fbpx
VELERIE WHEELERVON melayan kerenah sebahagian anak murid pendidikan khas di Sekolah Kebangsaan Bingkor, Keningau

‘Walau seorang murid, saya tetap perjuangkan’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Seorang guru meraih perhatian dunia apabila usaha gigihnya mendidik dan melakukan pelbagai inovasi pendidikan berjaya membuatkan murid di kawasan pedalaman terutamanya di Sabah berminat untuk belajar.

Usaha berterusan dan tidak mengenal lelah itu membuatkan Dr. Velerie Wheelervon Primus, 37, dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Guru Berdedikasi Cambridge 2026 bagi rantau Asia Tenggara dan Pasifik.

Anak kedua daripada empat beradik itu mendedahkan, titik perubahan terbesar dalam kerjayanya berlaku pada tahun 2020 apabila beliau mengambil keputusan menambah opsyen dalam bidang Pendidikan Khas.

Guru Penolong Kanan Pendi­dikan Khas di Sekolah Kebangsaan (SK) Bingkor, Keningau, Sabah itu berkata, keputusan itu membuka matanya bahawa ada murid bukan tidak pandai, tetapi mereka hanya belajar dengan cara berbeza dan memerlukan pendekatan sesuai.

Katanya, dia rela belajar menyesuaikan diri dengan segala kekangan termasuk menggunakan pendekatan lebih kreatif bagi memastikan murid kekal berminat untuk belajar.

“Berbekalkan pengalaman itu, saya membangunkan beberapa pendekatan pendidikan seperti Hope, Miracles dan NeuroArts yang menggabungkan seni, terapi sensori, budaya serta alam se­mula jadi.

“Saya gunakan seni, terapi sensori, alam semula jadi dan budaya sebagai medium pem­belajaran kerana seni mampu menjadi bahasa hati kepada anak-anak yang sukar meluahkan perasaan.

“Saya tidak mahu pembaharuan yang hanya nampak hebat di atas kertas, tetapi mahu ia benar-benar dirasai manfaatnya oleh murid, guru, ibu bapa dan komuniti,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.

Menurut Velerie Wheelervon, cabaran terbesar mengajar di pedalaman bukan semata-mata isu teknologi atau lokasi terpencil, tetapi bagaimana seorang guru terus kuat dan kreatif dalam apa jua keadaan.

Tambahnya, ada hari jumlah murid yang hadir sangat sedikit, malah kadang-kadang hanya seorang sahaja datang ke sekolah.

VELERIE WHEELERVON membuat pelbagai inovasi untuk menarik minat anak murid pendidikan khas terhadap pelajaran di sekolah.

“Namun, bagi saya pendidikan bukan tentang menunggu semuanya sempurna. Kalau seorang murid hadir, maka seorang itulah yang perlu diperjuangkan sepenuh hati,” ujarnya.

Ujar Velerie Wheelervon, dia tidak memilih untuk mengajar kerana bagi dirinya jika pada hari itu hanya seorang murid yang hadir, maka dia akan memperjuangkannya dengan sepenuh hari.

Katanya, mengajar di pedalaman banyak membentuk diri­nya menjadi pendidik yang lebih tabah dan memahami erti sebenar pendidikan.

“Ada murid datang ke sekolah dengan seribu cabaran, perjalanan jauh dan kekurangan kemudahan, tetapi mereka tetap hadir dengan senyuman serta sema­ngat untuk belajar,” katanya.

Menurut guru itu, kerjayanya bermula sebagai guru sukan di SK Pusat Lawas, Sarawak dari 2013 hingga 2015 sebelum berpindah ke Sabah sebagai guru seni kebudayaan.

Graduan Ijazah Doktor Falsafah Pendidikan Universiti Malaysia Sabah itu berkata, situasi tersebut menyedarkannya bahawa guru bukan sekadar menyampaikan ilmu di dalam kelas, sebaliknya menjadi sumber harapan buat murid.

Mengulas kejayaannya me­rangkul anugerah itu, beliau menyifatkan pengiktirafan itu bukan kemenangan peribadi, sebaliknya suara kepada semua murid yang pernah dipinggirkan.

“Setiap kali nama saya disebut di pentas antarabangsa, saya teringat wajah anak-anak murid saya di pedalaman dan pendidikan khas.

“Anugerah itu membuktikan lokasi tidak menentukan nilai seorang guru atau potensi seorang anak. Kadang-kadang cahaya pa­ling indah lahir dari tempat paling sederhana,” ujarnya.

Di atas usaha kerasnya itu, Velerie Wheelervon kini turut disenaraikan sebagai calon guru terbaik dunia dengan keputusannya bakal diumumkan pada Jun depan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN