PARIT – Niat seorang lelaki untuk meminjam pam racun daripada rakan sekampung bertukar tragedi apabila dia menjumpai rakannya terbaring berlumuran darah di hadapan rumah mangsa kira-kira pukul 10.30 pagi hari ini.
Lelaki yang ingin dikenali sebagai Hisham, 53, berkata, ketika dia tiba di halaman rumah rakannya, Norzi Jaafar, 58, dia melihat mangsa sedang terbaring di atas simen di luar kediamannya itu.
Katanya, pada mulanya dia menyangka rakannya itu terbaring kerana rebah akibat asma dan bergegas turun dari motosikal lalu memanggil nama mangsa, namun tidak berbalas.
“Saya kemudian terlihat ada warna hitam banyak di sebelah mangsa dan ingatkan itu tumpahan minyak hitam dan memanggil namanya sekali lagi tetapi dia masih diam.
“Bila saya datang dekat kepadanya saya terlihat kesan luka di leher dan mula sedar warna hitam itu darah dan Norzi tidak bernyawa lagi saat itu,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian di Kampung Merua di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE.