta sudah tentulah untuk membantu menyebarkan bahaya jenayah penipuan yang sedang berleluasa ketika ini.
Kalau diikutkan hati, memang saya rasa marah dengan golongan ini sebab mereka tipu orang ramai. Mangsa yang terkena pula selalunya kita dengar orang tua ataupun bekas pesara kerajaan.
Mak saya sendiri pun hampir terkena, termasuk adik-beradik. Tetapi mujurlah saya dah pesan jangan dilayan.
Jadi saya gunakan platform yang ada seperti media sosial untuk sedikit sebanyak membantu buat kebaikan kepada masyarakat.
Adakah anda sendiri pernah berdepan dengan perbuatan licik scammer?
Pernah juga saya dapat panggilan telefon, tetapi saya ini jenis orang yang suka melayan dan berbual.
Jadi saya layan sajalah mereka. Bermacam identiti mereka menyamar, antaranya Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan bank.
Tetapi saya sekadar melayan sajalah, bila mereka minta maklumat, takkan nak bagi.
Baiklah, kongsi tentang perkembangan terkini karier anda?
Alhamdulillah, selepas memasuki fasa peralihan endemik, kita dapat lihat negara sudah hampir pulih termasuk industri seni yang kembali bernafas.
Jadi kerja-kerja yang tertangguh sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini, perlahan-lahan saya selesaikan.
Dalam perancangan juga, insya-Allah saya akan siapkan album. Biarpun sekarang bukan zaman album tetapi sebagai penyanyi, saya kena buat juga untuk buktikan keberadaan dalam industri.
Memandangkan industri sedang meriah dengan penganjuran persembahan artis lokal mahupun luar negara, anda pula bagaimana. Ada merancang konsert solo?
Buat masa sekarang, saya tak boleh nak anjurkan konsert solo. Sebab perancangan Konsert 4G bersama Tomok, Black dan Akim Ahmad masih berjalan, tak dibatalkan.
Saya kena selesaikan konsert itu dahulu sebab ada peminat yang dah beli tiket. Tak adil untuk mereka kalau tiba-tiba saya buat konsert solo. Selesaikan dahulu yang ini, lepas itu barulah saya dan kawan-kawan boleh teruskan kerja lain. Risau peminat tak percayakan saya.
Boleh ceritakan perkembangan perancangan melakukan rawatan IVF?
Belum buat, sebab saya dan isteri masing-masing tengah sibuk kerja. Dia pun hampir nak buka kilang untuk keluarkan pes untuk laksa yang kami usahakan sebelum ini.
Sebab dia ada perancangan untuk bawa masuk ke pasar raya dan juga jualan di pasaran antarabangsa. Insya-Allah semoga dipermudahkan.
Jadi saya rasa, mungkin tahun depan. Tahun ini, nikmati dahulu kehidupan bujang. Nanti dah tak boleh sertai ‘ride’ motor atau balik lewat (ketawa).
Adakah isteri anda ada berasa tertekan berhubung isu anak memandangkan usianya juga sudah memasuki angka 40-an?
Tidak, dia okey saja. Cuma satu kerisauan saya adalah dari segi risiko kalau hamil pada usia seperti dia. Cuma kita dah berusaha, jadi saya reda sajalah dengan rezeki Tuhan.
Sebagai perempuan, memang dia ada emosi itu tetapi sebagai lelaki, sayalah yang kena tenangkan dia. Ajar dia apa itu reda. Kalau diikutkan saya okey sahaja, sebab saya pun sudah ada empat orang anak buah. Mereka pun saya layan seperti anak sendiri.