fbpx
PA'DIN kini sering menghabiskan masanya di bengkel motosikal Abah & Sons miliknya dekat Kepala Batas, Butterworth, Pulau Pinang.

Legenda papan selaju, Pa’din aktif di bengkel motosikal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Mengabdikan diri dalam arena sukan papan selaju sejak berusia 14 tahun, figura ini kini dikenali sebagai legenda papan selaju negara.

Malah, tidak keterlaluan untuk diklasifikasikan bahawa namanya kini sebaris dengan legenda papan selaju dunia seperti Rodney Mullen dan Tony Hawk.

Pemilik nama Ahmad Fadzil Musa atau lebih popular dengan panggilan Pa’din Musa, 46, merupakan figura yang cukup penting dalam dunia papan selaju yang bukan sahaja terkenal Malaysia, malah di persada antarabangsa.

Manakan tidak, dia pernah mengejutkan dunia apabila berjaya memenangi dua pingat emas pada Kejohanan Sukan Lasak Asian X Games 2000 di Phuket, Thailand dan kejohanan sama pada tahun 2004 di Kuala Lumpur pada usia yang cukup muda.

Lebih manis apabila sebuah syarikat jenama kasut antarabangsa, Vans mengeluarkan kasut signature Vans Pa’din Musa pada tahun 2017, sekali gus menjadikannya sebagai rakyat Malaysia pertama yang bekerjasama dengan syarikat gergasi tersebut ketika itu.

Sejak itu, kehidupan anak jati Pulau Pinang tersebut berubah 360 darjah dan sehingga kini dia dilihat sebagai individu penting dalam pembangunan sukan ekstrem papan selaju negara sebagai seorang usahawan dalam sektor pembinaan.

ISTERI dan anak menjadi dorongan kepada legenda papan selaju negara ini untuk mencapai kejayaan dalam apa jua bidang diceburinya.

Menginjak usia menghampiri angka lima siri, anak kepada pasangan Allahyarham Musa Samad dan Rubiah Yusoff kini menyifatkan rutin hariannya masih ‘liar’ dan bertenaga seperti dahulu, cuma kini lebih banyak dihabiskan di bengkel motosikal.

“Kehidupan terkini banyak dihabiskan di bengkel motosikal kerana saya amat meminati kerja-kerja itu atau lebih tepat mengubah suai motosikal custom yang diusahakan sejak enam tahun lalu.

“Malah, jika tidak terlibat dengan projek pembinaan taman papan selaju (skatepark) sekitar negara, saya akan berada di sini (bengkel) dan melakukan kerja-kerja pengubahsuaian motosikal.

“Saya katakan ini lebih kepada hobi dan bukannya perniagaan kerana kebanyakan orang salah faham tentang hal itu,” katanya kepada Kosmo! ketika ditemui di bengkel Abah & Sons miliknya di Kepala Batas, Pulau Pinang baru-baru ini.

Menurut anak ketiga daripada tujuh beradik itu, pada tahun 2003, dia telah menubuhkan sebuah syarikat iaitu Climax Rampmaster Ent. untuk membantu membina fasiliti skatepark dengan memberikan perkhidmatan reka bentuk dan konsultasi.

“Antara projek terlibat termasuklah Taman Cabaran Putrajaya, Skatepark Taman Metropolitan Batu, Kuala Lumpur; Bintulu Skateplaza, Sarawak dan beberapa buah skatepark Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

“Malah, kita juga terlibat dalam pembinaan skatepark mudah alih untuk kegunaan acara sukan ekstrem,” katanya yang memiliki Diploma Kejuruteraan Mekanikal (Teknologi Pembuatan) dari Politeknik Port Dickson, Negeri Sembilan.

Tambahnya, setelah berkecimpung dalam bidang reka bentuk dan konsultasi skatepark selama hampir 15 tahun, dia melebarkan sayap dengan menubuhkan syarikat PH Skatepark Sdn. Bhd. pada tahun 2017.

Ini dapat mengembangkan peranan syarikat kepada konsep reka dan bina bagi mengatasi masalah dihadapi semasa pembinaan skatepark oleh kontraktor yang tidak mengikut kaedah pembinaan yang betul dan juga disifatkan seolah-olah tiada ‘jiwa’ dalam pembinaannya.

