APABILA melihat jernih kehijauan airnya, pasti ada hati yang terdetik mahu sekurang-kurangnya merendamkan kaki dan merasai arus yang mengalir di celahan jari. Kelincahan anak-anak ikan berenang dan alun liuk rumpai atau lumut yang berpaut pada batu pula dapat dilihat dengan begitu jelas. Setiap daun yang hanyut dalam kejernihan itu pasti akan diekori anak mata sehingga ia hilang daripada pandangan.
Itulah yang dapat digambarkan tentang Sungai Kesang, Sungai Rambai, Melaka yang tiba-tiba tular airnya bertukar menjadi jernih, sejernih air minuman sejak Julai lalu. Kini, Sungai yang membekalkan lebih daripada 54 juta liter air setiap hari kepada penduduk Melaka itu turut diberikan jolokan Maldives Malaysia oleh netizen di media sosial.
Sehingga kini, kejernihannya dilihat masih berkekalan.
Meskipun begitu, hasrat untuk mencelupkan kaki bagi menikmati terapi keindahan sungai itu terpaksa dipendam oleh ratusan pengunjung ekoran sungai jernih itu turut disukai Si Bujang Senang dari keluarga buaya tembaga. Beberapa papan tanda amaran kehadiran buaya turut kelihatan diletakkan di sekitar sungai di Laman Belia Sungai Rambai.
Kata pepatah Melayu, air yang keruh-keruh kerak, alamat buaya di hulunya, namun di Sungai Kesang, pepatah itu pasti dibalas dengan peribahasa jauh panggang dari api apabila media turut melaporkan buaya turut berenang bebas di sungai sejernih itu.
Kini, sungai Kesang yang dipisahkan antara gerbang selatan Melaka dan gerbang utara Johor itu tidak pernah sunyi daripada riuh pengunjung sama ada yang datang bersantai di gazebo bersama ahli keluarga mahupun mereka yang berdiri di gigi air dengan hasrat dapat melihat kelibat Bujang Senang.
Bagi Mohd. Rafi Yaman, 46, dan isterinya Rozitah Haron, 39, dari Shah Alam, Selangor, keputusan untuk singgah ke Laman Belia bagi menyaksikan sendiri kejernihan Sungai Kesang itu bersama-sama tiga orang anak kecil mereka dianggap berbaloi dan mengujakan.

“Sepanjang hidup saya, tidak pernah lagi saya melihat air sungai sejernih ini sehingga memperlihatkan warna kehijau-hijauan.
“Saya juga tidak sangka pada era pembangunan yang pesat pada hari ini dan dunia berhadapan dengan pelbagai isu kebersihan serta pemuliharaan alam sekitar, anak-anak saya masih berpeluang melihat air sungai yang sangat jernih, malah mereka juga teruja melihat anak-anak ikan berenang di dalamnya,” katanya ketika ditemui Panorama di Laman Belia baru-baru ini,
Mengulas lanjut, Mohd. Rafi menyifatkan perubahan itu sebagai hikmah di sebalik kejadian pandemik Covid-19 yang melanda dunia. Jelasnya, ada yang berpendapat bahawa sungai itu bertukar jernih disebabkan semua operasi kilang berdekatan dihentikan sementara sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan tiada sisa buangan yang lain dari sekelilingnya.
Isterinya pula, Rozitah memberitahu, dia tidak melepaskan peluang merakam swafoto bersama ahli keluarganya untuk dimuat naik di Instagram bagi membuktikan berita dan gambar-gambar tular kejernihan air sungai itu bukanlah sekadar indah khabar dari rupa.
Bagi seorang peniaga di laman tersebut, Hishamudin Samsi, 48, berkata, kejadian air jernih itu juga secara tidak langsung telah membukakan pintu rezeki buatnya yang menjual air minuman.
Ujarnya, sebelum fenomena tersebut, jualan airnya hanya mencecah RM100 sehari bermula dari pagi sehingga petang, namun sejak Sungai Kesang itu tular di laman sosial, jualannya meningkat 10 kali ganda.
“Alhamdulillah, selepas hampir tiga bulan tidak memperolehi apa-apa sumber pendapatan ekoran PKP, akhirnya dengan kejadian air Sungai Kesang-Sungai Rambai menjadi jernih ini, jumlah pengunjung ke laman ini juga meningkat.
“Saya anggarkan kira-kira 500 pengunjung melawati laman ini terutama pada waktu petang bermula Jumaat sehingga Ahad,” katanya yang telah berniaga di kawasan itu sejak empat tahun lalu.
Tambahnya, terdapat juga pelanggannya yang datang dari bahagian utara negara termasuk Perak dan Kedah.
Mendapatkan penjelasan berhubung perubahan Sungai Kesang yang dari keruh tiba-tiba bertukar jernih, pakar kualiti air, Profesor Dr. Maketab Mohamed bagaimanapun berkata, kejernihan air sungai bergantung kepada Jumlah Pepejal Terampai (TSS) dan kekeruhannya disebabkan hakisan bahan bumi, bukan daripada bahan buangan industri.
“Kejernihan itu mengikut kepada pasang surut laut dan mengikut musim. Sungai Kesang akan menjadi sangat jernih disebabkan kemasinan yang tinggi apabila air laut pasang.
“Situasi itu adalah disebabkan TSS sungai tersebut adalah tinggi, ia tidak terkait dengan penutupan sementara kilang-kilang di sekelilingnya atau bahan buangan industri,” katanya ketika dihubungi Panorama.

Temu bual Panorama dengan penduduk tempatan di sungai itu baru-baru ini juga dapat merasakan perasaan bangga yang membuak-buak dizahirkan rata-rata anak kelahiran bumi Hang Tuah berkenaan.
Salah seorangnya adalah anak kelahiran Serkam, Jasin, Khairul Fikri Ismail, 25. Menurutnya, kejernihan air Sungai Kesang itu adalah sesuatu yang sangat luar biasa dan wajar untuk dicanangkan kepada kalangan rakan-rakannya yang menetap di negeri lain.
“Pada awal Julai lalu, airnya lagi jernih, sejernih-jernihnya. Tempat ini (Laman Belia) penuh dengan orang luar semata-mata untuk melihat sungai yang tular ini, malah ada pengunjung yang datang dari Utara.
“Kedatangan mereka untuk bergambar di Sungai Kesang ini secara tidak langsung membuatkan saya sebagai anak kelahiran Melaka turut berbangga kerana negeri ini mempunyai sungai yang sangat jernih dan indah,” katanya.
Ujarnya, masa yang terbaik untuk orang ramai mengunjungi kawasan itu adalah pada waktu petang ekoran cuaca tengah hari di negeri itu kebiasaannya terlalu terik.
Beberapa buah gazebo juga ada disediakan bagi orang ramai untuk duduk berehat sambil menikmati pemandangan Sungai Kesang.
