“Nak kata bersara dari skateboarding tu belum lagi, sebab saya masih bersemangat dalam arena ini. Orang kata main sampai tak larat walaupun kini sudah ada tujuh orang anak.

“Bagi saya, hidup seorang skateboarder ini bukan hanya bermain di skatepark semata-mata, tapi lebih kepada di jalanan seperti kaki lima ataupun luar dari skatepark, yang mana ia dikelilingi pelbagai risiko yang tak terduga sehinggalah tercetusnya adrenalin sebenar,” katanya yang masih bernaung di bawah Vans Malaysia sebagai peluncur tajaan sejak tahun 2010.

BIARPUN sudah agak berusia, namun skil Pa’din dalam permainan papan selaju masih berbisa.

Pa’din menambah, selain mengusahakan perniagaan pembinaan skatepark, dia turut mengeluarkan produk papan selaju versinya.

Ia dijual di kedai-kedai papan selaju tempatan, selain turut menjual cenderamata buat peminat sukan berkenaan.

“Bagi produk papan selaju, ia dikeluarkan pada jangka waktu tertentu sahaja. Malah, untuk keluaran terhad papan selaju versi Abah & Sons pada Disember 2021 telah habis terjual dalam masa seminggu iaitu sebanyak 400 unit.

“Alhamdulillah, sambutan yang diterima begitu menggalakkan. Selain itu, saya turut menerima bayaran royalti dari sebuah restoran kepunyaan rakan kongsi yang menggunakan jenama Abah & Sons Motocafe sebagai nama restoran yang terletak di Sungai Besi, Kuala Lumpur,” jelasnya.

Gemar menonton filem Tamil ketika berada di rumahnya yang terletak dekat Kepala Batas, Pa’din turut giat mendokumentasikan perjalanan hidupnya sebagai skateboarder melalui penghasilan video berdurasi pendek untuk dikongsi bersama pengikutnya di aplikasi TikTok dan Instagram masing-masing seramai 123,400 dan 133,000 pengikut.

“Selain itu, saya turut serta bersama pihak penaja dalam acara pertandingan papan selaju sekitar Kuala Lumpur bagi mencari bakat baharu yang diadakan setiap bulan. Malah, tidak dinafikan scene sukan ini dilihat semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat,” ujarnya.

Pa’din menunjukkan kasut ‘signature’ Vans Pa’din Musa di bengkel motosikal Abah & Sons miliknya dekat Kepala Batas, Butterworth, baru-baru ini.

Merupakan pelajar cemerlang ketika di bangku sekolah, Pa’din berkata, impiannya dalam arena sukan papan selaju sudah tercapai, namun kini dia mempunyai impian baharu dalam arena permotoran.

Ia disifatkan membuak-buak sama seperti apa yang dia lakukan ketika berkecimpung dalam sukan papan selaju sebelum ini.

“Impian sekarang boleh dikatakan tercapai (dalam arena skateboarding), contohnya jika dalam bidang ini, kita boleh dikatakan berjaya apabila ada pihak penaja yang ingin keluarkan kasut versi kita, itu dikira ultimate goal.

“Kemudian impian bermain skate di Amerika Syarikat pun sudah tercapai. Sesungguhnya saya bersyukur kerana aturan Allah itu sudah cantik tertulis,” katanya.

Ceritanya lagi, dia kini sedang mengubah suai sebuah kenderaan jenis Volkswagen Single Cab menjadi seperti trak pikap yang boleh memuatkan sebuah motosikal untuk dibawa menjelajah ke setiap pertunjukan motosikal sekitar negara sebagai impian baharunya.

“Volkswagen tersebut yang dibeli melalui seorang rakan dua tahun lalu akan diubah suai menjadi seperti pikap custom yang boleh membawa sebuah motosikal di belakangnya, iaitu jenama Harley-Davidson kepunyaan sendiri yang juga dalam proses pengubahsuaian.

“Ini adalah sentuhan sendiri, selain menyasarkan Volkswagen tersebut akan siap diubah suai dalam masa lapan bulan dari sekarang,” katanya yang pernah memenangi pertandingan Art of Speed dalam kategori Best of Show pada tahun 2018 dan yang paling terbaharu pada bulan ini dalam kategori sama.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN